NORLINNA.
PELBAGAI jenis kotak disediakan Norlinna untuk hamper pelanggan syarikat korporat.
ANTARA produk IKS yang diletakkan di dalam hamper.
HAMPER hipster yang disediakan untuk pelanggan.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Setiap kali mengunjungi bahagian hamper di mana-mana pusat beli-belah, wanita ini sering memasang angan-angan jenama hamper miliknya akan berada dalam salah satu pasar raya besar sekitar Lembah Klang suatu hari nanti. Ketika itu Norlinna Mohd Jali, belum menjalankan perniagaan berasaskan cenderahati kerana tidak tahu di mana perlu bermula.

“Setiap kali melihat deretan hamper yang dipamerkan terutama pada musim perayaan saya dapat rasakan sekiranya diberi peluang saya mampu menghasilkan hamper yang lebih baik daripada itu. Ketika itu saya mula bersemangat hendak menjalankan perniagaan cenderahati dan hamper untuk orang ramai,” katanya yang ditemui di kedainya di Shah Alam, Selangor.

Berkerja keras mendapatkan apa yang diinginkan, pengasas Lynna Hampers & Gifts mengakui untuk menempatkan hasil kerja setanding dengan rekaan bangsa lain, ia bukanlah sesuatu yang mudah.

Selepas hampir tujuh tahun, barulah bakat dan hasil kerjanya diiktiraf apabila dia satu-satunya usahawan Bumiputera yang diterima meletakkan koleksi hamper di pasar raya besar sekitar Lembah Klang.

“Hampir dua tahun saya mengikat kontrak dengan pihak pengurusan pasar raya untuk koleksi hamper mengikut musim. Ia sesuatu yang memang ditunggu-tunggu kerana menjadi penanda aras dalam perniagaan saya. Walaupun mereka meminta untuk pasaran seluruh Malaysia, saya terpaksa menolak disebabkan kekangan modal,” katanya.

Memulakan perniagaan dengan menjual biskut raya buatan sendiri pada 2008, oleh kerana keunikan dalam pembungkusan menyebabkan Norlinna menerima tempahan hamper buat kali pertama daripada syarikat korporat.

Ketika itu dia langsung tiada pengalaman dalam gubahan hamper, semuanya hanya berasaskan kreativiti dan cetusan idea yang diambil daripada koleksi hamper luar negara di Internet.

Bagi menjadikan koleksi hamper yang unik, Norlinna menggunakan bahan berkualiti dari luar negara dan mempunyai konsep tertentu. Misalnya untuk perayaan Aidilfitri dia mengambil bakul berasaskan mengkuang atau pandan.

“Saya sukakan sesuatu yang berbeza. Untuk itu saya mencari bahan asas yang lain daripada lain, seperti bekas sama ada berbentuk tradisi atau moden yang memainkan peranan besar. Makanan seperti biskut dan kuih-muih saya ambil daripada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) kemudian dibungkus secara lebih moden dan versatil. Ia menjadikan hamper saya tampil menarik dan unik,” katanya.

Jadi buah mulut

Bermula dengan satu tempahan, Norlinna mulai merasai keseronokannya kerana perniagaan ini tidak memerlukannya menyimpan stok bahan mentah berbeza ketika membuat biskut raya. Jadi ia tidak menyebabkan pembaziran, barang rosak atau tidak tahan lama. Walaupun modal diperlukan agak banyak tetapi keistimewaannya hamper dibuat berdasarkan tempahan pelanggan saja.

“Jadi saya dapat menetapkan bajet untuk setiap tempahan. Barang digunakan juga saya peroleh daripada dalam negara. Tetapi untuk tampil menarik saya turut mengeluarkan bakul sendiri menggunakan kain songket yang ditempah dari luar negara. Ini mencipta kelainan dan menunjukkan tanda pengenalan daripada jenama Lynna Hampers & Gifts,” katanya.

