CINDY (dua dari kiri) bersama Tiar (tiga dari kanan) ketika demonstrasi solekan Glamraya Sephora.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Syawal hampir separuh bulan berlalu namun kemeriahannya masih terasa, malah hujung minggu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengunjungi sanak saudara dan rakan selain memenuhi jemputan rumah terbuka.

Oleh itu, buat wanita yang mementingkan penampilan, pasti solekan dapat menceriakan dan menambah seri wajah ketika berdepan orang ramai.

Baru-baru ini, Sephora menampilkan empat gaya solekan Glamraya iaitu Edgy Chic, Classic Beauty, Glamorous Queen dan Cool Babe yang lahir dari jemari kreatif jurusolek Tiar Zainal bagi membantu wanita mempelbagaikan teknik berdandan sepanjang Syawal ini.

Empat gaya solekan ini dicipta secara eksklusif sebagai inspirasi untuk pencinta kecantikan menambah warna keceriaan dalam penampilan mereka ketika menziarahi saudara dan teman.

Untuk keempat-empat gaya, Tiar menerapkan kecintaannya terhadap warna yang lahir daripada aktiviti kegemaran zaman kanak-kanaknya iaitu mewarna buku.

Pada 1995, Tiar mula belajar selok-belok seni persolekan dan kini muncul sebagai jurusolek hebat dan berpengalaman.

Gaya solekan utama ciptaan Tiar untuk Sephora iaitu EdgyChic, diinspirasikan oleh wanita yang bergaya dan berani. Solekan ini memperlihatkan garisan mata yang tebal, dihasilkan dengan mengadunkan pelbagai warna pembayang mata.

Untuk gaya Classic Beauty yang diinspirasikan oleh si jelitawan Marilyn Monroe, bibir merah dan celak hitam yang juga ciri khusus gaya solekan ini dan sesuai bagi wanita yang ingin tampak menonjol.

Gaya Glamorous Queen pula dicipta khas untuk acara malam dengan menampilkan warna pembayang mata yang ketara dan bibir merah jambu lembut bagi wanita sofistikated dan elegan.

Manakala untuk Cool Babe, rupa ini menampilkan bibir pusam gelap, berkemasan lembap dan mata gemerlap dengan sentuhan pembayang mata hijau bagi melahirkan kilauan sihat segar.

Menurut Pengurus Negara Sephora Malaysia Cindy Lee, butik kecantikan itu begitu teruja bekerjasama dengan Tiar dalam kolaborasi bersama Sephora untuk sepanjang bulan perayaan ini.

Ini kerana katanya, sebagai jenama yang menjadi pencetus perubahan dalam dunia kecantikan tempatan, mereka menantikan saat untuk membawa kejutan kepada peminat jenama itu dengan tawaran baru dan eksklusif yang dicipta khusus buat mereka sempena Ramadan dan Syawal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 11:49 AM