SESI perkenalan kelab di Ekspo Korea awal tahun lalu.
SESI perkenalan kelab di Ekspo Korea awal tahun lalu.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Apabila sudah minat dengan sesuatu perkara, segala kesusahan dan kesukaran akan dilalui dengan mudah. Begitulah juga dengan hobi tiga individu ini yang tidak kisah untuk meluangkan masa berkongsi minat sama dengan rakan yang tidak dikenali.

Mulanya, sekadar suka-suka dan akhirnya usaha mereka membuahkan hasil apabila berjaya menubuhkan kelab KMania yang didaftarkan secara rasmi pada September 2016 dengan Registrar of Society (ROS).

Setidak-tidaknya, masa terluang yang ada boleh dipenuhi dengan aktiviti bermanfaat di samping dapat menyalurkan maklumat diinginkan peminat K-Drama dan K-Pop.

Kelab informasi

Presiden KMania Ahmad Firdaus Khaidir berkata, kelab berkenaan pada asalnya terbentuk daripada pengguna aktif forum Internet yang mempunyai minat terhadap budaya Korea terutama drama dan lagu.

“Mereka terdiri daripada latar belakang yang berbeza usia tanpa mengira jantina dan bangsa. Pengguna forum ini bergerak aktif melalui cabang forum untuk berbincang secara bebas mengenai drama Korea sebelum keluar dari kepompong selesa lalu menubuhkan anugerah dalam talian, CARI Kdrama Awards kali pertama di antara komuniti ini pada 2012.

“Anugerah berkenaan untuk menilai sesuatu drama berdasarkan ulasan secara kritikal dan mampan yang ditulis oleh pengguna forum ini.

“Tujuannya untuk memberi gambaran kepada penonton setia K-Drama supaya melihat lebih jauh mengenai drama yang ditonton di luar ruang pandangan orang lain.

“Malah ia juga melatih keterbukaan menerima kritikan bagi setiap drama dipilih supaya memenuhi cita rasa sesetengah mereka yang menontonnya,” katanya.


MESYUARAT Agung kali ke-2 mengumpulkan AJK dari utara dan selatan tanah air.

Penilaian dilakukan secara sistematik tanpa prejudis oleh majlis pengkritik yang ditubuhkan setiap tahun. Usaha ini diteruskan setiap tahun bermula 2012 sehinggalah 2016 (kali ke-5).

Jelasnya, dia selaku orang bertanggungjawab menganjurkan anugerah kritik itu yakin model digunakan untuk penilaian drama berkenaan adalah yang terbaik dan relevan.

Ia perlu memenuhi jiwa penonton Malaysia kerana bukan saja mereka menyumbang, tetapi juga berhak menentukan pemenangnya sendiri.

Setakat ini, anugerah yang pada mulanya dikenali pengguna forum kini berkembang di ruang media sosial dan akhirnya mendapat liputan di media cetak dan digital.

“Namun, penganjuran di laman forum saja tidak memadai. Kami terfikir adakah perlunya sebuah kelab. Idea ini asalnya terlintas sekitar 29 hingga 30 Julai 2016 selepas mengamati kelab peminat drama Korea yang berpangkalan di London.

“Berinspirasikan kelab berkenaan, matlamat kami hampir sama. Pengguna forum paling senior iaitu Winnie George yang mesra disapa Isabel dalam kalangan ‘forumer’ menggesa saya menghimpunkan ahli baru untuk mempercepatkan pendaftaran kelab.

“Walaupun agak tergesa-gesa, tidak disangka mereka juga mahu disatukan dalam kelab. Seminggu kemudian, kami kali pertama bermesyuarat untuk memudahkan laluan bagi mendaftarkan kelab ini,” katanya.

Jelasnya, nama ‘KMania’ dicetuskan oleh Isabel dan dipersetujui majoriti ahli kelab, K merujuk kepada Korea dan mania pula sesuatu yang sensasi.

Maksud lain KMania ialah Kelab Pengkritik dan Peminat Korea Se-Malaysia. Ia bukan sekadar kelab peminat, tetapi juga sebagai ruang kritikan terhadap drama yang menepati matlamat asal iaitu Anugerah CARI Kdrama.

Ia adalah kelab berbahasa Melayu yang boleh dijadikan rujukan peminat drama Korea dari semasa ke semasa. Semua penulis sambilan di laman kelab itu melakukannya secara sukarela tanpa mengharapkan bayaran.

“Kelab ini juga bergerak aktif dengan menghadiri jemputan sidang media membabitkan kedatangan selebriti Korea ke Malaysia selain memberikan kupasan mengenai konsert K-Pop dari sudut pandangan sendiri.

“Banyak aktiviti dijalankan kelab ini termasuk sesi perkenalan atau ramah mesra dengan orang ramai. Setakat ini, KMania sudah berjaya mendaftarkan lebih 150 ahli bermula dengan sesi perkenalan di Ekspo Korea di Mid Valley pada Januari 2017 sehinggalah ke hari ini.

“Setiap ahli yang mendaftar mestilah warganegara Malaysia dan berusia 18 tahun ke atas. Disebabkan tiada had umur, keahlian kelab terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Minat menyatukan rakan baru

Roshidah Rosli, 33, mengakui sangat gembira apabila dipertemukan dengan rakan yang meminati sama dalam K-Pop dan K-Drama sekali gus memberinya kepuasan dalam setiap tugasan yang perlu dilakukan dalam kelab yang disertainya, KMania.

