Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Kebetulan berkongsi cerita dengan seorang ibu ketika menghantar anak ke sekolah minggu lalu, timbul topik mengenai tekanan emosi. Kata wanita yang ramah memperkenalkan dirinya sebagai Siti, dia berhenti kerja sejak lebih setahun lalu kerana nyaris ‘kehilangan’ anak tercinta.

Mungkin kerana persekitaran kerja dan faktor dikelilingi rakan yang tidak jemu bersaing menghantar anak mengikuti kelas tuisyen, aktiviti mingguan dan kem, ibu muda ini seakan-akan terlupa memikirkan soal kemampuan si anak.

Padanya, selagi berkemampuan dari segi kewangan, dia perlu membuktikan kepada rakan bahawa anaknya juga mampu bersaing.

Bermula dengan menghantar ke pusat pembelajaran kanak-kanak seawal usia empat tahun, kemudian naik ke tahun satu, anaknya sentiasa dipastikan sibuk mengulang kaji pelajaran sepanjang hari.

Sekolah harian, Sekolah Rendah Agama (SRA), kelas mengaji sebelah petang, tuisyen sehingga jam 9 malam dan kelas muzik pada hujung minggu. Semuanya nampak lancar sehinggalah si kecil akhirnya berubah menjadi seorang yang pasif.

Kata Siti, anaknya seolah-olah hilang dalam dunia sendiri. Hilang selera makan dan minum, seterusnya pengsan ketika bermain dengan adiknya di rumah. Pemeriksaan demi pemeriksaan dibuat, akhirnya doktor membuat kesimpulan bahawa anaknya menghadapi tekanan emosi.

Mungkin kerana takut dimarahi atau bimbang mengecewakan ibunya, si anak mengambil keputusan untuk berdiam diri dan akhirnya tewas berikutan penat menanggung beban emosi.


SETIAP kanak-kanak mempunyai ketahanan mental berbeza.

Itulah punca Siti nekad meninggalkan kerjaya idamannya. Wanita ini terpaksa mengetepikan kemahuan diri demi memenangi semula hati anak kesayangan yang sudah terlalu jauh dibuai emosi. Sendiri.

Terdetik dalam hati, mungkin itulah sebahagian daripada kemuncak tekanan bagi anak kecil. Jiwa polosnya pasti terdera tanpa disedari orang sekeliling. Walaupun setiap kanak-kanak mempunyai ketahanan mental berbeza, namun kisah Siti tetap wajar diambil sebagai pengajaran berguna dalam mendidik anak di usia kecil.

Merujuk persoalan mengenai sejauh mana masalah tekanan boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak, Pakar Psikologi Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Mariani Md Nor menjelaskan, ia wujud apabila berlakunya perselisihan antara kehendak anak dengan persekitaran sekelilingnya.

“Tekanan adalah perkara biasa bagi kanak-anak. Ia adalah sebahagian daripada proses pembesaran, melalui fasa baru dan pengalaman dalam kehidupan. Dalam kebanyakan situasi, tekanan wujud apabila berlakunya percanggahan kehendak kanak-kanak itu sendiri dengan persekitaran, yang merangkumi ibu bapa, rakan sebaya serta guru.

“Semua pihak harus maklum bahawa dunia kanak-kanak lebih kepada bermain, sedangkan persekitaran sekolah dan rumah menuntut mereka melakukan perkara lain.

“Mungkin dalam sehari atau dua, ia menjadi perkara baru, tetapi lama-kelamaan, situasi yang menuntut kanak-kanak melakukan pelbagai aktiviti dan akhirnya menjadi satu beban yang tiada jalan penyelesaian. Ketika inilah berlakunya tekanan,” katanya.

Menurut Dr Mariani, punca dan penyebab tekanan bergantung kepada situasi persekitaran, budaya dan prasarana. Sama ada tidak dapat memenuhi kehendak ibu bapa atau guru, kedua-duanya boleh menjadi salah satu sebab yang perlu diambil perhatian.

“Ini kerana, dengan keadaan tidak puas hati yang berterusan tanpa penyelesaian baik, ia boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami kegusaran dan tidak selesa.

“Selain itu, pertelingkahan dalam keluarga juga boleh menjadi penyebab kedua terpenting yang perlu diberi perhatian khusus. Ibu bapa yang kerap bertelingkah di depan anak boleh meninggalkan kesan tidak selesa dalam diri si kecil kerana kanak-kanak secara fitrahnya sentiasa ceria, gembira serta aktif melakukan apa saja yang mereka mahu,” katanya.


WUJUDKAN persekitaran sihat untuk anak-anak.

Sandaran ibu bapa cetus tekanan

Ketika mengulas mengenai faktor yang boleh meningkatkan risiko tekanan, Dr Mariani menegaskan perkara itu terbahagi kepada dua komponen utama iaitu keluarga dan sosial serta tabiat dan perangai.

“Keluarga yang tidak harmoni boleh meningkatkan risiko tekanan dalam kalangan kanak-kanak. Hal ini berlaku disebabkan ibu bapa gagal memberi sepenuh perhatian terhadap anak-anak, terutama dari segi pengisian rohani, kasih-sayang, keselamatan dan sebagainya.

