KEK biskut coklat.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Makan petang bersama keluarga tentu menjadi detik yang indah apabila dapat menikmati hidangan lazat disediakan ibu.

Selain hidangan makan petang biasa seperti keropok atau pisang goreng, hidangan enak seperti kek juga boleh menyerikan masa bersama keluarga.

Bagaimanapun, kebiasaannya proses membuat kek mengambil masa agak lama, dari menyediakan bahan, menyukat, hingga mengadun bancuhan kek malah untuk membakarnya pula pasti mengambil masa sehingga sejam.

Tambahan pula, apabila kita dimaklumkan rakan mahupun saudara-mara mereka ingin berkunjung ke rumah dan tiba dalam masa singkat. Untuk menyediakan hidangan dalam tempoh singkat itu, pastinya membuat kek bukanlah pilihan utama.

Dengan bahan masakan di rumah yang ada kalanya tidak mencukupi atau kehabisan stok, bertambah sukar untuk mencari idea mengenai makanan yang boleh disediakan buat tetamu.

Namun, dengan hanya dua bahan asas, resipi kek biskut coklat pasti memberi idea baru. Menariknya, bahan bagi menu ini kebiasaannya tersedia sepanjang masa di dapur untuk kegunaan kudapan atau minum petang, jadi tidak perlu bergegas ke kedai untuk mendapatkannya.

Menu ringkas ini juga begitu mudah di sediakan untuk acara keramaian tanpa memerlukan masa yang lama.

Resipi kek biskut coklat ini begitu mudah tidak perlu lagi menyukat tepung, atau memukul adunan malah cukup digemari kanak-kanak berikutan rasanya yang manis dan berlemak.

Tanpa memerlukan masa yang panjang hidangan ini boleh disediakan sesiapa saja dan amat menyenangkan. Bahannya juga tidak susah dicari dan ia sangat lazat dan tidak menelan kos tinggi.

BAHAN

• 600 gram biskut coklat berkrim

• 250 ml susu coklat

• Bahan hiasan

• Coklat gelap (dicairkan)

• Biskut mentega (dihancurkan)

• Dua sudu mentega (dicairkan)

• Gula manik berwarna-warni (atau sebarang jenis kacang/cip coklat untuk tujuan hiasan)


BAHAN-BAHANYA.

1. HANCURKAN biskut coklat berkrim (menggunakan penggelek atau dikisar halus)

2. CAMPURKAN susu coklat bersama biskut coklat yang sudah dihancurkan.

3. GAUL rata hingga adunan menjadi likat dan sekata.

4. DALAM bekas lain, sebatikan biskut mentega hancur dengan mentega yang dicairkan.

5. PADATKAN adunan biskut mentega di dasar bekas untuk mengukus.

6. TUANGKAN adunan biskut coklat dan susu ke di atasnya.

7. KUKUS adunan selama kira-kira 20 minit, atau masukkan ke dalam ketuhar gelombang mikro selama lima minit.

8. CAIRKAN coklat gelap dan tuang di atas kek yang siap dikukus.

9. TABUR gula manik sebagai hiasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 12:01 AM