BIUS epidural dilakukan pakar bius.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Bagi mereka yang pernah berhadapan pembiusan spina ketika melahirkan cahaya mata menerusi kaedah pembedahan sudah tentu ia menjadi pengalaman sukar dilupakan. Penulis yang pernah melaluinya sebanyak empat kali masih tetap merasai ‘ketakutan’ dan ‘ngeri’ sekiranya ada rakan bercerita mengenai pengalaman mereka.

Berada di dewan bedah bersama pakar bedah dan bius bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Apatah lagi ketika kali pertama suntikan bius spina diberikan di bahagian belakang badan. Ia cukup mendebarkan, walaupun ada rasa teruja saat menantikan kelahiran cahaya mata pertama.

Tidak sampai lima minit selepas disuntik (seperti digigit semut), kaki mulai kebas dan bahagian pinggang ke bawah juga perlahan-lahan hilang deria rasa, itu bermakna ubat sudah berjalan memasuki saraf dan pakar bedah bersedia melakukan tugasan mereka. Anda juga boleh mendengar setiap butir bicara dilakukan pakar bedah malah boleh berbual dengan mereka sehinggalah pembedahan selesai.

Bagi individu yang pernah menjalani pembedahan sering kali berasakan kejayaan sesuatu pembedahan adalah dengan sokongan dan kehebatan sepasukan pakar bedah, namun sedar atau tidak dalam kumpulan ini terdapat pakar bius atau anestesiologi yang kehadirannya sering dilupakan sedangkan peranan mereka sama penting dengan pakar bedah.

Tanpa pakar bius, pembedahan tidak dapat dijalankan. Malah kerjasama yang wujud di antara pakar bius dan bedah akan menjamin kejayaan dalam setiap prosedur pembedahan. Ini kerana dalam apa juga pembedahan sama ada kecil atau besar memerlukan pembiusan yang hanya dilakukan pakar bius berpengalaman.

Peranan pakar bius, anestesia atau anestesiologi ini adalah memastikan pesakit dalam keadaan sepatutnya semasa menjalani pembedahan, tidak berasa sakit dan selamat semasa mahupun selepas pembedahan. Bagi pesakit sudah tentu mereka tidak mahu melihat dan merasai saat tubuh dibedah atau kulit dijahit.

Menurut Pakar Anestesiologi dan Pensyarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Dr Azlina Masdar, ada beberapa prosedur yang perlu dilakukan sebelum pembedahan dijalankan. Sehari sebelum dibedah, pakar bius akan melawat pesakit bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat.

“Sihat di sini bermaksud sekiranya pesakit mempunyai masalah tekanan darah tinggi, tekanan darah berada dalam keadaan terkawal, begitu juga kadar gula dalam darah serta tidak mengalami kesukaran bernafas. Lawatan ini amat penting dan mesti dijalankan oleh doktor yang akan memberi pembiusan kerana ada sesetengahnya mungkin mempunyai kesan interaksi yang bahaya dengan ubat bius.

“Selain itu pakar bius akan meneliti sebarang risiko semasa pembedahan dan komplikasi yang mungkin berlaku selain merancang kaedah terbaik pembiusan supaya proses pembedahan berjalan lancar. Namun sekiranya pesakit mempunyai tahap kesihatan yang teruk ketika diperiksa, dia akan dirujuk kepada pakar tertentu bagi menstabilkan kesihatan sebelum dibedah,” katanya.

Ada empat jenis pembiusan utama iaitu bius separuh atau spina, epidural, bius setempat dan bius penuh yang setiap satunya mempunyai fungsi tersendiri, dilakukan dalam cara dan penggunaan ubat-ubatan berbeza.

JENIS BIUS

A. Bius setempat

Bius setempat digunakan untuk pembedahan kecil pada bahagian tertentu tubuh. Bius disuntik bagi memberikan rasa kebas sekaligus mengurangkan rasa sakit ketika pembedahan dijalankan. Pakar bius akan mencari saraf yang menyumbang kepada deria rasa dan menghentikannya. Ia berkesan untuk jangka masa pendek dan dijalankan bagi operasi pembedahan kecil seperti patah tulang tangan. Untuk itu pakar bius akan memberikan suntikan pada bahagian saraf tangan sahaja.

Ketika prosedur dijalankan pesakit dalam keadaan sedar dengan rasa yang kebas di tangan. Bius setempat juga diandaikan sebagai ubat tahan sakit bagi pembedahan membuang payudara. Jadi saraf yang memberikan rasa sakit pada payudara akan dibius sepenuhnya. Cara ini dapat mengurangkan dos morfin dengan kombinasi bius setempat dan bius penuh. Lebih popular untuk ubat tahan sakit.

