BERSAMA barisan stokis dan ejen jualan Richglow.
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my

“Ketika berpantang selepas melahirkan anak kembar pada Januari 2014, semua nampak lancar dan tiada masalah. Tapi hari demi hari, tanpa sebab yang jelas saya mula rasa jiwa kacau, tidak tenteram, rasa sunyi sehingga kemurungan hingga hampir meroyan,” kata pengasas Richglow, Seri Asmara Salimin, 30, memulakan bicara.

Menjelaskan lanjut, Seri berkata, puncanya tidak lain adalah akibat keletihan, tidak cukup tidur, terlalu banyak berfikir mengenai masalah kewangan beliau dan suami dan ditambah pula sakit pada luka pembedahan di perut kerana melahirkan anak kembar.

“Saya tertekan hingga kerap menangis, susu badan tiada langsung, sering demam dan badan seram sejuk menyebabkan fikiran bercelaru.

“Apabila kembar menangis, saya rasa terseksa hingga satu tahap membenci melihat muka mereka,” kata ketika ditemu ramah di Johor Bahru, baru-baru ini.

Akibat tertekan beliau hampir dilanda penyakit paling ditakuti golongan ibu selepas selepas bersalin iaitu kemurungan hingga meroyan.

“Pada satu ketika, saya hampir mahu menghempas anak kembar dan kadangkala perasaan mahu bunuh diri kerap merasuk. Perasaan saya berkecamuk dan pada hari ke-40 berpantang, saya nekad lari dari rumah secara senyap dan meninggalkan kembar di bawah jagaan emak dan suami.

“Semuanya berlaku kerana fikiran saya sangat terganggu hingga tidak dapat berfikir dengan waras. Saya lari kerana takut saya akan cederakan anak,” kata bekas juruaudit di sebuah jabatan kerajaan itu.

Beliau berkata, mujur ketika itu ada sahabat yang datang berjumpa dan menemaninya serta membantu mengembalikan semula semangatnya, dalam masa sama memujuknya kembali ke rumah.

“Saya amat menghargai kehadiran mereka di saat-saat genting hingga saya hampir meroyan dan sakit mental. Sesungguhnya Allah itu ada dan sentiasa membantu dan menyelamatkan saya dan anak-anak daripada perkara yang tidak terfikir dek akal.

“Saya bersyukur Allah membantu memulihkan semangat dan mujur suami sangat memahami serta bersabar membantu saya sepanjang bergelut dengan masalah itu,” katanya.

Pengalaman itu yang menjadikannya nekad mengatasi masalah kewangan dan bertindak berani menceburi bidang perniagaan dengan mengeluarkan produk membantu golongan ibu.

“Allah buka jalan untuk saya berniaga dan lahir Richglow yang saya ilhamkan daripada gabungan makanan sunnah nabi kira-kira setahun selepas itu hingga wujudnya #TeamRichglow yang saya sangat sayangi.

“Saya mahu membantu golongan ibu yang kekeringan susu badan, penat dan lesu ketika berpantang supaya mereka lekas sihat, bertenaga hingga badan mereka sihat, sekali gus menjamin kestabilan emosi.

“Disebabkan saya sudah merasai peritnya apabila hampir meroyan ditambah dengan masalah kewangan saya ingin sedaya upaya membantu wanita dan ibu supaya mempunyai pendapatan sendiri.

“Saya tidak mahu mereka mengalami masalah sama seperti saya, sakit, sedih, tertekan, kesempitan wang hingga mengucar-kacirkan rumah tangga,” katanya.

Para suami diingatkan supaya memahami dengan mata hati bukan secara luaran sahaja mengenai tindak tanduk isteri terutama yang sedang berpantang.

“Pesanan saya untuk suami, masa berpantang ini isteri sangat memerlukan rehat secukupnya dan nutrisi yang cukup untuk pulih sepenuhnya. Tolong jangan pandang isteri senyum dan berkata ‘oh dia dah sihat’ Tidak sama sekali berkata demikian.

“Nampak badan sihat, tetapi mental belum tentu lagi kerana kadang-kadang isteri menangis sendiri dan memendam perasaan,” katanya.

Seri berkata, produk Richglow diwujudkannya berpaksikan sepenuhnya atas sifat kasih sayang dan mengambil berat dirinya terhadap wanita bergelar ibu.

“Jangan bersedih jika kita sedang diduga, kembali kepada fitrah dan teruskan perjalanan kerana di sebalik awan mendung yang berarak pasti ada pelangi yang indah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 11:55 AM