NORIANA
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Langkah wanita ini sentiasa tenang dan yakin. Sekalipun usianya baru mencecah angka 30, Noriana Mohamad Nazuir dilihat mempunyai semangat juang tinggi untuk mencipta kejayaan dalam hidup. Tatkala wanita seusianya baru menapak, membina kerjaya dan mengenal ragam dunia, Noriana sudah cuba berlari, memecut dengan bakat serta kemampuan diri.

Sekilas, wanita ini memang sukar untuk diteka. Adakalanya, riak wajah Noriana nampak angkuh, namun anak sulung daripada tiga beradik ini sebenarnya cukup ramah jika diajak bersembang soal kecantikan, mekap dan fesyen.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), siapa sangka wanita kental ini mengetepikan masa depan cerah sebagai peguam untuk menjadi jurumekap artis (MUA).

Sekalipun tidak menerima tentangan hebat daripada keluarga, Noriana tidak dapat lari daripada pelbagai persoalan timbul berikutan rasa hairan dan keliru kedua-dua ibu bapanya.


SERONOK berada dalam bidang kecantikan.

“Kehidupan saya cukup berwarna-warni. Daripada seorang pengamal undang-undang, saya berhenti dan memilih untuk menjadi eksekutif perhubungan awam (PR). Kemudian, sekali lagi saya meletak noktah dalam karier dan memilih menjadi jurusolek.

“Dalam tempoh itu, saya sempat bergelar peguam selama setahun saja. Saya sedar bidang perundangan tidak sesuai dengan jiwa. Saya kerap berasa terpaksa untuk bekerja, sukar hendak mencari rasa ikhlas dalam melakukan tugas dan tidak seronok. Apabila menyertai firma perhubungan awam, saya belajar banyak perkara baru dan mula memerhatikan cara majikan menguruskan perniagaan. Sambil bekerja, saya masih berkesempatan menjual alat solek berjenama kepada rakan,” katanya.

Bercerita mengenai kerjaya terkininya sebagai jurusolek, Noriana menjelaskan, dia tidak pernah bercita-cita menjadi jurumekap artis, apalagi terjebak secara serius dalam bidang ini.

“Kebetulan semasa belajar di UiTM, saya pernah menjadi model dan mengenali ramai pereka fesyen muda. Suatu hari, PR Rizman Ruzaini datang bertanya, adakah saya mahu menjadi jurusolek untuk pertunjukan fesyen pengantin? Saya memang kenal ramai MUA kerana aktif menjual mekap, tetapi tidak pernah menatarias orang untuk majlis sebegini besar.

“Hendak dijadikan cerita, ‘karya’ pertama saya bermula juga di pentas pada pertunjukan fesyen pengantin Rizman Ruzaini. Hasil tunjuk ajar rakan MUA dan kawan, saya berlatih gaya solekan untuk pertunjukan berkenaan. Syukur semuanya lancar,” katanya sambil ketawa.

Jurusolek Yuna

Menurut Noriana, dia tidak pernah merancang untuk kekal dalam bidang ini kerana kabur dengan masa depan. Tambahan orang yang sebenarnya bercita-cita untuk menjadi MUA adalah rakan karibnya, bukan dirinya sendiri.

“Mana tahu akhirnya saya yang terjebak ke dalam bidang ini. Sahabat yang dulunya mahu menjadi MUA, kini bahagia dengan jalan baru yang dipilih. Mungkin juga kerana saya memang suka melukis sejak kecil, jadi secara tidak langsung, kerja menyolek ini saya andaikan sebagai sebahagian kerja seni untuk diri.

“Saya berhenti menjadi PR pada Disember 2013 dan mencari arah tuju sepanjang 2014. Ketika itu saya masih tidak berani bergerak serius, sehinggalah bertemu Yuna pada 2015.

“Penyanyi berbakat ini sebenarnya saya kenal sejak zaman belajar di UiTM. Kami bertemu kembali ketika majlis pertunjukan fesyen sempena pembukaan butik pakaian di Bangsar, Kuala Lumpur.


SOLEKAN untuk hari bahagia Yuna.

“Dari situlah Yuna mempelawa saya menyolek wajahnya untuk penampilannya di Festival Muzik Masa Depan Asia (FMFA). Malah, sehingga kini, setiap kali Yuna pulang ke Malaysia dan membuat persembahan, saya akan menatarias wajahnya. Mungkin jika diberi peluang suatu hari nanti, saya akan ikut Yuna ke luar negara untuk menyokong kariernya di sana,” katanya.

Menggandakan usaha

Sekalipun berkhidmat untuk Yuna, Noriana mengakui hasil kerjanya bukan menyerlah begitu saja tanpa usaha. Pada awal pembabitannya, wanita ini mengakui sedikit gentar berdepan ramai jurusolek artis berbakat.

“Berbanding orang lain yang mengikuti kelas formal, saya bermula dengan belajar sendiri dan mencedok pengetahuan berdasarkan pengalaman menatarias orang lain. Adik, ibu dan rakan rapat selalunya menjadi mangsa eksperimen untuk saya membiasakan diri dengan kepelbagaian ton kulit serta bentuk wajah. Kemudian, apabila sudah ada pelanggan, mereka pula yang jadi bahan eksperimen.

“Kalau hendak diikutkan, ada banyak juga insiden lucu sepanjang saya menyolek orang. Ada juga solekan yang tidak berapa menjadi dan dibetulkan walaupun terpaksa mengambil masa agak panjang. Biasanya mereka tidak perasan dan suka dengan hasilnya.

