JURUTERAPI melakukan rawatan wajah kepada pelanggan.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


Jauh daripada kesibukan kota, suasana yang tenang dan mendamaikan menjadikan lokasi Anggun Aenn’s Beauty & Spa memenuhi kriteria sebuah pusat kecantikan yang diidamkan pelanggan.

Walaupun tidak berada di kota metropolitan, perkhidmatan dan rawatan ditawarkan setanding dengan spa ternama lain di ibu kota. Faktor harga lebih rendah pula memberi nilai tambah kepada spa yang beroperasi di luar kota besar.

Terletak di depan Medan Selera Kelulut, Marang, Terengganu, spa yang membawakan konsep ala Bali, Indonesia ini menawarkan pelbagai rawatan dan perkhidmatan bermula daripada hujung rambut hingga hujung kaki.

Menurut pengasasnya, Noorain Seman, suasana tenang memberikan keselesaan kepada pelanggan yang datang untuk memanjakan diri selain menghilangkan penat selepas menunaikan tanggungjawab bekerja setiap hari.


DEKORASI ringkas namun memberikan ketenangan dan keselesaan kepada pelanggan.

“Walaupun spa ini jauh dari bandar namun apa yang kami tawarkan setanding dengan spa lain. Kami sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan cuba memberikan layanan yang terbaik kepada pelanggan.

“Antara perkhidmatan yang mendapat sambutan menggalakkan adalah rawatan wajah, lulur serta mandi bunga tempayan,” katanya.

Menurutnya, dia memberi kelainan dalam perkhidmatan mandi bunga tempayan berbanding pusat kecantikan lain kerana pelanggan tidak sekadar berbaring di tab mandi yang dipenuhi bunga.

“Di sini, kami akan masukkan pelbagai jenis bunga ke dalam tempayan sebelum ia dibiarkan selama beberapa jam bagi merangsang aura bunga segar dan harumannya sebati dengan air.

“Ia amat istimewa kerana pelanggan dilayan bak permaisuri oleh juruterapi bertauliah kami,” ujarnya.


SUSUN atur menarik spa ala Bali.

Selain mandian bunga tempayan, banyak lagi jenis rawatan wajah di spa mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan yang datang.

“Setiap rawatan wajah akan disertakan dengan urutan bagi melancarkan aliran darah pada muka. Syukur, sehingga kini maklum balas yang diterima daripada pelanggan adalah positif. Rata-ratanya berpuas hati dengan setiap rawatan yang ditawarkan di sini dan berbaloi dengan harga dibayar,” katanya.

Harga berpatutan

Dengan rawatan dan perkhidmatan lima bintang yang ditawarkan, pelanggan bukan saja dapat merehatkan diri tapi mampu mengatasi pelbagai masalah dihadapi berkaitan kecantikan diri.

“Harga ditawarkan bermula RM30 sehingga RM280 dan pelanggan boleh memilih pakej mengikut kemampuan masing-masing,” ujarnya.

Kata Noorain, dia tidak memikirkan soal keuntungan semata-mata kerana aspek kepuasan pelanggan lebih diutamakan.


JURUTERAPI melakukan rawatan kepada pelanggan.

“Kami menyasarkan setiap wanita tanpa mengira status mampu datang ke sini untuk memanjakan diri mereka di spa dan disebabkan itu juga semua rawatan kami tawarkan pada harga berpatutan.

“Remaja seawal usia 13 tahun sudah boleh datang ke sini untuk melakukan apa saja jenis rawatan dan produk digunakan juga selamat kerana semuanya dirumus dengan ramuan asli.


NOORAIN di spa miliknya.

“Apa yang kami tawarkan di sini sama dengan semua spa lain kerana kami mempunyai pakej lengkap untuk wanita selepas bersalin dan pengantin.

“Saya sentiasa berusaha memberikan pengalaman bermakna kepada setiap pelanggan dan mereka tidak perlu terbang ke Bali atau pergi ke Kuala Lumpur semata-mata untuk mendapatkan layanan lima bintang di spa,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 2:37 PM