WAJAH menawan selepas disolek.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Menyambut kedatangan musim bunga dan panas 2018, mungkin sudah tiba waktu sesuai untuk anda mula mengumpul koleksi solekan dengan rona indah yang hangat dan semula jadi.

Jika melihat kepada perubahan dan gerak fesyen semasa, solekan minimalis dijangka menjadi pilihan ramai jurusolek sepanjang musim bunga tahun depan! Sesuai dengan tuntutan gaya dengan elemen ringkas tetapi menonjol, solekan nipis dilihat lebih tepat untuk menyerlahkan kejelitaan wanita era moden.

Menurut jurusolek DiademstudioByJauhara, Aida Jauharah Abu Bakar, solekan minimalis mampu menyerlahkan rupa wajah yang anggun, lembut dan sederhana, tetapi masih menonjol.

“Minimalis 2018 tidak ada calitan penggaris mata atau kening yang tebal.

Lebih banyak warna yang hangat seperti jingga, merah, coklat dan kuning. Warna semula jadi diadun lembut untuk watak manis dan sederhana.

“Solekan pula nampak lebih segar tanpa garis pipi yang terang atau pembayang mata rona gelap. Penekanan juga banyak diberi kepada bibir dengan calitan gincu merah terang untuk solekan malam atau ‘nude’ bagi siang hari.

“Pembayang pipi juga dikurangkan satu tona lebih rendah. Elakkan garis pembayang keterlaluan, sebaliknya lebihkan sapuan merah jambu atau merah jingga yang lembut untuk menonjolkan tulang pipi, sesuai dengan mood musim bunga penuh warna-warni,” katanya.

Jelas Aida, tatarias solekan musim bunga dan panas kali ini menggambarkan ekspresi segar pada wajah dan secara tidak langsung menyerlahkan kecantikan semula jadi wanita.

“Justeru, penting untuk memilih bedak asas sesuai dengan rona kulit. Sembunyikan cela atau lingkaran gelap dengan menggunakan penyamar noda. Sebagai pelengkap wajah, gunakan pelentik bulu mata dan gincu rona sesuai. Itu saja.

“Tentu sedap mata memandang apabila wajah manis dan ceria dengan layangan rona lembut. Pipi dilayangkan dengan nuansa merah samar menghasilkan senyuman manis pada wajah.

“Dipadankan pula dengan olesan rona merah terang di bibir serta pembayang mata berona lembut, segala-galanya cukup untuk menonjolkan wajah minimalis segar sepanjang musim,” katanya.

Paling menarik, solekan ini boleh dilakukan sesiapa saja dengan menggunakan koleksi alat solek harian anda!

Tip

1. Cuaca panas menyukarkan solekan kekal di wajah. Sebagai alternatif, gunakan solekan kalis air untuk gaya wajah menawan.

2. Elakkan menyapu krim pada wajah kerana kulit akan kelihatan berminyak dan melekit.

3. Bangkitkan keceriaan dengan rona terang atau pusam sebagai pembayang mata.

4. Elakkan sapuan pembayang pipi dan hidung berlebihan untuk mendapatkan wajah manis semula jadi.

5. Utamakan kekemasan dalam solekan dengan memilih bahagian yang hendak ditonjolkan.

Langkah demi langkah


1. SEBELUM

2. RATAKAN bedak asas menggunakan span.

3. SAPU penyamar noda di bawah mata untuk mengurangkan kesan lingkaran gelap.

4. GUNAKAN berus untuk membentuk hidung dan jari bagi menaikkan tulang pipi.

5. SAPUKAN pemerah pipi menggunakan ibu jari atau berus.

6. PILIH pembayang mata rona coklat kemerahan.

7. TONJOLKAN saiz mata dengan maskara.

8. BENTUKKAN kening dengan mengadun pembayang rona coklat gelap.

9. SAPUAN gincu rona merah melengkapkan solekan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 2:55 PM