SEBAHAGIAN tanaman diusahakan Nurazlin.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Kata orang, tidak rugi jika berbudi pada tanah. Sekalipun menanam secara kecil-kecilan, lambat laun hasilnya pasti menggembirakan. Dalam sibuk menjalani rutin harian di pejabat atau sebagai suri rumah sepenuh masa, aktiviti kebun dapur mungkin boleh menjadi terapi terbaik untuk mengurangkan tekanan kerja.

Bagi yang tinggal di pangsapuri, flat dan kondominium, ruang terhad di laman belakang atau balkoni masih boleh digunakan untuk menanam sayuran secara hidroponik, menyemai tumbuhan herba dan ulam-ulaman. Lagikan pula jika tinggal di rumah teres, banglo atau di kampung. Sudah pasti ada laman kosong yang sesuai dijadikan tempat bercucuk tanam.

Menjengah ke laman rumah Nurazlin Kamarudin, 32, ternyata ibu kepada dua anak ini cukup rajin mengerjakan hobinya setiap kali punya waktu terluang. Wanita kreatif ini bukan setakat menanam sayur dan bahan dapur seperti serai, kunyit dan cili, malah berhasil menuai tembikai.

Kata Nurazlin, dia mempunyai banyak hobi termasuk membuat kek dan melukis. Namun ‘bakat’ berkebun lebih banyak membawa hasil dan kesan positif kepada dirinya.

“Saya suka melakukan sesuatu yang menenangkan, mendatangkan manfaat, kegembiraan, sekali gus membawa hasil serta kepuasan. Jadi, sambil melakukan tugas harian sebagai suri rumah, saya tetap sibukkan diri membuat kek dan biskut untuk kudapan anak-anak serta memenuhi tempahan pelanggan. Ada waktunya saya juga melukis.

“Tidak kira sesibuk manapun, saya tetap pastikan untuk meluangkan masa bersama tanaman di laman rumah. Saya sukakan aktiviti berkebun. Seronok kerana ia menjadi terapi terbaik untuk diri saya.

“Setiap kali melihat tanaman membesar sihat, saya bagaikan terlupa pada kepenatan seharian mengurus rumah tangga. Malah, segala macam masalah lain terbang begitu saja. Saya akan tersenyum seorang diri dan bercakap dengan pokok. Ia umpama penenang semula jadi yang Allah beri dalam cara paling mudah, paling penting, percuma!” katanya tertawa.


TEMBIKAI yang dituai Nurazlin.

Menurut wanita berasal dari Batu Pahat, Johor ini, hobi berkebun banyak mendekatkan dirinya dengan Sang Pencipta. Sambil mencabut rumput, wanita ini mencuri kesempatan berzikir dan memuji kebesaran Allah.

“Saya selalu mengagumi ciptaan-Nya. Allah bagi air, tanah yang subur, cahaya matahari dan benih daripada biji dan keratan pokok. Kita hanya perlu cucuk (semai) atau campakkan benih dan siram setiap hari. Semua ini hanya perlukan sedikit usaha. Tidak ada yang susah.

“Apabila leka berzikir sambil mencabut rumput atau menyiram pokok, saya jadi tambah seronok. Selalunya, ketika menyemai pokok, saya akan baca doa tawakal supaya Allah hidupkan pokok saya dengan subur dan dapat memberi manfaat kepada orang lain juga.

“Apabila merenung pokok dari awal bercambah sehingga habis tempoh usia, saya jadi insaf. Betapa tidak ada satupun yang kekal di dunia ini. Alhamdulillah, berkebun banyak membantu memperkasa iman saya, membuatkan kebergantungan saya dengan Allah cukup tinggi,” katanya.

Jelas Nurazlin, jika diamati bersungguh-sungguh, tidak ada sebab mengapa dia tidak suka berkebun. Selain bertanam dan mengaut hasil, berkebun menjadikan tubuhnya sihat.

“Seluruh anggota saya bergerak. Ketika mencangkul tanah, menyemai, mencabut rumput dan menyiram, semuanya menggerakkan sendi dan otot. Berada di bawah terik mentari ketika berkebun membuatkan saya rasa seperti bateri yang dicas. Saya tidak takut hitam walaupun banyak ton kulit saya berubah gelap daripada asal.

“Siapa peduli? Apa yang penting, saya tidak perlu bersusah payah ke kedai atau pasar mencari sayuran. Saya tidak perlu simpan banyak barang dalam peti ais. Petik dan terus masak. Bunyinya menyeronokkan bukan?

“Kalau perlu kunyit, saya gali, cabut, tumbuk dan masak. Daripada situ saya dapat juga membantu suami menjimatkan perbelanjaan keluarga kami. Siapa tidak gembira melihat laman yang menghijau dengan pokok yang subur?

“Saya selalu bayangkan laman saya seperti taman syurga. Mahu apa sahaja semua ada. Saya suka tanam apa saja tanaman yang boleh dimakan atau dibuat ubatan. Selain cantik, ia boleh digunakan. Sedar tak sedar, laman hijau juga memberi kesegaran pada mata dan minda,” katanya yang aktif memuat naik hasil kebun ke laman Facebook dan Instagram untuk tatapan rakan.

Pupuk minat menanam

Dalam pada seronok mengerjakan kebun kesayangan, Nurazlin sempat meluangkan masa mengajar dua anak perempuannya supaya lebih menghargai hidupan dan alam.

“Setakat ini anak juga minat berkebun. Mereka cukup teruja apabila terjumpa biji benih dan terus tanam di laman. Pernah beberapa kali mereka mendesak untuk keluar ke laman pada tengah malam semata-mata untuk menyemai biji benih yang mereka jumpa. Kadang-kadang pening hendak melayan apabila paksaan kecil bertukar tangisan.

“Begitupun, saya bersyukur. Setidak-tidaknya mereka suka melakukan perkara bermanfaat. Tambahan saya sendiri memang mahu mereka begitu. Saya mahu mereka mempunyai hobi bermanfaat, mengajar mereka mengenal tumbuhan daripada bercambah sehingga mati. Biasanya akan ada banyak soalan itu dan ini, tapi saya tetap akan ajar bahawa segalanya datang daripada Allah. Lama-lama mereka mulai faham.

“Saya sendiri berkebun sejak kecil. Minat itu datang dengan sendirinya. Mak sukakan orkid, sementara saya memang suka menanam sayur seperti peria, petola, kacang, bawang, kunyit dan halia. Saya ambil benih dari dapur sahaja. Tak perlu keluarkan duit. Jadi, bila semuanya mengeluarkan hasil, bukan saya seorang sahaja yang seronok, bahkan seluruh keluarga teruja.

“Kini saya masih mengambil benih dari dapur. Semua yang boleh bercambah, saya akan tanam. Kunyit, halia, lengkuas, serai, bawang besar, bawang putih, cili besar, cili api, daun pandan dan daun kesum. Ada juga yang saya beli seperti pokok kari, sawi, terung, tembikai, pudina, lemon, bayam, bendi dan selasih. Cukup masa, saya tidak lupa mengagihkan hasilnya kepada jiran dan keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 2:23 PM