Cantik, berkualiti dan unik, menyebabkan Norlinna tidak memerlukan modal yang besar untuk menjalankan promosi. Kebanyakan pelanggan datang disebabkan tertarik dengan rekaan hamper dan mula menyebarkan kepada orang lain.

“Pemasaran daripada mulut ke mulut menyebabkan ramai membuat tempahan hamper dengan saya. Bermula daripada situ perniagaan saya mula berkembang sehingga sampai satu masa saya tidak mampu membuat gubahan berseorangan.

“Tempahan kian bertambah terutama pada musim perayaan seperti hari raya, Tahun Baru Cina dan Krismas sehinggakan ruang rumah tidak lagi dapat menampung jumlah hamper yang sudah disiapkan. Ini menyebabkan saya terpaksa mencari kedai bagi menyimpan stok hamper yang sudah siap. Begitu juga dengan pekerja sementara yang terpaksa diambil bagi membantu menyiapkan gubahan hamper terutama ketika perayaan,” katanya yang membuka kedai di TTDI Jaya selepas setahun beroperasi di rumah.

Sentiasa segar dengan idea yang dicurahkan bagi memastikan gubahan hamper tampil menarik dan cantik, Norlinna menetapkan konsep dalam rekaan. Misalnya menjelang Syawal dia menerapkan konsep tradisional menerusi penggunaan batik dan songket pada elemen hiasan dan kotak digunakan.

Dia juga menggunakan tumbuhan semula jadi seperti pandan dan mengkuang dalam pembungkusan bagi menampilkan kelainan. Tidak hanya mencari idea sendiri Norlinna turut menerima cadangan daripada pelanggan.

“Ada pelanggan yang inginkan konsep tersendiri. Jadi saya cuba memenuhi permintaan mereka asalkan ia tidak keterlaluan,” katanya.

Hamper hispter

Tidak hanya bergantung kepada konsep yang sama setiap tahun, Norlinna cuba mencari kelainan dalam rekaan sehingga tercetus idea untuk menghasilkan hamper hipster pada tahun ini. Ia bersesuaian dengan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan, hamper hipster memberikan pilihan kepada pelanggan untuk mendapatkan pada harga yang lebih rendah.

“Hipster bermaksud saya menggunakan bahan dikitar semula atau yang ada di sekeliling saya. Oleh kerana menggunakan bahan terpakai atau dibeli pada harga yang rendah menyebabkan rekaan hamper hipster mendapat sambutan. Bagi mengekalkan keunikannya boleh juga menggunakan kotak terpakai serta botol atau bekas pakai buang yang diubahsuai menjadi lebih cantik dan kemas.

“Konsep sebegini mendapat sambutan kerana ia kelihatan menarik dan lain daripada lain. Malah saya turut menggalakkan pelanggan membuat hamper sendiri kerana ia lebih menjimatkan,” katanya yag sering berulang-alik ke luar negara bagi urusan pembelian bahan mentah.

Mengakui cabaran dalam perniagaan ada modal serta persaingan, namun ia tidak mematahkan semangat Norlinna menghasilkan yang terbaik dalam setiap rekaan hamper miliknya. Ketika mula menjalankan perniagaan ini ramai beranggapan wanita ini memiliki kilang sendiri kerana produk makanan tradisional yang diletakkan di dalam hamper begitu unik dan tersendiri.

“Sebenarnya semua produk saya ambil daripada usahawan IKS. Pada masa saya saya membantu mereka mendapatkan keuntungan hasil daripada jualan produk. Tetapi saya turut menekankan kualiti dan rasa kerana kedua-duanya sama penting. Apabila makanan enak kemudian dibungkus dengan cara paling kreatif sudah pasti ia akan menjadi tarikan,” katanya.

Untuk memastikan kualiti dalam penghasilan produk adalah sama, Norlinna turut membuat rutin pemeriksaan bagi mendapatkan maklum balas daripada pihak pasar raya mengenai kekurangan atau apa sahaja yang boleh diperbaiki untuk masa hadapan. Inilah cara agar kualiti tetap terpelihara dan pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 10:08 AM