NADIA sentiasa positif dalam mengharungi saat getir dalam hidup.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Sekali pandang dirinya tidak ubah seperti wanita lain namun di sebalik senyuman manisnya tersingkap seribu satu memori pahit saat bertarung nyawa akibat ketumbuhan dalam kepala.

Bayangkan pada usia yang muda, wanita ini terpaksa mengharungi pembedahan hampir 10 kali akibat ketumbuhan itu malah kerap diserang sawan.

Pertama kali menemui Nadia Zulkifli, 33, baru-baru ini, wanita ini dengan sopan meminta agar gambarnya dirakam dari sudut tertentu dan permintaan itu pastinya menimbulkan tanda tanya penulis.

Menyedari keadaan itu, lantas wanita itu memberitahu: “Jangan salah faham ya, sebenarnya mata kiri saya tidak lagi boleh melihat, jadi saya bimbang jika kedudukan mata kelihatan ‘lari’ dari lensa kamera,” ujarnya sambil tertawa.

Semangat wanita ini benar-benar dikagumi. Tidak nampak sedikit pun kekurangannya itu bahkan setiap butir bicaranya dizahirkan dengan positif dan penuh berkeyakinan.

Katanya, rata-rata orang yang melihat keadaan dirinya ketika terlantar di hospital pasti menelah hayatnya tidak akan bertahan lama apatah lagi dapat merasai gerbang perkahwinan dan melahirkan zuriat.

Benarlah kuasa dan takdir Allah itu tiada siapa yang mampu menandinginya, Nadia bersyukur dalam keadaannya itu dia masih diberi kesempatan untuk merasai kebahagiaan bersama suami tersayang selain dikurniakan dua cahaya mata.

Kesan pembedahan itu, Nadia bukan saja hilang penglihatan pada mata kiri tetapi juga hilang deria bau dan tidak mempunyai kening akibat pembedahan yang turut dilakukan pada dahinya.

Mengimbas episod hitam dalam hidupnya itu, Nadia berkata segalanya bermula kira-kira lima tahun lalu selepas dia tidak tahan menanggung kesakitan di kepala dan berjumpa doktor untuk mengetahui punca sebenar penyakitnya.

Katanya, dari zaman persekolahan lagi dia sering mengalami sakit kepala dan bergantung kepada ubat tahan sakit kerana mempercayai ia disebabkan migrain.

“Selama 10 tahun saya sering sakit kepala hingga tahap tidak boleh langsung melihat cahaya ketika sakit menyerang dan terpaksa berselubung di bawah selimut untuk mengurangkan sakit.

“Akhirnya saya menyerah, selepas membuat ujian imbasan Imej Resonans Magnetik (MRI) dan alangkah terkejutnya saya apabila doktor memberitahu ada ketumbuhan di kepala sebesar lapan sentimeter (sm).

“Waktu itu saya tidak menjangkakan penyakit ini serius, namun doktor mahu saya dibedah pada keesokan harinya. Tentulah keluarga yang menerima berita ini terduduk kerana mereka tahu saya seorang yang aktif.

“Pembedahan kali pertama selama lima jam memerlukan tempurung kepala saya dibuka untuk mengeluarkan tumor,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, komplikasi berlaku apabila mata kirinya tidak memberi sebarang gerak balas. Tidak sampai satu jam dia kemudian dibedah lagi untuk melihat punca komplikasi itu. Bayangkan selepas kepalanya dijahit, ia terpaksa dibuka semula bagi memastikan prosedur yang dijalankan tiada kesilapan.

Rupanya masalah mata itu adalah kesan daripada pembedahan. Bukan itu saja, cecair otak juga seperti bocor dan terpaksa dikeluarkan melalui tulang sumsum dan hidung.

Selepas pembedahan terbabit, Nadia diarahkan menjalani rawatan susulan supaya keadaannya boleh dipantau. Bagaimanapun, pelbagai komplikasi berlaku menyebabkan dia terpaksa melalui lebih 10 pembedahan kecil dalam beberapa tahun lalu.


