WANITA hamil dinasihatkan menjaga pemakanan ketika mengandung
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Ramai beranggapan demam, sakit pada betis dan sakit dada atau rasa penat berlebihan ketika berpantang disebabkan tidak mendapat rehat secukupnya. Bagi wanita yang mempunyai tanda ini mereka dinasihatkan tidak mengambil mudah. Segera berjumpa doktor kerana ada kemungkinan anda diserang embolisme paru-paru atau darah beku dalam saluran darah menuju paru-paru.

Menurut Pengarah Perubatan, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pusrawi Dr Habibah Abd Ghani, keadaan ini berlaku kerana ketika mengandung darah menjadi lebih pekat daripada biasa. Hormon wanita hamil akan merangsang badan menghasilkan lebih protein yang memekatkan darah. Tujuannya untuk melindungi wanita daripada mengalami keadaan tumpah darah selepas bersalin.

Selain itu janin yang semakin membesar akan menghimpit saluran darah utama menyebabkan aliran darah kurang lancar.

“Jika wanita tidak sedar dan berasakan ia perkara biasa, lama-kelamaan darah beku berkumpul dengan lebih banyak dan besar pada bahagian kaki. Ini akan menyebabkan berlakunya trombosis vena atau penggumpalan darah dalam salur darah vena.

“Pesakit akan menunjukkan tanda bengkak kaki secara tiba-tiba dan mengadu sakit pada betis ketika berjalan. Sekiranya ia tidak dirawat, darah beku pada saluran darah kaki ini akan pecah pada bila-bila masa.

“Darah beku yang lebih kecil ini akan bergerak mengikut aliran darah hingga ke saluran darah ke paru-paru, menyebabkannya tersumbat serta boleh mengakibatkan kematian,” katanya.

Walaupun kejadian ini jarang berlaku, menurut Dr Habibah, ia boleh menyebabkan kematian secara mengejut. Malah, dalam kebanyakan kes, ia hanya dapat disahkan selepas bedah siasat dijalankan.


EMBOLISME paru-paru

“Kebanyakan wanita kurang mengambil tahu mengenai masalah ini kerana ia jarang didedahkan. Ia menjadi faktor mengapa isu ini selalu dipandang ringan oleh ramai orang. Tetapi, perlu diingat kebanyakan mangsa menemui maut sebelum sempat sampai ke hospital,” katanya.

Merujuk statistik kematian ibu mengandung dan berpantang yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia, embolisme paru-paru menjadi salah satu punca utama yang menyumbang kepada bilangan yang direkodkan. Ia berada di tempat ketiga dengan nisbah 1.3 dalam 1,000 kehamilan. Manakala kes pendarahan selepas bersalin dan darah tinggi masih menjadi punca utama kematian.


WANITA bersalin normal tidak terkecuali untuk mengalami embolisme paru-paru.

Pembedahan bersalin lebih berisiko

Semua wanita yang bersalin secara normal atau pembedahan tetap terdedah kepada risiko embolisme paru-paru disebabkan kandungan darah lebih pekat daripada biasa. Namun begitu, risiko untuk mendapat penyakit ini lebih tinggi bagi yang bersalin secara pembedahan.

“Kesakitan yang dialami membuatkan wanita kurang bergerak selepas bersalin, lama-kelamaan aliran darah tidak lancar sehingga menyebabkan trombosis vena berlaku. Keadaan mungkin bertambah buruk sekiranya mempunyai masalah obesiti atau faktor risiko lain.

“Begitu juga halnya dengan wanita yang bersalin secara normal, tetapi mempunyai faktor risiko tertentu. Mereka tidak terkecuali untuk mengalami embolisme paru-paru,” katanya.

Antara kelompok berisiko yang dikenal pasti adalah:

1. Wanita berusia 35 tahun ke atas

2. Wanita obes

3. Perokok

4. Mengandung anak kembar

5. Wanita yang mengalami masalah lain seperti praeklampsia, paru-paru, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung

6. Kerap mengandung (memiliki anak yang ramai)

Oleh itu penjagaan dalam pantang adalah sangat penting terutama sepanjang enam minggu pertama bagi membolehkan rahim kembali normal.

“Proses pengecutan rahim berlaku dalam masa 10 hingga 14 hari. Dalam tempoh ini wanita mempunyai kebarangkalian untuk dijangkiti kuman sama ada bersalin secara normal atau pembedahan.


TEKANAN dan letih menyebabkan wanita tidak cukup rehat.

“Adalah sangat penting untuk wanita mengamalkan pemakanan sihat sepanjang berpantang. Untuk yang bersalin secara pembedahan dinasihatkan mengambil makanan kaya protein dan vitamin termasuklah buah-buahan dan sayur-sayuran. Minum banyak air bagi menggantikan cecair tubuh yang keluar menerusi perpeluhan dan penyusuan,” katanya yang menasihat wanita mengawal berat badan ketika mengandung bagi mengelak obesiti.

Langkah pencegahan

Ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengelak embolisme paru-paru terutama bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi iaitu:

1. Minum banyak air untuk mengelakkan dehidrasi.

2. Aktif bergerak dan berjalan terutama selepas pembedahan.

3. Menggunakan stokin penghalang tromboembolik (TED). Ia adalah stokin khas untuk mengelakkan pembentukan darah beku pada kaki.

4. Ubat suntikan pencair darah atau heparin disediakan di semua hospital. Sesetengah hospital akan memberi suntikan semasa mengandung atau selepas bersalin untuk tempoh tertentu dan perlu disuntik setiap hari. Suntikan ini berkesan untuk mencegah pembentukan darah beku dalam saluran darah. Sila rujuk klinik kesihatan daerah terdekat bagi tujuan pemeriksaan di rumah. Ini sangat penting kerana jururawat bertugas akan memantau kesihatan dan merujuk kepada hospital terdekat sekiranya anda mempunyai tanda embolisme paru-paru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 1:01 PM