RUSMAINI ketika berada di puncak gunung didaki.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Sekali pandang mungkin ramai yang tidak menyangka wanita bertubuh kecil molek yang lincah dan aktif ini sudah pun menjangkau ke usia emas.

Bagaimanapun, status seorang ibu dan nenek tidak sedikit pun melemahkan semangatnya untuk terus menjaga kecantikan dan kesihatan luar dan dalam.

Kala wanita seusianya sudah mula didatangi pelbagai penyakit akibat faktor usia dan tidak lagi mementingkan aspek penjagaan diri, anak kelahiran Kuala Lumpur ini memilih menjadi sebaliknya.

Dia akui untuk kekal cantik dan bertenaga, memerlukan disiplin diri yang tinggi terutama berkaitan faktor pemakanan harian.

Menurut Rusmaini Kosnan, 59, dia mengamalkan diet sihat dengan mengurangkan pengambilan nasi setiap hari dan memilih sarapan sihat seperti bijirin berserta susu kambing.


MEMPUNYAI semangat yang tinggi setiap kali mendaki untuk sampai ke puncak.

“Itu adalah rutin wajib saya. Saya percaya faktor pemakanan perlu dijaga sebaik mungkin kerana ia mempengaruhi kecantikan dan kesihatan diri seseorang.

“Pada masa sama, untuk mengekalkan kecantikan dan kecergasan diri, saya aktif melakukan aktiviti lasak terutama mendaki gunung dan bukit pada waktu terluang,” katanya.

Rusmaini berkata, dia amat meminati aktiviti lasak sejak kecil iaitu seawal usianya tujuh tahun.

“Saya mula melakukan aktiviti ini dengan mengikut ayah, namun ia terhenti selepas berkahwin kerana sibuk menguruskan rumah tangga dan mengerjakan rutin harian sebagai isteri juga ibu.

“Namun, saya kembali aktif dalam aktiviti ini sejak enam tahun lalu iaitu selepas pemergian suami tercinta. Saya mencari kekuatan untuk melupakan kesedihan dengan melakukan aktiviti ini,” ujarnya.

Keluarga beri sokongan

Berkongsi minat yang sama dalam mengekalkan kecantikan dan kesihatan diri bersama empat anaknya, Rusmaini menjadi kian bersemangat untuk meneruskan pembabitan dalam sukan lasak.

“Saya mempunyai empat anak perempuan dan semuanya meminati sukan ini terutama anak kedua yang sering mengajak saya menyertai aktiviti mendaki gunung dan bukit.

“Bukan saja anak, menantu dan cucu juga meminati sukan lasak ini malah kami menjadikannya sebagai aktiviti keluarga untuk berseronok. Hasilnya memang memuaskan kerana kami bukan saja menjadi lebih cergas malah hubungan dan kemesraan keluarga juga bertambah,” katanya.

Menurut Rusmaini, pencapaian terbaiknya adalah mendaki Gunung Kinabalu pada Disember tahun lalu bersama anak dan menantunya.

“Aktiviti ini bukanlah mudah. Ia memerlukan semangat serta ketahanan fizikal dan mental untuk sampai ke puncak.

“Satu nikmat yang tidak dapat dibayangkan dirasai setiap kali saya tiba di puncak dan dalam masa sama, saya berpeluang menikmati keindahan ciptaan Yang Maha Esa. Saya juga tidak melepaskan peluang untuk menyarung pakaian mengikut tema yang saya pilih,” katanya.

Rusmaini berkata, dia juga berbangga kerana dapat tiba di puncak setiap kali menyertai aktiviti mendaki gunung dan bukit.

“Saya tidak akan mengalah kerana saya yakin semangat saya kuat untuk sampai ke atas selain sentiasa mendapat bantuan dan sokongan ahli keluarga.

“Setakat ini, saya sudah mendaki lebih 35 bukit dan gunung. Antaranya adalah Gunung Kinabalu, Gunung Ledang, Gunung Irau, Gunung Angsi, Gunung Dato’, Gunung Arung, Bukit Tabur dan Bukit Broga,” ujarnya.

Katanya, aktiviti yang dilakukan itu bukan saja bermanfaat untuk dirinya malah ia memberikan keseronokan dan kepuasan yang tidak dapat digambarkan.


KEKAL cantik dan bertenaga pada usia emas.

Usaha kekal cantik cergas

“Istilah cantik itu subjektif dan ini adalah cara saya untuk menjaga kecantikan serta kesihatan diri secara semula jadi kerana saya yakin aktiviti ini banyak manfaatnya, khusus kepada diri sendiri.

“Pada usia sebegini, saya tidak boleh mengambil ringan aspek penjagaan diri kerana jika semuanya diambil mudah, banyak risiko kesihatan sedia menanti bila-bila masa,” katanya.

Dia yang kini menetap di Klang, Selangor, berkata, bagi mengekalkan staminanya dia akan berjoging setiap hari.

“Sesekali, saya akan pergi memanjakan diri di spa atau salun selepas penat dengan aktiviti harian kerana ia juga perlu bagi setiap wanita.

“Disebabkan saya jenis yang tidak boleh duduk diam, saya juga akan pastikan aktiviti harian dipenuhi dengan perkara berfaedah untuk kekal bertenaga,” ujarnya.

Jelasnya, dia percaya apa yang dilakukannya itu mampu memberi manfaat kepada dirinya dan akan terus aktif selagi diberi kekuatan.

“Ini cara saya dan saya percaya setiap individu itu ada cara tersendiri untuk kekal cantik dan bertenaga walaupun sudah berusia.

“Cantik dan sihat itu berkait rapat kerana kecantikan semula jadi akan lebih terserlah apabila individu itu menjaga kesihatan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 2:41 PM