MINYAK kelapa. FOTO sumber Google
HM Digital

Kecantikan individu itu tidak hanya diukur melalui penampilan wajah yang berseri, namun ia dinilai secara menyeluruh bermula daripada rambut sehingga ke hujung kaki.

Masalah rambut gugur yang dihadapi kebanyakan wanita boleh menghilangkan keyakinan diri apabila hari demi hari, rambut menjadi semakin tipis sehingga menampakkan kesan penuaan.

Ia masalah biasa bagi kebanyakan wanita dan lelaki kerana dalam keadaan normal, manusia kehilangan kira-kira 100 helai rambut sehari.

Bagaimanapun, jika berlebihan, ia mungkin dipengaruhi faktor kesihatan terjejas hingga mengakibat­kan rambut gugur. Tidak mustahil, ia boleh menjadi tanda penyakit yang tidak terduga.

Rawatan semula jadi untuk rambut gugur boleh dilakukan sendiri kerana selain selamat, anda dapat menjimatkan wang. Berikut antara petua tradisional yang boleh dicuba untuk mendapatkan rambut sihat dan mengurangkan masalah keguguran.

Ia bukan hanya boleh dilakukan golongan berusia, namun juga sesuai dibuat golongan remaja sekerap yang mungkin kerana semua kaedah ini tidak mempunyai kesan sampingan memudaratkan.

Lidah buaya

Manfaat luar biasa tumbuhan ini sememangnya diketahui sejak zaman berzaman untuk mengurangkan rambut gugur. Maka tidak hairan banyak produk penjagaan rambut menggunakan pati lidah buaya sebagai bahan utama.

Ambil daun lidah buaya, potong bahagian tengahnya dan ambil lendirnya. Lumur pada rambut hingga rata. Urut kulit kepala dan biarkan lima minit. Cuci rambut hingga bersih.

Minyak kelapa

Minyak kelapa dapat memberi nutrisi kepada rambut dari dalam sehingga mampu membuatkan rambut berkilat dan lebih sihat. Minyak kelapa adalah perapi semula jadi yang dapat mencegah pertumbuhan rambut rosak.

Untuk mengatasi rambut gugur, lumur minyak kelapa ke rambut hingga mengenai seluruh kulit kepala. Urut kulit kepala selama beberapa minit dan bilas. Mengurut juga membantu peredaran darah menjadi lebih lancar.

Minyak zaitun

Minyak zaitun ada banyak manfaat antaranya sebagai perawat semula jadi rambut bagi mengurangkan kerosakan akibat penggunaan produk perapi atau pewarna rambut yang mengandungi bahan kimia.

Sebaiknya gunakan minyak zaitun asli. Caranya campurkan dua sudu minyak zaitun dan minyak kelapa, sapu pada kulit kepala sebelum tidur.

Urut kepala selama 10 minit secara perlahan dan tutup rambut dengan topi mandi hingga pagi sebelum mencucinya menggunakan syampu yang lembut.

Avokado

Buah berkulit hijau dengan isi kekuningan ini mempunyai khasiat besar untuk membaiki kerosakan rambut. Ia bukan sekadar mengembalikan kilauan, memperkuat dan membaiki tekstur helaian rambut, malah mengubah rambut kusam menjadi lebih segar, beralun.

Caranya, lumatkan isi buah avokado bersama pisang. Sapu campuran ini ke kulit kepala dan urut supaya rata. Biarkan ia mengering selama setengah jam. Bilas dengan syampu. Setelah rambut kering, anda akan mula nampak rambut menjadi lebih tebal dan beralun.

Daun inai

Sejak dulu daun inai memang diakui mempunyai banyak khasiat, khususnya dalam merawat masalah rambut serta kulit kepala. Cuba kisar atau tumbuk lumat daun inai dan campur dengan sedikit air bagi menjadi pes.

Ratakan di seluruh kulit kepala dan tutup dengan topi mandi selama tiga jam. Selesai tempoh berkenaan, bilas dengan air bersih dan gunakan perapi. Ulangi langkah ini dua kali seminggu untuk menggalakkan pertumbuhan rambut yang lebih aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 2:32 PM