KANAK-KANAK yang diraikan menikmati makan malam dengan penuh ceria.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Pesta Makanan the Curve 2017, baru-baru ini diakhiri dengan kunjungan yang sangat bermakna oleh Bahagian Pengurusan the Curve ke sebuah rumah kebajikan kanak-kanak, Victory Children & Youth Home, Kuala Lumpur.

Seramai 10 sukarelawan membawa pelbagai bungkusan makanan dan hadiah untuk penghuninya yang terdiri daripada 30 kanak-kanak berumur antara empat hingga 17 tahun serta dihadiri penjaga rumah kebajikan itu.

Pengurus Besar the Curve Jazmi Kamarudin berkata, lawatan ke rumah kebajikan itu inisiatif yang amat bermakna bagi pihaknya kerana berpeluang berkongsi kesenangan dengan kanak-kanak kurang bernasib baik.

“Kami sangat berbesar hati kerana dapat meluangkan sedikit masa bersama mereka dan melihat kanak-kanak ini menikmati jamuan istimewa yang dihidangkan itu.

“Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada rakan kongsi kami yang turut menghulurkan sumbangan besar bagi memastikan kunjungan amal ini berjaya,” katanya.


BAHAGIAN Pengurusan the Curve meraikan kanak-kanak rumah kebajikan dengan bungkusan makanan dan hadiah.

Kunjungan yang disambut dengan keceriaan dan dipenuhi gelak ketawa itu dilengkapi pelbagai hidangan lazat seperti nasi ayam, kuih tempatan, biskut coklat, pretzel, bubur lambuk, nasi ambeng, kek cawan, nasi kukus, minuman botol berperisa coklat dan vanila serta aiskrim buah-buahan tropika.

Selain bungkusan makanan, kanak-kanak berkenaan juga menerima pakaian dan mainan baru. Rumah kebajikan itu turut menerima bekalan keperluan rumah sebagai satu bentuk bantuan lanjut.

Sumbangan yang disampaikan itu adalah hasil usaha sama pihak pusat beli-belah berkenaan, Hadramawt, My Little Cake Shoppe, The Skinny Bakers, Wetzels Pretzels, The Quays Putrajaya, Tumis @ Teak, At Cupcakes, House of Nasi Kerabu, Mosha, Pops Malaysia dan Mantra Communications.


GINA (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan meja bola sepak mini kepada wakil rumah kebajikan itu.

Pada sesi sama, Penolong Pengurus Besar Bahagian Pajakan, Pengiklanan dan Promosi the Curve Gina Long Ahmad, turut menyampaikan sumbangan permainan meja bola sepak mini kepada rumah kebajikan berkenaan.

Pesta Makanan the Curve 2017 yang berlangsung selama empat hari bertemakan ‘Wok Wok Eat Eat’ itu menyediakan pelbagai juadah makanan dan persembahan menghiburkan pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 1:23 PM