PELANCARAN Projek Annisa.
NORANIZAH (kiri)dan Rozilah menunjukkan telekung wakaf yang akan diserahkan di surau terpilih pusat beli-belah sekitar Lembah Klang.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Memakai telekung yang hampir lusuh, berbau, penuh calitan gincu, celak dan bedak ketika menunaikan solat di tempat awam ada kalanya mengganggu tumpuan dalam beribadat. Namun disebabkan tiada pilihan, pakaian solat wanita ini terpaksa disarung juga demi memastikan amal ibadat dapat dilakukan pada waktunya.

Walaupun tidak semua telekung wakaf di pusat beli-belah, hotel dan surau di hospital kotor dan berbau, menerusi pengalaman penulis kebanyakannya tidak diselenggara dengan baik sama ada oleh orang perseorangan atau pihak pengurusan. Jarang bertemu telekung yang bersih menyebabkan ada wanita sanggup menggalas beg besar berisi telekung ke mana saja mereka pergi.

Pengalaman ini turut dilalui Pengerusi Koperasi Usahanita Kuala Lumpur Berhad (KUKLB) Rozilah Muhamad Tahir yang melihat kebanyakan telekung sama ada diwakaf atau disediakan pusat beli-belah tidak bersih kerana dibiarkan begitu saja. Apabila dipakai silih berganti, dilipat selepas digunakan dalam keadaan lembap serta tidak dicuci dalam tempoh yang lama menyebabkan ia berbau hapak, ‘bertahi lalat’ dan penuh dengan kesan solekan terutama bedak yang menimbulkan ketidakselesaan ketika bersolat.

“Setiap kali keluar ke pusat beli-belah, hotel atau tempat awam saya jarang membawa telekung sendiri. Ini kerana kebanyakan surau menyediakan telekung untuk pengunjung. Malangnya saya jarang mendapat telekung yang bersih dan wangi, namun kerana tiada pilihan saya terpaksa menggunakannya,” kata Rozilah.

Menyedari besarnya nilai sekiranya telekung awam ini dibersihkan, Rozilah bersama Bendahari KUKLB Noranizah Che Ee, mencetuskan inisiatif unik dengan melancarkan projek mengumpul, mencuci, menghantar serta mengganti telekung baharu menerusi projek amal Annisa yang bermula pada 1 September 2016.

Projek ini membabitkan telekung di beberapa masjid dan surau di kompleks beli-belah, hospital, tempat awam serta perhentian rawat dan rehat di semua lebuh raya seluruh negara.

“Melalui projek ini satu kumpulan pengurusan di bawah Annisa akan bergerak ke seluruh masjid dan surau mengikut kawasan tertentu bagi mengutip dan mengumpul semua telekung yang diwakafkan untuk dicuci dan diganti dengan yang baharu.

“Buat permulaan Pusat Zakat Wilayah Persekutuan sebagai penaja rasmi turut menyumbangkan 100 pasang telekung yang akan diwakafkan di 11 surau di sekitar Lembah Klang,” katanya yang hanya memberikan tumpuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor terlebih dulu sebelum beralih ke setiap negeri di seluruh Malaysia.

Adab guna telekung wakaf

Menurut Rozilah, projek ini bertujuan mempelbagai program amal pertubuhan dengan harapan dapat menarik pembabitan lebih banyak badan korporat untuk menghulurkan sumbangan. Ia dilaksanakan secara berperingkat dan buat permulaan dijalankan di 20 surau di sekitar Gombak dan Keramat.

Peringkat pertama ialah mengumpulkan semua telekung yang tidak bersih dan lusuh, menghantarnya ke kedai dobi dan menggantikan dengan telekung yang baru. Proses penjagaan telekung ini akan dijalankan secara mingguan bagi memastikan kebersihan sentiasa dipelihara.

“Menerusi program amal ini setiap surau akan diperiksa sama ada telekung di situ masih elok atau sebaliknya. Jika kotor dan lusuh, semua telekung dihantar ke kedai dobi untuk dicuci manakala Annisa akan meletakkan telekung baharu sementara telekung lama siap dibersihkan,” katanya yang menyediakan khidmat mencuci telekung menerusi syarikat penyelenggaraan miliknya, R-Yang Enterprise.

Jika sebelum ini di kebanyakan surau telekung dilipat selepas dipakai, tetapi menerusi Projek Annisa, peralatan menggantung telekung akan dipasang di setiap surau bagi memastikan semua telekung digantung selepas digunakan. Dengan cara menggantung telekung juga menjadikan kainnya kurang berbau dan mengelakkan terbentuknya tahi lalat atau bintik hitam.

Pihak KUKLB juga akan mengadakan Tabung Sumbangan Harian dan Bulanan yang akan diletakkan di semua tempat yang disasarkan. Malah Notis Peringatan Penjagaan Telekung akan dipaparkan di semua surau.

Menurut Noranizah, walaupun ramai beranggapan ia kelihatan sangat remeh namun adab pemakaian telekung di tempat awam harus dijelaskan kepada wanita agar mereka tahu menghargainya.

“Ramai wanita yang bersolek selepas berwuduk kemudian membiarkan telekung terkena bedak atau gincu. Apabila dibiarkan lama, kotoran ini sukar ditanggalkan. Pemberitahuan ini penting kerana kami mahu wanita sama ada menjaga kebersihan telekung awam. Mereka perlu mengelakkan telekung awam daripada dicemari oleh alat solek. Sebaiknya bersoleklah selepas selesai solat,” kata Noranizah.

KUKLB juga sentiasa mengalu-alukan pembabitan semua pihak dalam menjayakan Projek Annisa agar matlamatnya dapat dilaksanakan dengan berkesan. Melalui program seumpama ini, ia dapat menarik lebih ramai pengunjung beragama Islam untuk singgah di masjid, surau kecil di kompleks beli-belah, tempat awam dan perhentian rehat dan rawat di semua lebuh raya untuk mengerjakan solat dan memakai telekung yang bersih dan wangi.

Pada masa yang sama secara tidak langsung program ini menyediakan peluang untuk individu melakukan amal jariah. Selain penyelenggaraan surau di sekitar Lembah Klang dan Selangor, KUKLB turut bersedia menjalankan program yang sama di surau di seluruh Malaysia. Menerusi Tabung Projek Annisa sumbangan dana daripada kerajaan, swasta, korporat dan orang perseorangan dapat digunakan untuk pembelian telekung baru.

Dalam pada itu, KUKLB juga akan mengadakan Pertandingan Reka Cipta Telekung Antarabangsa yang diberi nama Piala Seri Annisa bagi mencungkil bakat baru dalam bidang rekaan. Pertandingan akan diadakan pada 15 hingga 19 November di Sunway Resort & Spa bersempena perjumpaan koperasi seluruh dunia.

Setakat ini, KUKLB mendapat kerjasama daripada beberapa pihak seperti Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan dan Wales Industrial Sdn Bhd sebagai penaja bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 10:04 AM