NORLINA.
TEROKAI bidang ternakan dan perladangan.
‘KERJA’ sampingan pada hujung minggu yang menceriakan anak.
LATIHAN di ladang ternakan untuk pupuk semangat anak.
NORLINA (dua dari kiri), Roslan (duduk tiga dari kiri) berbincang mengenai perniagaan sambil diperhatikan Izudin (kanan).
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Sepanjang tiga jam bertamu di kediaman besar milik wanita kental Norlina Alawi, 46, seorang demi seorang anak anugerahnya pulang dari sekolah. Bergilir-gilir mereka bersalaman sambil mencium tangan Norlina yang dipanggil mama.

Ada yang masih di sekolah rendah dan separuh lagi belajar di sekolah menengah. Pernah satu ketika rumah ini memuatkan hampir 50 anak anugerah dengan tujuh adalah zuriat sendiri. Daripada jumlah itu empat daripada mereka sedang menuntut di pusat pengajian tinggi.

“Kebanyakan anak ini saya ambil sejak mereka bayi. Tanpa mengira bangsa dan warna kulit, mereka dianggap anak sendiri. Namun perjalanannya tidaklah mudah. Setiap anak saya terima dengan penuh kesyukuran. Ada yang diberi orang. Ada yang ditinggalkan ibu. Ada yang kematian ayah dan ibu. Ada pula anak jalanan dari lorong gelandangan.

“Anak ini tidak berdosa. Sebab itu saya tidak kisah asal usul mereka. Ada berdarah Filipina dan ada dari Indonesia. Mereka juga bukanlah sihat sepenuhnya. Ada anak kecil penuh kudis buta dan dijangkiti HIV, yang dua daripada mereka menghembuskan nafas terakhir di atas pangkuan saya sendiri,” katanya tersenyum manis.

Perjuangan wanita kelahiran Kluang, Johor ini bermula pada 2001, apabila dia memberi perlindungan kepada seorang wanita berusia 23 tahun yang hamil tujuh bulan dan disahkan HIV/AIDS. Bermula seorang demi seorang kemudian bertambah sehingga penubuhan Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM) yang akhirnya sempurna didaftarkan pada 17 Mac 2004.

Norlina mengakui, dia sanggup melalui segala kepayahan mengambil anak anugerahnya itu sebagai anak angkat yang sah, biarpun prosedurnya amat rumit dan kadang-kadang penuh air mata.

Kini selepas hampir 16 tahun mengabadikan kasih sayang yang diibaratkan cinta tanpa sempadan, Norlina seakan-akan mampu tersenyum gembira apabila melihat satu persatu anak anugerahnya mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran dan menyambung pengajian di pusat pengajian tinggi.

“Inilah yang selalu saya titipkan kepada mereka. Belajar sehingga ke peringkat menara gading agar mampu menjaga diri sendiri apabila saya sudah tiada nanti. Biarpun terpaksa berhempas-pulas mencari rezeki bagi menampung persekolahan anak namun saya puas melihat kejayaan mereka,” katanya.

Teroka bidang perladangan

Ingin mengembangkan perniagaan menerusi sektor perladangan, sejak setahun lalu Norlina dan suami, Roslan Zakaria membuka ladang penternakan di Temerloh, Pahang yang menempatkan lembu, kambing dan ayam serta kebun buah-buahan di Hulu Langat, Selangor.

“Sekarang sudah sampai masanya saya dan suami menjadi mentor kepada anak. Permulaan pembukaan ladang ini disebabkan saya terfikir dengan jumlah anak yang ramai bukan semua berjaya dalam pelajaran. Ada juga bijak dalam bidang kemahiran. Jadi saya berasakan perladangan adalah sektor yang mampu menjana ekonomi untuk jangka masa panjang.

“Dengan menjadikan suami sebagai mentor, anak yang sudah menuntut di pusat pengajian tinggi dan sekolah menengah diberi peluang bekerja di ladang. Pada hujung minggu atau cuti sekolah suami membawa mereka melakukan kerja seperti menebas rumput, membersihkan kandang kambing, memetik buah-buahan seperti pisang dan menjualnya bagi menampung pengajian di kampus.

“Mereka pula sangat teruja sehingga setiap proses dibuat tanpa rasa penat. Dengan adanya ladang ini sekurang-kurangnya boleh menjalankan perniagaan kambing dan lembu serta menjual buah-buahan,” kata Norlina.