“Pelanggan bermata sepet, bentuk wajah mencabar dan tekstur kulit, semua ini antara perkara yang saya beri perhatian sejak mula berjinak-jinak dalam bidang ini. Selain eksperimen wajah, saya juga banyak belajar daripada video tutorial jurusolek profesional seperti Wayne Goss, Roshar dan Jordan Liberty. Berdasarkan semua video yang ditonton di YouTube, saya akan gandakan usaha dengan lebih banyak eksperimen untuk meraih pengalaman.


GAMBAR kenangan bersama Yuna dan kru.

“Bagi saya, kemahuan untuk belajar dan sikap peka terhadap ilmu baru itu penting. Saya sentiasa mencuba untuk menjadi yang terbaik setiap kali diberi kepercayaan menatarias. Jika dulu, mungkin mencipta nama sebagai MUA agak susah, tetapi pada zaman teknologi ini, banyak perkara sukar menjadi lebih mudah serta lancar,” katanya.

Kata Noriana, dia begitu bertuah kerana mempunyai latar belakang pekerjaan sebagai PR dan model ketika di universiti selain menerima sokongan keluarga serta teman rapat.

“Saya percaya, kejayaan saya hari ini datang atas bantuan orang sekeliling. Mereka banyak membantu, memberi tunjuk ajar dan meyakinkan diri saya untuk kekal bersaing secara positif,” katanya.

Melakar senyum

Satu hal yang unik dalam diri wanita ini, Noriana seorang yang cukup menghargai kepelbagaian ton kulit. Sepanjang melakukan eksperimen terhadap keluarga dan teman, wanita ini menyedari betapa dirinya cukup teruja setiap kali mencurah kreativiti pada ton kulit wajah yang berbeza.

“Saya menjadi duta untuk ton kulit. Tidak semestinya wanita berkulit cerah itu cantik dan mereka yang berkulit sawo matang atau gelap itu kurang menarik. Tidak kira siapa pun di dunia ini, mereka perlu menghargai warna kulit masing-masing.

“Wanita perlu sedar mereka memiliki kecantikan tersendiri. Jadi kenapa tidak berbangga dengan warna kulit sendiri? Kalau diamati, terlalu ramai wanita kini yang terikut-ikut untuk kelihatan cerah. Tidak mengapa kalau kita berkulit perang atau gelap sekalipun...tonjolkan kepelbagaian warna kulit kerana itu antara ciri yang membezakan kita dengan orang lain.

“Saya sangat seronok bergelar MUA. Kehidupan saya ringkas. Berbanding menjadi peguam yang dikelilingi berita dan kes menyedihkan, saya menggembirakan ramai orang dengan mengubah pesona diri mereka. Ini juga antara pendorong hebat untuk saya meneruskan gaya hidup positif,” katanya.

Jelas Noriana, dia membentuk dirinya bukan sekadar MUA, tetapi masih ligat melakukan kerja PR dan menguruskan banyak komitmen serta media sosial.

“Baru-baru ini saya ke Jepun untuk Make Up Forever. Saya banyak bekerja dengan pengeluar mekap antarabangsa dan tempatan seperti Urban Decay, Dior, L’oreal, Shu Uemura, Avon, SKII, SugarBelle dan Duck Cosmetics. Saya juga diambil sebagai bakat media untuk Media Prima.

“Saya menjalin kerjasama dengan jenama mekap antarabangsa untuk mengadakan bengkel, ramah mesra, menyediakan bahan untuk pemasaran dan demonstrasi. Banyak kerja PR yang mendatangkan manfaat besar. Saya gembira menjadi sebahagian daripada komuniti berpengaruh dalam media sosial.

“Mungkin juga kerana pengalaman sebagai PR, saya tahu bagaimana menguruskan banyak perkara berkaitan. Paling penting, banyak perkara menarik berlaku dalam hidup menjadikan saya semakin positif. Ada waktunya saya berpeluang mengikut pereka fesyen ke luar negara sebagai MUA. Ada juga jenama antarabangsa yang mengambil saya sebagai PR dan model untuk produk mereka.

“Saya cuba menjalin hubungan baik sebanyak mungkin dengan jenama luar dan tempatan untuk mengukuhkan karier dalam bidang ini. Saya seronok menjadi diri sendiri. Saya tidak rasa seperti sedang bekerja dan itu memang menyeronokkan,” katanya yang kini memiliki studio sendiri untuk kerja fotografi dan latihan.


KETIKA pelancaran pewarna bibir SugarBelle.

Kata Noriana, perubahan dalam jadual hariannya mengekang munculnya perasaan bosan. Ia umpama mentafsirkan segala minat dan kecenderungan menjadi suatu bentuk perniagaan yang berjaya.

“Dulu, ketika berhenti menjadi peguam dan beralih ke bidang PR, ibu bapa masih boleh menerima dengan terbuka. Tetapi apabila memilih menjadi MUA, mereka hairan dan keliru. Syukur dengan pencapaian hari ini, mereka akhirnya lega.

“Untuk diri sendiri, saya masih menyimpan cita-cita menjadi lebih cemerlang dalam kerjaya. Saya percaya kepada kerjasama erat dan sokongan antara pereka, jurugaya dan jurugambar untuk hasil kerja sempurna. Saya mahu hasil kerja saya bukan saja terkenal di Malaysia, malah turut dikenali di luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 2:39 PM