WAKIL media mencuba solekan yang ditunjukkan Jason.
HM Digital

Korea Selatan boleh dianggap sebagai hala tuju kecantikan masa kini dengan kemunculan pelbagai jenama yang popular dan semakin menempa nama di peringkat antarabangsa.

Penampilan atau kecantikan di negara itu ternyata perkara yang amat dihargai dan dijaga. Sebahagian besar khususnya wanita Korea amat menyukai solekan yang memberi kesan lebih semula jadi pada penampilan mereka.

Maka, tidak hairan cara menggunakan solekan semula jadi ala Korea sudah menjadi inspirasi masyarakat dunia terhadap kelembutannya tanpa menggunakan solekan yang tebal, tetapi tetap terlihat cantik dan menawan.

Amorepacific, antara syarikat penjagaan kulit dan kosmetik gergasi di negara itu terus mencipta revolusi kecantikan di Asia Tenggara dengan pelbagai pembaharuan dan inovasi.

Pengaruh trend kecantikan dari negara itu yang lebih sinonim sebagai K-kecantikan (K-beauty) di seluruh dunia juga tidak terkecuali memacu syarikat itu untuk terus menawarkan inspirasi solekan yang menarik dan memperlihatkan penampilan segar semula jadi.

Ketua Jurusolek Profesional Amorepacific Jason Lee yang ditemui baru-baru ini, berkata, musim 2018 diramal menyaksikan ramai wanita muda yang makin berani bereksperimentasi dengan warna.

Jika musim sebelumnya warna bibir terarah kepada rona lembut dan manis seperti merah jambu, kini warna serta solekan lebih gelap turut menjadi pilihan.

Menurutnya, terdapat tiga jenis solekan K-kecantikan yang dijangka menjadi kegilaan tahun ini iaitu solekan terumbu karang, solekan menyerlahkan mata dan solekan minimalis tapi menyerlahkan bibir merah wanita.

Lee menunjukkan demonstrasi tiga jenis solekan yang diramal bakal menjadi trend terhangat tahun ini ketika program Amorepacific’s Journey to Beauty Innovation di Kota Kinabalu, Sabah pada November lalu.

Pelbagai tip dan teknik solekan yang betul dikongsikan agar proses solekan menjadi lebih sempurna dan mudah.

1. Solekan jelita dan semula jadi terumbu karang

Jika mahukan solekan yang tidak memerlukan anda berusaha keras, jawapannya adalah solekan ini. Hanya sapuan tipis bedak asas untuk menampilkan wajah tampil segar dan semula jadi.

Kemudian, sapukan secara tipis pembayang mata diikuti pemerah pipi yang disapu dari tengah pipi hingga tulang pipi. Gunakan warna sama pada bibir untuk sentuhan feminin.

2. Solekan ‘Deep into the Eyes’ dengan warna sensual dan kaya

Sapukan bedak asas sekitar wajah sebelum membentuk kontur pada penjuru wajah menggunakan rona coklat untuk memberi kesan dimensi lebih mendalam. Bentukkan kening dengan menggunakan pensil kening agar wajah tampil lebih ‘garang’.

Gunakan pembayang mata dari rona biru ‘dusty’ di seluruh kelopak mata untuk kesan dramatik.

3. Solekan bibir merah minimal tapi terang

Gunakan teknik kontur untuk menyerlahkan pusat wajah dan sisi hidung serta kedua-dua bahagian dagu. Gunakan berus untuk campuran kelihatan lembut. Tambah kedalaman pada mata dengan pembayang mata ungu pucat.

Untuk sentuhan glamor, panjangkan garis mata dengan celak mata hitam dan maskara untuk menonjolkan mata. Langkah terakhir gunakan gincu bibir merah untuk menyerlahkan bibir yang mungil dan menawan. -Yusliza Yakimir Abd Talib

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 10:28 AM