MODEN untuk jejaka yang gemar bergaya sederhana.
REKAAN terkini XALF Homme.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Sepasang sut lengkap bertali leher kelihatan tampan digayakan lelaki. Namun ia kelihatan kurang sempurna sekiranya tidak dilengkapi kasut yang mampu menyerlahkan penggayaan jejaka.

Menyedari sepatu menjadi antara keperluan penting lelaki jenama kasut mewah wanita, XALF, melancarkan koleksi kasut lelaki pertama XALF Homme kerana ingin meneroka rekaan yang lebih pelbagai serta memberikan pilihan kepada jejaka.

Menurut Pengasas XALF Xavier Mah, lima tahun lalu dia memberi tumpuan kepada keperluan wanita dengan mengetengahkan rekaan sepatu mewah dan unik. Namun melihat senario lelaki juga tidak lokek bergaya lantas dia mula mencari idea untuk menghasilkan kasut lelaki.


PEMBUATAN berkualiti ilham Xavier Mah.

“Dalam tempoh lima tahun saya banyak belajar bagi memantapkan pemahaman mengenai rekaan. Saya gembira kerana menerima sokongan daripada pelanggan yang meminta saya menceburi pembuatan kasut lelaki. Selepas mengambil kira banyak perkara akhirnya saya bersedia dengan XALF Homme,” katanya.

Koleksi pertama ini, True dihasilkan dengan teliti agar pembuatannya nampak mewah dan moden. Malah Xavier sangat menitikberatkan kualiti khususnya dalam pemilihan fabrik. Mengambil gaya klasik dengan suntikan elemen segar setiap kasut mempunyai cerita tersendiri.



BERGAYA ke pejabat dengan sepatu hitam.

“Untuk rekaan ini saya menghabiskan lapan bulan untuk mendapatkan prototaip sesuai. Ini termasuk menyemak ketinggian tumit, pemotongan dan pemilihan kusyen bagi setiap rekaan. Paling penting, adalah keselesaan si pemakai untuk menyarungkan kasut ini sepanjang hari tanpa rasa sakit, berpeluh, ketat dan melecet, “ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 9:09 AM