NADIA ditemani keluarga ketika pelancaran produk Flora Skincare.

Diri masih bertuah

Nadia berkata, berkat sokongan keluarga terutama ibunya, Tumina Juladi, 65, dia beransur pulih. Setahun selepas pembedahan dia bertemu jodoh dan kini dikurniakan dua cahaya mata berusia dua tahun dan 10 bulan.

Anak bongsu daripada lima beradik ini menyifatkan dirinya bertuah kerana dalam keadaannya itu, suami yang ketika itu hanya dikenali melalui rakan mahu mengenalinya dengan lebih rapat.

“Kawan banyak bercerita mengenai saya pada suami ketika itu dan dia begitu berminat mahu mengenali saya kerana arwah bapanya juga mengalami penyakit sama tapi umurnya tidak panjang.

“Hospital menjadi detik pertemuan pertama kami ketika saya masih terlantar. Suami juga antara rakan yang banyak memberi sokongan walaupun baru saja berkenalan.

“Kami tidak menjalin cinta sebaliknya suami menyatakan niat untuk menjaga saya. Dia mengajak keluarga kami bertemu dan mengikat tali pertunangan.

“Sebelum berkahwin dengannya, doktor memberitahu saya tidak boleh ditinggalkan tidur seorang diri kerana bimbang diserang sawan. Jadi ibulah yang tidur dengan saya. Perkara itulah juga yang menguatkan lagi niat suami untuk kami disatukan segera kerana mahu menjaga saya.

“Sejujurnya, saya tidak menyangka ada lelaki sanggup memperisterikan wanita seperti saya, apatah lagi ketika itu saya baru saja ditinggalkan teman lelaki kerana penyakit ini.

“Dalam kesedihan menempuh pelbagai dugaan, Allah hadirkan lelaki yang menyayangi saya seadanya malah sanggup berkongsi suka duka dan menjaga saya,” katanya.

Menurut Nadia, setahun selepas pembedahan besar pertamanya, ketumbuhan muncul semula hingga memerlukan dahinya dibedah.

Selepas itu dia perlu meneruskan rawatan radioterapi untuk mematikan sel barah dan 30 sesi rawatan itu menyebabkan kulit mukanya terbakar dan rosak manakala bulu keningnya gugur.

Ekoran itu, dia hilang keyakinan untuk menunjukkan mukanya selain mencuba banyak produk rawatan kulit berasaskan bahan semula jadi bagi memulihkan wajahnya.

“Ketika itu saya mendapat ilham untuk mengeluarkan produk penjagaan wajah, Flora Skincare menggunakan ekstrak bunga-bungaan selain tumbuh-tumbuhan yang kaya khasiat seperti lidah buaya dan teh hijau.

“Saya tidak hasilkan produk ini semberono sebaliknya ambil masa dua tahun untuk menimba ilmu. Hendak keluarkan produk kecantikan bukan senang kerana banyak faktor perlu diambil kira termasuk melakukan uji kaji dan persampelan mengikut masalah kulit tertentu.

“Alhamdulillah saya tidak berseorangan malah dibantu ibu dan abang dalam proses pengeluaran produk. Ketika proses penghasilan produk ini juga saya perlu jalani satu lagi pembedahan iaitu selepas habis berpantang bersalin anak kedua pada Mei tahun lalu.

“Saya tidak putus asa walaupun hidup diatur dengan siri pembedahan yang panjang, sebaliknya menguatkan tekad menghasilkan produk berkualiti untuk dikongsi bersama orang ramai,” katanya.

Produk yang dilancarkan bulan lalu itu dihasilkan dengan kandungan ekstrak bunga peony sebagai bahan utama bagi mengurangkan pigmentasi pada kulit, mengurangkan jalur penuaan dan menjadikan kulit cerah berseri.

Set Flora Skincare berharga RM149 terdiri daripada pencuci muka, pelembap untuk perlindungan dari sinar UV, serum, toner dan terapi kulit.


PEMBANGUNAN produk mengambil masa dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 3:30 PM