“KMania ditubuhkan bagi merealisasikan impian kami untuk menjadi sebuah kelab berdaftar yang menyampaikan informasi berkenaan muzik, drama dan budaya Korea kepada umum di Malaysia.

“Kami bermula dengan bertukar-tukar pendapat berkaitan K-drama dan K-Pop di portal Internet. Lama-kelamaan kami merasakan perlu mewujudkan satu komuniti bagi menghimpunkan peminat hiburan dan drama dari negara berkenaan untuk berbincang dengan lebih produktif,” katanya.


MESYUARAT Agung kali ke-2 mengumpulkan AJK dari utara dan selatan tanah air.

Dia yang bekerja sebagai akauntan bebas dan masih bujang menambah, sebagai setiausaha kelab, Roshidah perlu memastikan perjalanan kelab dirancang dan direkod dengan baik.

Bagi memastikan setiap maklumat dapat direkod dan disampaikan dengan betul, kebiasaannya dia akan bertindak sebagai ‘wartawan’ bagi melaporkan setiap aktiviti yang diadakan kelab berkenaan kepada ahlinya.

Bukan itu saja, dia juga bertanggungjawab untuk berkongsi gambar, video atau artikel di laman sosial bagi menyampaikan maklumat aktiviti yang diadakan.

“Aktiviti yang kami sertai kadang kala diadakan pada hari biasa dan waktu penganjuran bergantung kepada program. Justeru, kami harus sentiasa bersedia dengan program yang bakal berlangsung.

“Kebiasaannya, kami di pihak pengurusan tertinggi akan berbincang siapa yang akan menghadiri program berkenaan, bergantung kepada kelapangan Ahli Jawatankuasa (AJK),” katanya.

Jelasnya, dia sudahpun membabitkan diri sejak awal penubuhan kelab berkenaan dan menjadi salah seorang yang bekerja keras mewujudkan KMania.



KELAB dipilih sebagai wakil ‘Wow Pyeongchang Supporter’ anjuran Organisasi Pelancongan Korea (KTO).

Justeru, dia dan rakannya perlu fokus berusaha menaikkan jenama kelab agar mendapat perhatian masyarakat dan menjadi sumber utama media hiburan Korea di negara ini.

Baginya banyak keistimewaan dan peluang yang diperoleh sejak menyertai kelab berkenaan dan salah satunya adalah dapat mengeratkan ukhuwah dengan penggemar K-Drama dan K-Pop secara lebih produktif.

“Malah, kami juga dapat menyertai aktiviti tahunan seperti perjumpaan dan jika diberi kesempatan boleh sertai program makan malam tahunan, selari dengan Anugerah CARI Kdrama.

“Kami, juga berpeluang bertemu dengan selebriti Korea secara percuma melalui pertandingan yang dianjurkan selain berhak menerima rebat khas untuk mempromosikan perniagaan dengan menggunakan platform kelab.

“Bukan itu saja, menjadi sukarelawan dalam menjayakan aktiviti dianjurkan juga secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran bersosial serta semangat bekerjasama dan lebih menarik, sijil akan diberikan bagi mengiktiraf pembabitan ahli,” katanya.

Baginya, setiap orang ada cita rasa yang tersendiri dan ia pasti berbeza. Kunci utamanya adalah hormat dan jika sikap ini diterapkan pasti tidak akan timbul rasa sia-sia dengan aktiviti yang dilakukannya itu.

Bagaimanapun, tanggapan sesetengah orang yang mengatakan ia adalah aktiviti membuang masa, ia secara tidak langsung membakar semangat untuk membuktikan kelab yang ditubuhkan itu bukanlah kelab picisan.

Asalnya, Winnie hanyalah menjadi ‘forumer’ di forum CARI sejak 2003. Ibu kepada seorang puteri dan bekerja sebagai setiausaha di syarikat pembinaan ini menambah, pada tahun berkenaan masih belum ramai tahu mengenai budaya K-Pop.

“Saya yang memang sangat meminati drama Korea bermula dengan cerita Winter Sonata. Ketika Jewel In The Palace disiarkan di saluran televisyen, saya menyediakan sinopsis penuh setiap episod sebelum ia ditayangkan kepada penonton.

“Ketika itu pula saluran untuk mendapatkan drama terkini agak sukar dan boleh ditonton dengan hanya dengan membeli cakera video digital (DVD) yang disediakan bersama sari kata dalam bahasa Inggeris.


WINNIE (kiri) turut berpeluang menemu bual pelakon drama Korea, Lee Dong Wook dan Kim Sun Ah.

“Disebabkan sambutan diterima sangat menggalakkan sehingga peminat luar seperti dari Indonesia, Singapura dan Brunei juga mengikuti perjalanan sinopsis yang saya ditulis, saya memohon pihak pengurusan CARI untuk menyelenggarakan bod atau seksyen drama Korea dan selebriti Asia.

“Sejak itu, bod berkenaan semakin maju dan terkenal sehingga saya pernah mengelolakan dua kali lawatan beramai-ramai bersama ‘forumer’ forum berkenaan melawat tempat menarik menerusi drama yang ditayangkan,” katanya.

Bermula daripada menjadi ahli biasa, moderator hingga super moderator di forum berkenaan dan kini memegang jawatan sebagai timbalan presiden kelab, Winnie yang berusia 42 tahun ini tidak pernah jemu menyumbang maklumat diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 1:31 PM