Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Rekaan tudung berkembang pesat dengan kehadiran pelbagai jenis berasaskan fabrik berbeza. Walaupun kemunculan selendang dan bawal dengan corak dan warna yang semakin diminati, tudung segera bersengkuap masih mempunyai peminat tersendiri.

Rata-rata ia menjadi pilihan kebanyakan wanita berkerjaya disebabkan memudahkan pemakaian namun tetap tampil elegan. Salah satu jenama yang masih mengekalkan tudung segera sejak lapan tahun lalu adalah Jelitasara. Namun rekaannya diperbaharui dari segi fabrik dan warna serta dipelbagaikan menerusi potongan selendang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Jelitasara Wan Zaki Wan Taib, ketika memperkenalkan jenama ini pada 2009, dia dan isteri menjual tudung segera bersengkuap dari rumah ke rumah menerusi kenalan rapat. Tidak sangka sambutan diterima sangat menggalakkan ekoran rekaan yang menepati cita rasa wanita muda berkerjaya sehingga memaksa mereka menjual menerusi dalam talian.


TUDUNG corak sederhana namun menampakkan gaya elegan wanita.

“Perkembangan jualan yang pesat itu mendorong saya membuka butik pertama di Melaka pada 2012, diikuti BangiGateway pada 2013 dan kemudian 2016 di Bangi Sentral. Sampai sekarang kami masih memberikan tumpuan kepada produk yang mampu membuatkan wanita tampil anggun dalam masa singkat,” katanya.

Mengakui terpaksa melakukan evolusi tudung mengikut peredaran semasa, daripada tudung sarung jenama ini mula beralih kepada selendang segera dan labuh yang mempunyai ramai pengikut. Antara yang menjadi kegilaan ramai adalah selendang segera Sara Kate yang dihasilkan menggunakan fabrik sifon polos berkualiti.

“Koleksi ini adalah inspirasi isteri yang menggambarkan wanita muda berkerjaya yang sentiasa mementingkan penampilan. Selain menguruskan anak dan urusan rumah tangga, wanita memerlukan tudung yang boleh dipakai pantas, pada masa sama kelihatan anggun dan memikat,” katanya.

Kelebihan koleksi ini terletak pada perincian yang ditampilkan. Menggunakan elemen manik dan renda pada bahagian hadapan tudung, setiap helaian diterapkan unsur keindahan sekali gus menampakkan penampilan moden wanita.


PERINCIAN manik pada selendang memberikan kesan eksklusif kepada si pemakai.

Hadir dalam pelbagai rona sama ada pastel dan terang, kesemua tudung polos ini boleh digayakan ke pejabat, majlis keraian atau untuk musim perayaan. Menggunakan fabrik sifon dan moss crepe berkualiti, setiap tudung terletak cantik pada wajah si pemakai. Ia juga tidak berkedut, mudah digosok dan sejuk.

“Bagi menampakkan tudung lebih eksklusif saya mahu gunakan batu permata Swarovski sebagai elemen tambahan pada rekaan akan datang. Gabungan fabrik polos dengan perincian manik mewah akan memberikan lebih nilai dan keanggunan yang diinginkan wanita,” katanya.

Merujuk perancangan pada 2018, jenama ini ingin memberikan tumpuan kepada padanan busana seperti baju kurung, kebaya moden, blaus dan gaun sebagai melengkapi gaya harian. Kehadiran busana adalah sekadar ingin memberikan sesuatu yang bernilai kepada peminat yang tidak pernah putus memberikan sokongan.

“Sejak tahun lepas Jelitasara agresif melakukan jualan untuk busana. Permintaan menggalakkan membuatkan saya tidak mahu ketinggalan menceburi rekaan baju. Pelanggan juga boleh memadankan dengan tudung pilihan mereka,” katanya.


REKAAN yang teliti membuatkan tudung segera cantik dan selesa digayakan.

Membuka rahsia bagaimana dia mampu bertahan, ujar Wan Zaki, untuk mengekalkan momentum dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ia bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak cabaran terpaksa dilalui. Tetapi dia percaya keikhlasan dan kejujuran dalam menghasilkan produk akan memandu jalan ke arah yang lebih baik.

“Saya akui ketika ingin memulakan perniagaan saya mengalami kekangan modal, namun semuanya dapat diteruskan dengan lancar. Malah perkembangan setiap cawangan sangat membanggakan,” katanya.

Dia juga berazam membawa jenama ini ke peringkat global sebagai menyahut seruan kerajaan dalam kempen Zon Perdagangan Bebas Digital Malaysia (DFTZ) yang diasaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah pihaknya sudah memulakan langkah apabila menerima pelawaan untuk memasarkan tudung di Lazada.

“Tampil dalam portal Lazada sememangnya memberikan kelebihan kepada kami untuk lebih dikenali. Kami juga berharap mampu memasarkan jenama ini

ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya yang turut mempunyai ejen jualan di setiap negeri termasuk di luar negara seperti Thailand, Filipina, Singapura dan Brunei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 9:41 AM