Dr Krishna H Kumar

Tahniah atas kehamilan anda! Ada beberapa perkara yang anda perlu pertimbangkan sekiranya sudah membuat rancangan untuk mengembara (sama ada sebelum atau selepas mengetahui mengenai kehamilan anda).

PATUTKAH SAYA MENERUSKAN RANCANGAN?

Ada di antara kita merancang percutian berbulan-bulan malahan beberapa tahun lebih awal.

Perkara terakhir yang akan masuk dalam fikiran kita adalah untuk membatalkannya pada saat akhir.

Namun begitu, kesihatan anda dan janin perlu diutamakan. Secara umumnya, selagi kehamilan anda tiada komplikasi, adalah selamat untuk mengembara.

Bagaimanapun, anda perlu sentiasa mendapatkan nasihat doktor atau pakar ginekologi mengenai rancangan untuk men gembara. Dia akan menjadualkan pemeriksaan kehamilan yang tetap,apabila kesihatan anda akan dipantau. Berdasarkan hasil pemeriksaannya, doktor akan memberi nasihat sama ada anda boleh mengembara.

APABILA TIDAK SELAMAT

Jangan meneruskan rancangan anda untuk mengembara sekiranya berhadapan dengan komplikasi seperti perdarahan faraj, kehamilan berganda atau mempunyai sejarah diabetes gestasi, hipertensi, pre-eklampsia, ketidaknormalan plasenta, keguguran atau kehamilan ektopik (janin membesar di luar rahim).

BERSIAP SEDIA UNTUK PERJALANAN

Bila-bila masa anda mengembara, pastikan anda mengambil tindakan yang wajar. Berikut tiga perkara utama untuk dibincangkan bersama doktor/pakar ginekologi anda:

• Dapatkan ‘pensijilan’

- Sebagai tindakan berhati-hati, minta doktor memberi surat yang mengesahkan anda sihat untuk mengembara. Surat ini seharusnya bertarikh melebihi satu bulan daripada tarikh perjalanan anda.

• Vaksin mengembara

- Tanya mengenai suntikan yang wajar diambil untuk destinasi percutian anda. Vaksin hidup yang dilemahkan sangat tidak digalakkan ketika hamil.

• Pelajari mengenai rawatan khusus

- Ketahui bagaimana anda boleh merawat penyakit ketika berjalan (contohnya mabuk gerak, mabuk ketinggian, menyesuaikan diri dengan perubahan iklim).

Perkara lain yang anda perlu berikan perhatian termasuk mengetahui cara untuk:

• Menetapkan rentak perjalanan.

Jika merancang pergi melancong, anda mungkin perlu menyesuaikan rentak perjalanan dengan kehamilan.

• Berikan perhatian serius kepada keselamatan. Sentiasa guna peralatan perlindungan persendirian walaupun jika ia tidak selesa dipakai (contohnya tali pinggang khas apabila berjalan menaiki kereta).

Walaupun keselamatan harus menjadi keutamaan, anda boleh meletakkankain lembut di antara tali pinggang keselamatan dan tubuh jika ia membuat anda rasa tidak selesa; periksa untuk memastikan tali pinggang keselamatan masih berfungsi dengan sempurna dan diletakkan dalam posisi yang sesuai.

• Rancang perjalanan anda. Beberapa pilihan kenderaan memerlukan perancangan yang lebih, contohnya berjalan menaiki bas atau kereta mungkin bermakna menyediakan masa yang lebih untuk berhenti ke tandas. Hadkan masa perjalanan tidak melebihi lima hingga enam jam. Berhenti berehat untuk berjalan kaki sebentar bagi mengekalkan edaran darah anda. Anda perlu pastikan tubuh anda cukup hidrasi. Ini akan mengurangkan risiko terjadinya darah beku yang berbahaya.

• Bersedia. Berjalan dengan membawa salinan rekod perubatan yang berkaitan dengan kehamilan anda sebagai langkah berjaga-jaga. Sekiranya terjadi kecemasan, dapatkan alamat/nombor telefon doktor/hospital berdekatan.

• Simpan ubat-ubatan bersama anda

- Pastikan anda membawa ubat-ubatan atau suplemen kehamilan dalam beg sandang apabila anda mengembara, sekiranya bagasi anda hilang (kantung pinggang yang kecil, beg tangan, dompet, bag kecil adalah mencukupi).

• Semak liputan insurans anda

- Adakah ia meliputi masalah berkaitan dengan kehamilan? Jika tidak, hubungi pembekal insurans anda untuk mengetahui pilihan yang ada.

• Kualiti penjagaan kesihatan

- Pastikan hospital/klinik di tempat yang anda lawati boleh mengendalikan komplikasi, mengudarakan pemindahan ubat-ubatan, dan juga kesediaan dan kos.

• Sindrom kelas ekonomi.

- ‘Sindrom’ ini tidak terbatas hanya kepada kelas ekonomi. Ia terjadi akibat pembentukan darah beku dalam saluran darah kaki yang biasanya berlaku ketika (atau hanya selepas) penerbangan jauh. Ia juga dipanggil sebagai trombosis vena dalam (DVT), anda boleh mengurangkan risiko dengan:

-Mengekalkan hidrasi yang baik (minum banyak air)

-Menggerakkan kaki dengan berjalan sebentar semasa penerbangan atau merenggangkan buku lali, lutut dan pinggul anda sekerap mungkin. Ini membantu mengurangkan risiko DVT, yang mungkin boleh membawa maut.

TAHUKAH ANDA?

Amnya, waktu ideal bagi wanita hamil berjalan jauh adalah ketika trimester kedua kerana kebanyakan orang melepasi fasa mabuk hamil yang biasa terjadi semasa trimester pertama. Sebaiknya lalui trimester ketiga di rumah untuk mengelakkan sebarang kejadian atau kecemasan tidak diingini.

Penulis adalah perunding Obsterik & Ginekologi dan Mantan Presiden Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia)

Artikel ini adalah sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama rakan kongsi pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia. Pendapat dalam artikel ini adalah pandangan penulis.

Bagi maklumat lanjut dan membaca majalah-e Pengasuhan Positif, layari www.mypositiveparenting.org.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 10:18 AM