PENERIMA kad MyKasih Domino’s (dari kiri) Abdul Wahib, Norolhidayu, Aini Farhana dan Md Radzi menunjukkan kad MyKasih mereka.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Pekerja adalah aset berharga bagi syarikat. Bukan mudah mendapatkan tenaga kerja yang setia, jujur, ikhlas dan amanah kerana ia memerlukan komitmen daripada pekerja dan majikan. Sebagai penghargaan kepada kakitangan, biasanya syarikat akan memberi imbuhan seperti pakej melancong, kenaikan pangkat atau gaji.

Bagi Domino’s Pizza pula, mereka mempunyai cara tersendiri menghargai staf iaitu dengan mengadakan program MyKasih menerusi pemberian kad beli-belah bernilai RM100 untuk digunakan di pusat beli-belah Giant.

Bagi empat penerima MyKasih yang juga kakitangan Domino’s Pizza, Aini Farhana Abdul Rashid, 31, Md Radzi Md Desa , 47, Abdul Wahib Mohamad Zaki, 40 dan Norolhidayu Rohani, 34, pemberian kad membeli-belah ini sudah tentu meringankan bebanan mereka sekeluarga. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini nilai RM100 sangatlah besar kerana dapat digunakan untuk pembelian barang harian terutama susu, lampin pakai buang dan barangan dapur.

Ini diakui oleh Aini Farhana yang sangat teruja apabila menjadi penerima MyKasih. Berkhidmat sebagai pengurus latihan stor sejak 2012, dia tidak pernah bertukar tempat kerja. Walaupun sibuk menguruskan jadual staf, barang keperluan di dalam stor dan berurusan dengan pelanggan, namun semua tugas ini memberikan kepuasan kepadanya.

“Saya gembira dengan apa yang saya lakukan sekarang. Walaupun tugas ini agak berat, dengan tunjuk ajar ketua saya dapat melakukannya dengan baik,” katanya yang mengalami kecederaan akibat terjatuh dan ditukarkan ke bahagian pusat panggilan pelanggan bagi membolehkannya berehat dan tidak melakukan banyak pergerakan.

Dalam hal ini majikan sangat mengambil berat dan memastikan kebajikan pekerja. Bagi mewujudkan hubungan kekeluargaan, aktiviti bersama sering diadakan antaranya hari keluarga dan juga permainan seperti boling dan futsal.

“Memang saya sangat gembira kerana Domino’s menyediakan persekitaran yang selesa, terasa seakan seperti sebuah keluarga besar. Oleh kerana sudah lima tahun bertugas, ketua jabatan meminta saya memohon program Mykasih kerana merasakan saya layak menerimanya. Alhamdulillah pada Februari 2017 saya menerima kad MyKasih dan berbelanja buat kali pertama,” katanya yang memiliki seorang anak berusia setahun tiga bulan.

Setiap awal bulan, dia bersama suami akan ke Giant dan membeli barang keperluan dapur seperti beras, gula dan tepung dan selebihnya untuk kelengkapan harian anak.

Nilai RM100

Bagi Penyelia Gudang Domino’s Malaysia dan Singapura Md Radzi Md Desa, kad Mykasih digunakan pada setiap bulan bagi membeli keperluan dapur. Oleh kerana isteri tidak bekerja, RM100 ini sangat besar nilainya kepada Radzi sekeluarga. Dia yang mempunyai lima cahaya mata yang semuanya bersekolah menjelaskan, dengan kenaikan kos sara hidup menyebabkan nilai wang semakin mengecil manakala harga barang pula semakin mahal.

“Saya bersyukur terpilih sebagai penerima MyKasih kerana sumbangan RM100 pada setiap bulan dapat meringankan bebanan sekeluarga,” katanya yang mula bertugas di Domino’s Pizza pada 2012 dan ditempatkan di bahagian gudang.

Disebabkan kesungguhan ditunjukkan selepas setahun bertugas Md Radzi dinaikkan pangkat sebagai penolong penyelia bahagian pengedaran dan ditugaskan memantau kakitangan bagi membantu memastikan kelancaran di bahagian gudang makanan.

Jelasnya, sokongan ketua dan kawan-kawan menyebabkan sekali lagi pada 2016 dia dinaikkan pangkat sebagai penyelia gudang dan diberikan tugasan yang lebih berat ketika itu.

“Kepercayaan majikan menambahkan semangat untuk bekerja lebih kuat dan penuh semangat. Apa yang penting keikhlasan dan kejujuran melakukan setiap tugasan. Selain itu rakan-rakan yang saya ibaratkan sebagai keluarga saling memahami dan membantu di antara satu sama lain. Inilah yang menyebabkan saya setia bekerja di sini,” katanya.

Penolong Pemandu Domino’s Malaysia dan Singapura Abdul Wahib pula mempunyai pendapat yang sama mengenai keselesaan dan persekitaran tempat kerja yang membuatkan seseorang itu boleh bertahan lama. Hampir lima tahun bertugas sebagai penolong pemandu, Wahib sangat selesa dengan tugas yang dilakukan selama ini.

“Bidang tugas saya adalah pembantu kepada pemandu lori dan perlu berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru dan Pulau Pinang. Walaupun ia agak memenatkan, majikan sangat memahami sekiranya saya ada masalah membabitkan keluarga,” katanya.

Sebagai penerima MyKasih, Abdul Wahib sangat bersyukur kerana dengan pemberian RM100 pada setiap bulan dia dapat menggunakan untuk membeli keperluan dapur.

“Setiap bulan saya tidak perlu bimbang kerana bajet sudah ada. Tambahan pula isteri tidak bekerja dan mengharapkan pendapatan saya semata-mata,” katanya yang mempunyai dua cahaya mata.

Memiliki enam anak dengan salah seorang mempunyai masalah buah pinggang, Penolong Pengurus Domino’s Taman Connaught Norolhidayu Rohani berkata, pemberian kad MyKasih bernilai RM100 sangat besar ertinya. Oleh kerana suami tidak bekerja bagi menumpukan perhatian kepada anak-anak, Norolhidayu perlu menanggung perbelanjaan keluarga.

“Saya mendapat maklumat mengenai MyKasih daripada majikan dan dia meminta saya menghantar borang kepada bahagian berkenaan. Alhamdulillah saya

terpilih dan mula menerima pada awal Februari lalu. Setiap bulan saya khaskan untuk pembelian susu dan beras. Sekurang-kurangnya ia dapat meringankan perbelanjaan kami sekeluarga,” katanya.

Mula bertugas di Domino’s Pizza sejak 2013, sebagai pembuat piza sambilan atas kesungguhan dan disiplin ditunjukkan Norolhidayu diterima sebagai pekerja tetap dan kemudian dinaikkan pangkat sebagai penolong pengurus.

“Saya gembira kerana di sini saya dapat membina kerjaya berdasarkan bakat dan kebolehan walaupun tidak mempunyai kelulusan. Oleh itu pentingnya bekerja dengan bersungguh-sungguh kerana lambat-laun orang akan menilai kita menerusi cara kita bekerja,” katanya yang sering dihantar majikan untuk menjalani latihan bagi meningkatkan kebolehan dan kemahiran diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 1:17 PM