MASNI menyusun kek lapis pelbagai perisa yang ditempah pelanggan.
Syed Ismail Syed Abu Bakar
rencana@hmetro.com.my


Walaupun Pulau Pinang kurang dikenali dalam pembuatan kek lapis terkemuka negara ini, sambutan memberangsangkan dari kalangan pelanggan kini mampu menjulangnya sebagai sebahagian daripada penyumbang kepada industri pengeluar makanan.

Menyedari potensi perniagaan semakin berkembang pesat mendorong suri rumah, Masni Dollah, 42, mengusahakan perniagaan kek lapis secara kecil-kecilan di Kampung Machang Bubok, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Masni yang berasal dari Sri Aman, Sarawak menggunakan pengalamannya dalam pembuatan kek lapis dan memperluaskan perniagaan itu kepada rakyat Pulau Mutiara bagi membolehkan setiap golongan menikmatinya.

“Saya bermula dengan modal RM354 untuk membeli pelbagai barangan dan ketuhar dan mula menjualnya dalam kalangan rakan terdekat pada 2009.

“Alhamdulillah, permintaan selepas itu mula meningkat dan mendapat tempahan hampir saban hari mendorong saya menjadikan kerjaya ini sebagai mata pencarian,” katanya di kedainya di Kampung Machang Bubok.


SERONOK menyiapkan tempahan kek lapis bebas pengawet.

Masni berkata, kek lapis keluaran syarikatnya dikenali ‘Kek Lapis D Penang’ semakin mendapat tempat di hati pelanggan berikutan keenakan rasanya, malah ada yang menjadikannya sebagai buah tangan.

Beliau berkata, kek lapis moden Sarawak kini dipermodenkan dengan pelbagai jenis dan perisa, malah pengusaha dari Bumi Kenyalang itu menjulang perniagaan ke luar negara.

Menurutnya, berkat kesungguhan dan jerih perih dilalui berjaya mengubah kehidupan suri rumah itu dibantu suaminya, Roslan Abu, 42, untuk menyara hidup hasil jualan kek lapis.

“Saya mewarisi kemahiran memasak kek lapis daripada ibu dan bertekad menjadikan kek lapis sebagai bukti atau gambaran terhadap ketekunan wanita Sarawak.

“Saya menyediakan lebih 20 jenis kek lapis pelbagai perisa antaranya asam manis, keju cappucino, nuttela, coklat, keju coklat, strawberi coklat, perwira, mutiara hari, kasih, batik sutera, buah-buahan, baldu merah, awan nano, mentega kacang, kenyalang, prune, senjakala, tiga benua, vanila pandan dan zebra pada harga serendah RM16 setiap satu.

“Turut disediakan kek lapis durian dan campuran pelbagai perisa yang dijual pada harga RM18 dan ia turut menjadi menu utama hidangan keluarga di Pulau Pinang,” katanya.


KEK lapis pelbagai perisa yang dapat sambutan ramai.

Masni berkata, teknik pembuatan kek lapis tidak semudah seperti disangka dan penghasilannya perlu kreatif dalam menentukan corak selain kesabaran tinggi.

Menurutnya, dia bersyukur kerana mendapat sokongan dan bantuan daripada Jabatan Pertanian Pulau Pinang yang membantu menyediakan peralatan seperti ketuhar dan peralatan mengadun lain.

“Alhamdulillah, hasil jualan kek lapis keluaran syarikat saya yang lebih segar dan bebas bahan pengawet itu mampu menjana perolehan mencecah RM6,000 sebulan.

“Saya berharap produk kek lapis ini bukan sahaja mampu mendapat tempat dalam kalangan penduduk tempatan, malah mampu melangkaui pasaran luar negara satu hari nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 2:26 PM