ALOIS (berdiri lima dari kiri) turut serta dalam pameran berkenaan.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Melalui aktiviti menyeronokkan yang disediakan di 19 tapak pameran, sedikit sebanyak dapat mendidik pengunjung mengenai proses penyediaan produk minuman dan makanan keluaran Nestle bermula daripada peringkat pengeluaran hingga ke proses pengedaran.

Pengunjung diterangkan mengenai penubuhan syarikat, seterusnya komitmen dan inisiatif yang dijalankan untuk mendapatkan bekalan bahan ramuan daripada sumber yang bertanggungjawab.

Ia bagi memastikan setiap produk makanannya seperti Milo dan Maggi dapat dihasilkan lebih enak serta berkhasiat dalam menggalakkan pengguna menjalani gaya hidup sihat.

Hampir 1,000 pelawat termasuk kakitangan jenama itu, pihak berkepentingan luar dan juga wakil media turut berpeluang untuk melihat dari jarak dekat sebuah trak 15 tan yang menjadi sebahagian daripada projek mengoptimumkan logistik yang memenangi anugerah rantaian bekalannya.

Projek yang mengurangkan perjalanan pengangkutan sebanyak 30 peratus itu mengoptimumkan penggunaan trak untuk pengangkutan barangan dan menurunkan pengeluaran karbon dioksida sebanyak 3,000 tan.


ANTARA tapak pameran yang ditampilkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad, Alois Hofbauer berkata, pameran yang berlangsung selama sehari itu bertujuan memberi maklumat lebih mendalam mengenai usaha syarikat berkenaan bagi membolehkan individu dan keluarga hidup dengan lebih sihat serta bahagia, membantu membangunkan masyarakat dan menjaga bumi untuk generasi akan datang.

“Matlamat syarikat ini adalah untuk meningkatkan kualiti hidup dan menyumbang ke arah masa depan yang lebih sihat. Ia sekali gus menjadi nadi penggerak kami selama lebih 150 tahun dan akan terus memacu ke hadapan.

“Dalam dunia hari ini, pengguna ingin tahu lebih lanjut mengenai cerita di sebalik produk kami dan impak perniagaan ke atas masyarakat. Justeru, pameran pada hari ini adalah cara kami memperlihatkan usaha dalam menzahirkan matlamat dan nilainya kepada pengguna,” katanya.

Jelasnya, menjadi budaya jenama itu untuk berpegang kepada piawaian kecemerlangan paling tinggi dalam setiap perkara yang dilakukan, tanpa perlu digembar-gemburkan.

Pameran pada hari itu menunjukkan beberapa kejayaan cemerlang dalam perniagaan syarikat berkenaan yang mungkin tidak diketahui ramai. Misalnya, kilang jenama itu secara menyeluruh menjimatkan 220,000m3 air setahun, cukup untuk bekalan kepada lebih 1,000 rumah.


ANTARA tapak pameran yang ditampilkan.

Pada masa sama, pameran itu juga menunjukkan cara syarikat menjalankan perniagaan dan melaksanakan komitmennya untuk menjana nilai kepada masyarakat dalam tiga bidang tumpuan iaitu pemakanan, air dan alam sekitar serta pembangunan luar bandar.

Menjelang 2030, Nestle Global berhasrat membantu 50 juta kanak-kanak hidup dengan lebih sihat, menambah baik hidup 30 juta orang dalam masyarakat yang secara langsung dikaitkan dengan aktiviti perniagaannya dan berusaha memastikan operasinya tidak memberikan impak negatif ke atas alam sekitar.

“Kami berjaya mencapai status ‘sifar sisa buangan ke tapak pelupusan’ yang bermaksud tiada sisa buangan daripada operasi dihantar ke tapak pelupusan sampah.

“Pencapaian ini adalah hasil kerja keras dan komitmen kami untuk menunaikan matlamat jenama. Pada hakikatnya, kami berasa amat bangga untuk berkongsi kejayaan ini dengan semua pengunjung yang hadir pada hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 1:08 PM