BAHAN asas dan warna boleh dipilih mengikut kesesuaian masing-masing.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Bersolek umpama rutin wajib bagi wanita yang mementingkan penampilan diri. Tidak kira walau sesibuk manapun, mencalit gincu atau sekurang-kurangnya mengenakan pengilat bibir berwarna sudah memadai untuk kelihatan segar. Begitupun, bibir sensitif, kering dan pucat masih perlu diberi perhatian khusus untuk mengelak risiko lebih buruk.

Dalam kebanyakan kes, mereka yang mempunyai bibir sensitif cukup berhati-hati dalam memilih gincu. Jika tersalah calit, keadaan bibir mungkin bertambah teruk hingga boleh menggelupas, merekah atau pecah.

Justeru, ramai yang semberono beralih kepada jenama berasaskan organik untuk mendapatkan ulas bibir cantik menawan bak delima. Isunya, adakah pelembap atau pengilat bibir organik sesuai untuk semua wanita? Pastinya ada antara mereka yang mengeluh kerana masih tidak bertemu produk bersesuaian walaupun dikatakan organik.

Bagi wanita yang kreatif dan peka, membancuh pengilat atau pelembap bibir mungkin kedengaran menarik untuk dicuba. Paling utama, bahan asas dan warnanya boleh dipilih mengikut kesesuaian bibir masing-masing. Berikut ada dua cara popular untuk menghasilkan pengilat bibir sendiri. Kedua-dua kaedah ini menjadi ikutan ramai wanita yang tidak jemu mencari kaedah perawatan terbaik untuk mengatasi masalah bibir kering.

PENGILAT BIBIR JERNIH

Bahan diperlukan hanya madu, jeli petroleum, ekstrak vanila, esen buah-buahan, bekas tahan panas dan ketuhar gelombang mikro. Caranya, panaskan bekas dalam ketuhar kira-kira 10 saat dan masukkan jeli petroleum. Tambahkan madu dan sebatikan kedua-dua bahan dengan sempurna.

Panaskan campuran berkenaan dalam ketuhar selama 10 hingga 20 saat dan biarkan ia mencair. Sekiranya tidak mempunyai ketuhar gelombang mikro, bancuhan masih boleh dilakukan di atas dapur dengan kaedah pemanasan bertingkat atau ‘double boiler’.

Akhir sekali tambahkan ekstrak vanila dan beberapa titis esen buah dan kacau sebati. Masukkan hasil bancuhan dalam bekas pengilat bibir. Ia boleh dioles setiap hari, bila-bila diperlukan.

PENGILAT BIBIR BERWARNA

Sediakan sesudu jeli pertroleum, sedikit gincu atau pembayang mata, minyak pudina, minyak badam, esen buah, pengilat, bekas tahan panas dan ketuhar gelombang mikro. Sama seperti membancuh pengilat jernih, jeli petroleum dicairkan dalam bekas dan ditambah sepotong kecil gincu atau pembayang mata rona merah. Pastikan gincu yang dipilih bersesuaian dengan bibir sensitif.

Jika mahu pengilat bibir rona terang, gandakan jumlah pembayang mata atau gincu dalam bancuhan. Sebatikan semua campuran dan panaskan dalam ketuhar gelombang mikro sehingga mencair. Usah panaskan terlalu lama untuk mengelak warna berubah menjadi gelap. Tambahkan beberapa titis esen buah dan pengilat (jika perlu). Selepas semua bahan sebati, masukkan campuran dalam bekas bersesuaian. Simpan pengilat bibir dalam suhu bilik.

TIP BIBIR MENAWAN

1. Minum air secukupnya setiap hari untuk mengimbangi keperluan tubuh.

2. Elak membasahkan bibir dengan lidah kerana air liur boleh menyebabkan bibir bertambah kering dan merekah.

3. Pilih gincu mengandungi pelembap dan bahan antioksida seperti vitamin A, E dan C.

4. Cuci solekan menggunakan cecair penanggal mekap.

5. Amalkan menyapu mentega atau minyak zaitun selama sejam, sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

6. Amalan berkumur dan mengelap bibir selepas makan boleh mengurangkan risiko alahan di bahagian bibir.

7. Pilih gincu berasaskan air atau lemak tumbuhan.

8. Jauhi tabiat mengupas kulit bibir.

9. Jauhi rokok dan alkohol.

10. Banyakkan pengambilan makanan berkhasiat, buah dan sayuran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 11:53 AM