Untuk penjagaan anak anugerah pula, Norlina turut mempunyai menti apabila dia meminta Izudin Masowady (kenalan dan jiran) mengambil alih tugas menjaga anak anugerah.

“Apa yang saya lakukan adalah memberikan nasihat dari segi prosedur mengambil anak angkat dan penjagaan untuk anak HIV/AIDS. Setakat ini Izudin sudah mempunyai dua anak angkat yang dipelihara sejak mereka berusia lapan bulan dan setahun,” katanya yang kini menganjurkan pakej umrah yang turut membawa anak anugerah ini bersama.

Bagi Norlina, bukan dia tidak mahu menjaga anak HIV ini lagi tetapi sekarang adalah masa dia membesarkan anak. Apa yang penting bagaimana kesudahan mereka daripada segi pendidikan dan pekerjaan.

“Biarlah mereka menjadi insan berjaya dunia dan akhirat. Lagipun, faktor usia juga turut mempengaruhinya. Saya mengejar kualiti berbanding kuantiti. Sebab itu saya dalam proses mencari menti yang dapat menyambung legasi saya menjaga anak syurga ini,” katanya.

Jaga anak anugerah

Bagi Izudin, ketika diberitahu ada bayi yang ditinggalkan di Hospital Selayang dia tekad mendapatkannya walaupun bayi itu dijangkiti HIV. Mulanya doktor memberitahu si kecil dianggarkan mampu hidup dalam tempoh enam bulan saja.

“Tetapi selepas mendapatkan pandangan daripada mama (Norlina) mengenai penjagaan dan ubat-ubatan sehingga kini (11 tahun) anak ini masih sihat dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Apa yang penting adalah menjaga kesihatan dan mendapatkan rawatan secara tetap. Pada tahun lalu saya dan isteri membawanya menunaikan umrah,” katanya yang kini turut memelihara anak anugerah kedua berasal dari Indonesia.

Walaupun pada mulanya mendapat tentangan keluarga, selepas melihat kesungguhan barulah mereka memberikan semangat.

“Pada saya anak tidak seharusnya menjadi mangsa. Mereka juga wajar mendapat kasih sayang sama seperti insan lain. Tiada apa yang membezakannya,” katanya.

Balas jasa mama

Bagi anak anugerah, Noor Hatika Abd Rahman, 20, dia menjadi sebahagian keluarga Norlina sejak berusia tujuh tahun. Sebelum ini dia dipelihara nenek kemudian ditempatkan di Rumah Kebajikan kerana menghidap HIV.

“Saya bersyukur kerana mama dengan rela hati menjaga saya sehingga sekarang. Makan minum, pakaian dan ubat-ubatan diberikan mengikut jadual. Disebabkan antibodi badan lemah saya sering juga diserang demam dan selesema namun tidak berlarutan kerana mama menjaga saya dengan baik,” katanya.

Ujar Hatika selepas 13 tahun membesar di rumah ini, sudah tiba masanya untuk membalas jasa mama. Selepas tamat persekolahan dia membantu menguruskan adik. Membasuh baju, memasak dan mengemas rumah menjadi rutin hariannya. Dia juga bercadang menyambung pengajian dalam bidang kulinari kerana minat memasak.

Bagi Nur Aini Roslan, 24, dia tidak pernah cemburu melihat keakraban ibu dan ayah memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang kepada adik-beradik yang lain walaupun mereka bukan darah daging ibunya.

“Oleh kerana mama menjaga mereka sejak kecil jadi kami membesar bersama-sama. Ibarat adik-beradik bergaduh, berbaik dan bermain bersama-sama. Selepas tamat pengajian saya dan adik-beradik yang besar ditugaskan menjaga yang lebih kecil. Dari segi pakaian dan pendidikan mama meminta kami menguruskannya.

“Jadi setiap daripada kami mempunyai anak di bawah jagaan masing-masing. Selain menjaga keperluan harian kami perlu memantau pelajaran mereka. Inilah cara mama memastikan setiap anak mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran,” ujarnya yang berhasrat membuka syarikat sendiri dalam bidang kontraktor sebagai satu cara membolehkan adik-adik berpeluang menimba ilmu dan mencurahkan tenaga sebaik saja tamat pelajaran kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 2:49 PM