Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Membeli pakaian hamil ketika kandungan memasuki trimester kedua sememangnya menjadi pengalaman mengujakan dan menyeronokkan. Untuk tiga bulan pertama kehamilan, sudah pasti pakaian sedia ada masih boleh dipakai kecuali yang terlalu ketat.

Oleh itu ibu hamil akan mula mencari busana berukuran besar bagi menutupi sebahagian tubuh terutama perut. Ada kala keseronokan memilih akan membuatkan wanita membeli pakaian berdasarkan warna dan rekaan sehingga mengabaikan keselesaan.

Menurut pereka fesyen Melinda Looi, dalam memilih padanan, ibu hamil perlu mementingkan keselesaan terutama ketika bergerak. Ia juga tidak seharusnya ketat terutama pada bahagian perut dan kelihatan sopan menggayakannya. Di pasaran terdapat pelbagai rekaan sama ada blaus, seluar, skirt dan gaun dalam pelbagai warna.

“Mereka bebas memilih busana yang diinginkan. Untuk ibu berkerjaya mungkin boleh memadankan blaus dengan seluar atau skirt. Gaun pula digayakan untuk menghadiri acara seperti keraian, majlis hari jadi, perkahwinan, makan malam atau minum petang,” katanya yang berucap ketika majlis pelancaran Frisomum Gold rumusan baru di Publika Damansara baru-baru ini. Pada masa sama Melinda turut memperkenalkan koleksi baju hamil kepada pengunjung.

Katanya, berdasarkan pengalaman ketika hamil baju yang dipakai bukan saja diperbuat daripada material berkualiti tetapi menampilkan gaya moden. Ini sangat penting kerana ibu hamil juga ingin bergaya pada saat tubuh mereka membesar dengan berat badan yang semakin bertambah.

Jangan hanya kekal dengan fesyen yang sama atau memakai pakaian ketika tidak hamil kerana ia membuatkan diri anda menjadi perhatian.

“Saya sering tekankan pentingnya memilih padanan selesa dan moden. Ia boleh digayakan ke pejabat atau pada hari biasa. Material berkualiti seperti kapas adalah paling sesuai kerana lembut dan tidak panas,” katanya yang memilih rona lembut seperti merah jambu dan warna asas putih untuk koleksi wanita hamil.

Gemar menghasilkan rekaan gaun kerana ia tampak sopan dan elegan, gaun sama ada tanpa lengan atau Muslimah memberikan impak menawan kepada pemakai. Selain gaun, blaus dengan rekaan sederhana dan labuh membuatkan wanita tampil sopan dan bergaya. Lebih penting ia boleh disuai padan dengan seluar atau skirt.

Jelas Melinda, wanita hamil seharusnya memilih pakaian yang dapat menutupi bahagian kekurangan tubuh. Contohnya jika memiliki lengan besar boleh memilih blaus dengan ropol jatuh pada bahagian itu.

Mereka berleher jinjang boleh memilih busana yang mampu memberikan fokus pada leher manakala yang memiliki pinggul besar boleh mengenakan blaus kembang atau labuh. Gaun tanpa lengan pula boleh juga digayakan dengan alas baju di dalam untuk wanita Muslimah.

Panduan memilih busana kehamilan:

1. Elakkan membeli pakaian hamil yang tidak selesa seperti terlalu ketat atau menyebabkan radang pada kulit seperti kegatalan. Pakaian hamil yang tidak sesuai mungkin akan memudaratkan kesihatan dan emosi anda.

2. Jika suami anda mempunyai potongan badan yang anda, pertimbangkan untuk meminjam kemejanya. Sememangnya kemeja lelaki cukup bergaya, selesa dan sesuai dipakai oleh ibu hamil.

3. Fabrik yang paling sesuai untuk rekaan pakaian ibu hamil ialah kapas dan lycra ini kerana fabrik ini boleh meregang, sekali gus boleh dipakai sepanjang peringkat kehamilan.

4. Beli pakaian yang mudah disuai padan. Dapatkan pakaian dalam rona hitam, perang, kelabu, khaki, putih, denim, rona semula jadi dan pastel. Gabungkan pakaian anda bersama helaian bercorak atau berona terang.

5. Bagi wanita berkerjaya pastikan busana dipilih boleh dipakai ke pejabat. Pakaian pula haruslah sopan namun memperlihatkan ciri moden.

6. Konsep lapisan pada baju sangat sesuai untuk ibu hamil kerana boleh dipadankan dengan seluar, skirt, kardigan dan blazer. Konsep ini juga sesuai dan mudah bagi mereka yang mempunyai suhu badan yang kadangkala berubah-ubah.

7. Pilih kemeja dan gaun potongan A kerana ia cukup bergaya dan sentiasa menjadi pilihan kerana potongannya yang tidak melekat pada bahagian perut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 4:33 AM