D. Bius spina

Apabila disebut bius spina ramai membayangkan ia dikhususkan bagi pembedahan melahirkan anak saja tetapi sebenarnya bius spinal membabitkan pembedahan untuk hernia, patah tulang kaki, pinggul, organ reproduksi wanita dan lelaki. Suntikan menggunakan jarum khas dilakukan di bahagian tulang belakang sehingga menyentuh bahagian sub-araknoid. Ia juga dipanggil ‘sub-arachnoid block’ (SAB).

Pesakit akan mengalami rasa kebas pada bahagian pinggang ke bawah dan sedar ketika pembedahan dilakukan. Keadaan berlangsung selama dua jam. Bagi yang pernah melaluinya, mereka mendakwa berada dalam keadaan separuh sedar dan mendengar butir percakapan doktor semasa pembedahan dijalankan. Jika dalam tempoh itu pesakit mulai merasai kesakitan, doktor akan memberi bius penuh kepada pesakit. Jika pembedahan diketahui melebihi dua jam, sejak awal lagi bius spina boleh digabungkan dengan bius epidural.

C. Bius epidural

Bius epidural lebih popular digunakan untuk kelahiran anak secara normal. Namun ia juga turut popular untuk pembedahan membabitkan lutut dan tulang pinggul dengan dos yang lebih tinggi agar pesakit tidak merasai kesakitan. Keistimewaan bius epidural ialah ia boleh ditambah ubat-ubatannya bergantung kepada keadaan pesakit.

Caranya dengan melakukan suntikan pada ruang epidural dan meninggalkan tiub kecil di bahagian belakang bagi memudahkan doktor menambah dos ubat sehingga pesakit dipindahkan ke wad biasa.

D. Bius penuh

Suntikan bius penuh dilakukan ke atas pesakit bagi membolehkan pesakit tidur, tidak boleh bergerak, tidak merasai kesakitan dan tidak mengingati sebarang proses pembedahan. Pesakit juga tidak mampu bernafas sendiri dan memerlukan mesin bantuan pernafasan sehingga pembedahan selesai.

Ubat bius biasanya disuntik ke dalam saluran darah pesakit atau dalam bentuk gas yang diberikan melalui alat pernafasan. Pesakit tidak akan mengingati apapun kerana bius penuh mempengaruhi otak dan seluruh tubuh. Meskipun bius penuh dianggap cukup selamat untuk sebahagian besar pesakit namun ia mendatangkan risiko terutama bagi pesakit yang sudah lanjut usia, kanak-kanak dan mereka yang memiliki penyakit kronik seperti diabetes dan lemah jantung.

Menurut Dr Azlina, sebelum pembiusan dilakukan pesakit akan diberitahu mengenai kesan sampingan selepas pembedahan selesai. Pembiusan juga berisiko terutama jarum epidural berkemungkinan terkena pada bahagian sub-araknoid yang boleh menyebabkan pesakit mengalami sakit kepala yang teruk. Namun peratusannya adalah sangat rendah hanya membabitkan satu peratus kes.

KESAN SAMPINGAN UBAT BIUS

Beberapa komplikasi mungkin dirasakan oleh sebahagian pesakit selepas mendapatkan suntikan bius terutama jika prosedur dan dos ubat tidak diberikan secara tepat. Kebanyakan komplikasi biasanya bersifat sementara, namun ada juga yang mendatangkan kesan cukup lama. Secara umumnya, di antara kesan yang berkemungkinan dirasai adalah:

- Sakit pada bahagian suntikan

- Penurunan tekanan darah

- Kesukaran bernafas

- Gangguan saraf yang sementara

- Rasa loya dan muntah

- Pening kepala

Namun semua kesan ini tidak akan berpanjangan. Sekiranya pesakit merasai tanda di atas dalam tempoh yang lama mereka perlu bertemu pakar bagi mendapatkan rawatan.

Selain berperanan dalam bilik bedah, pemantauan dan penjagaan keselamatan pesakit selepas pembedahan di unit rawatan rapi turut menjadi tanggungjawab pakar bius. Selain itu, pakar bius berperanan dalam perkhidmatan rawatan kesakitan akut yang dialami selepas pembedahan sehingga 48 jam.

“Perkara paling penting adalah memastikan pesakit berada dalam keadaan selamat semasa dan selepas pembedahan selesai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 4:21 PM