EMILY (kiri) menerangkan fungsi pemerah pipi.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Majoriti jenama kosmetik kini cenderung mengeluarkan produk bertemakan kecantikan semula jadi. Mengetengahkan rona pastel, warna bumi, kemasan cerah, kombinasi alat solek ringkas dan pilihan yang lebih menjurus kepada identiti pemakai.

Nampak jelas pengeluar kosmetik kini semakin bijak membaca keinginan dan kehendak pengguna. Sekalipun mereka membawakan pilihan warna solekan gaya Barat, pasti ada pilihan bersesuaian dengan kulit orang Timur.

Apalagi jika kosmetik berkenaan didatangkan dari negara matahari terbit. Sudah pasti pilihan warna dan kombinasi yang ditawarkan lebih bersifat semula jadi, ringkas dan bersih, umpama budaya serta amalan orang Jepun sendiri.

Ketika pelancaran kosmetik Eleanor baru-baru ini, beberapa selebriti terkenal dijemput ke pentas untuk menunjukkan gaya solekan paling disukai tidak kira sama ada di pentas lakonan, nyanyian, menghadiri majlis atau ketika bersantai.

Memilih gaya solekan ringkas dengan mainan rona pastel musim bunga, pelakon yang kian meningkat popular, Chan Zi Ying atau Emily Chan sempat berkongsi langkah demi langkah solekan dengan tetamu yang hadir.

Tidak sarat dengan penggunaan pelbagai lapisan bedak asas atau bulu mata palsu, gaya solekan wanita ini banyak bermain dengan rona merah jambu, kuning dan jingga, sesuai untuk wanita Asia berkulit cerah. Malah Emily juga bijak menyeimbangkan warna, sekali gus mencipta ton wajah lebih manis dan sempurna.

Gaya solekan yang ditunjukkan ini sesuai untuk ke pejabat, menghadiri majlis rasmi atau bersantai dengan teman. Ikuti langkah demi langkah solekan ringkas daripada Emily.


1. MULAKAN solekan dengan sapuan bedak asas jenis cecair, diikuti lapisan nipis bedak tabur.

2. OLES pemerah pipi dari bahagian tengah wajah, menghala ke telinga.

3. SAPU pembayang mata rona pastel (campuran merah jambu dan kuning kemerahan).

4. OLESKAN penggaris mata.

5. LENTIKKAN bulu mata menggunakan pengepit.

6. SEMPURNAKAN bulu mata dengan sapuan maskara.

7. BENTUKKAN kening.

8. SAPU gincu rona merah semula jadi.

9. WAJAH selepas disolek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 1:48 PM