“Ada juga yang mengalami tekanan disebabkan faktor tabiat suka menyendiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan. Kelompok ini biasanya cenderung berdiam diri berikutan kurang percaya pada kemampuan diri sendiri serta mudah berputus asa. Begitupun, ada juga yang lambat menyesuaikan diri dengan kanak-kanak lain hingga mendatangkan ketidakselesaan yang berpanjangan.

“Apabila perkara sebegini berlaku, ibu bapa perlu lebih peka dan bijak mengambil tindakan bersesuaian. Cuba selami perasaan anak-anak dan fahami konflik yang dihadapi mereka. Apabila masalah dapat dikenal pasti, barulah jalan penyelesaiannya boleh difikirkan bersama,” katanya.

Jelas beliau, menangani isu tekanan emosi dalam kalangan anak kecil dan remaja bukanlah kerja mudah. Ibu bapa perlu mengetepikan sifat tegas dan bertindak sebagai seorang kawan.

“Mereka perlu meraih kembali kepercayaan anak, berbincang dengan tenang dan menghidupkan kembali keceriaan supaya masalah dapat dikongsi bersama.

“Ketika ini, kita lihat ramai ibu bapa meletakkan diri anaknya sebagai sandaran untuk melihat mereka cemerlang dalam hidup. Perlu diketahui bahawa meletak harapan tinggi terhadap kemampuan anak-anak juga boleh menyebabkan mereka tertekan.

“Boleh jadi, anak tidak mampu mencapai apa yang diinginkan oleh ibu bapa. Apabila situasi ini berlaku anak akan berasa lebih tertekan kerana tidak dapat memenuhi kehendak ibu bapa yang mereka sayangi,” katanya.

Beri perhatian

Banyak lagi faktor sampingan yang boleh dikaitkan dengan masalah tekanan dalam kalangan anak-anak kecil. Ada waktunya, ibu bapa cenderung bersikap mementingkan diri. Mereka tidak memahami kehendak anak yang sepatutnya berkelakuan mengikut umur kanak-kanak.

“Ini tandanya tiada persefahaman antara kehendak anak dan ibu bapa dalam banyak aspek kehidupan. Tidak kira sama ada membabitkan keinginan, minat atau keupayaan, ibu bapa gagal memahami kerana tidak peka.

“Faktor rakan sebaya juga mainkan peranan penting. Ada juga kes di mana kanak-kanak yang tidak dapat diterima oleh rakan lain disebabkan sikap dan perangai yang sukar difahami kumpulan rakan sebaya.

“Sedangkan dalam kehidupan kanak-kanak, bermain, berbincang dan bersukan adalah antara aktiviti yang lazim mereka lakukan secara bersama. Akibatnya, mereka rasa seolah-olah disisih, tidak yakin dan akhirnya menyendiri.

“Usahakan hubungan baik dan positif antara ahli keluarga. Ini kerana, hubungan kekeluargaan yang positif dalam rumah tangga berupaya membentuk emosi yang baik dalam diri anak-anak. Begitu jugalah sebaliknya,” katanya.

Tambah Dr Mariani, peranan ibu bapa cukup penting dalam membawa perubahan diri seorang anak, tidak kira dari sudut emosi mahupun aspek lain. Hal itu berlaku kerana naluri anak yang sering meletak harapan kepada ibu bapa dalam memikirkan penyelesaian terbaik untuk keluarga.

“Saya percaya bahawa ibu dan bapa lebih mengetahui karakter anak berbanding dengan lain. Jika anak-anak mengalami tekanan emosi, pasti ada perkara yang terlepas daripada sudut pandang kedua orang tuanya.

“Apapun, keluarga yang sihat perlu sentiasa mengadakan masa kualiti bersama, mewujudkan komunikasi baik antara ibu dan bapa, ibu bapa dan anak serta adik beradik. Berkomunikasilah dengan anak-anak secara telus dan ceria untuk membina hubungan lebih erat,” katanya.


TAMBAHKAN aktiviti anak yang menyeronokkan selepas seharian penat menelaah di sekolah.

Tip menangani tekanan dalam kalangan ahli keluarga

1. Belajar melepaskan tekanan dalam kalangan ahli keluarga dengan perbincangan secara telus dan santai.

2. Melakukan aktiviti senaman bersama pada waktu lapang dalam satu keluarga sama ada ketika bercuti atau santai bersama.

3. Wujudkan kumpulan sosial untuk anak di sekitar kawasan kejiranan atau di tempat kerja.

4. Fitrah kanak-kanak adalah bermain, untuk itu tambahkan aktiviti anak yang menyeronokkan selepas seharian penat menelaah di sekolah.

5. Lakukan aktiviti bersama anak untuk wujudkan komunikasi dua hala yang sihat.

6. Manjakan diri sendiri sebagai ibu, bapa dan anak dalam sesebuah keluarga itu.

7. Cari jalan penyelesaian secara telus bersama dan terbuka dengan pendapat yang diluahkan dalam keluarga.

8. Wujudkan sifat pemaaf dan mensyukuri dalam kalangan ahli keluarga supaya masing-masing mempunyai perasaan dihargai disayangi dan diperlukan antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 11:01 AM