SESI tazkirah bertujuan mendidik jiwa anggota kelab kembali ke jalan diredai Allah.
PROGRAM tadarus terapkan budaya membaca al-Quran dalam kalangan kakitangan khususnya belia.
MENYEMAK bacaan al-Quran ketika tadarus selain menggilap ilmu turut memupuk sikap kerjasama antara kakitangan.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Penubuhan kelab sukan, rekreasi dan kebajikan di tempat kerja sama ada dalam organisasi swasta atau kerajaan bukan saja bertujuan merapatkan hubungan antara pegawai dan kakitangan, malah dapat meningkatkan moral dan kesihatan mereka menerusi aktiviti sosial.

Aktiviti yang dianjurkan kelab sedemikian selain mengisi masa lapang, ia juga sebagai platform untuk kakitangan melakukan pelbagai kegiatan berteraskan sukan, riadah mahupun kebajikan. Malah, mereka juga dapat menyumbang tenaga dan buah fikiran yang dapat memulihkan kekuatan dari segi fizikal dan mental.

Bagi Kelab Sukan, Rekreasi, Kebajikan dan Agama Kumpulan LITRAK iaitu pengendali lebuh raya di Lembah Klang, mengambil kesempatan kedatangan Ramadan lalu untuk menjalankan pelbagai program mengimarahkan bulan penuh keberkatan, di samping sesi motivasi mencakupi pelbagai aspek kepada anggota kelab untuk pembangunan diri.

Program secara berkumpulan itu membabitkan majlis doa selamat menyambut Ramadan, kacau dodol, tazkirah perdana, ziarah berbuka kakitangan barisan hadapan, tadarus al-Quran dan qiamullail.

Setiausaha Agung kelab itu, Fauziah Hayat berkata, penutup program dalam bulan puasa adalah majlis khatam al-Quran susulan tadarus yang dijalankan sepanjang Ramadan membabitkan 60 kakitangan pelbagai tingkat jawatan.

“Tadarus al-Quran pada asasnya bermaksud membaca kitab suci ini di hadapan seseorang yang dapat mengawasi bacaan itu daripada sebarang kesilapan. Amalan tadarus satu daripada ibadat penting yang diberi tumpuan ketika Ramadan.

“Ramai juga kakitangan dari golongan muda menunjukkan minat yang lebih terhadap program ini apabila menyertainya. Mereka ini boleh dikategorikan sebagai celik al-Quran kerana boleh membaca dengan baik dan lancar.

“Aktiviti bertadarus memberi peluang kepada warga kerja Kumpulan LITRAK untuk mengeratkan silaturahim kerana walaupun bekerja di organisasi sama, tetapi mereka jarang berjumpa,” katanya.

Fauziah berkata, kesempatan bertadarus bersama diambil untuk berkumpul dan mengulangkaji serta memperbetulkan bacaan masing-masing. Pihaknya berharap dengan adanya usaha murni seperti ini, ia akan dapat menarik minat terutama pada golongan muda untuk terus mendekati al-Quran.

Di samping itu, program tadarus turut memberi kesedaran supaya kitab suci itu tidak dijadikan sebagai hiasan dalam rumah semata-mata dan membaca al-Quran menjadi amalan, sekali gus bermanfaat kepada orang yang mengamalkannya.

“Kami juga mengambil peluang perhimpunan warga kerja dalam program tadarus ini untuk menganjurkan sesi teknik penampilan imej diri profesional dan etiket sosial dalam majlis rasmi dan di tempat kerja termasuk etiket berpenampilan mengikut acara rasmi, separuh rasmi, gaya korporat dan kasual.

“Warga kerja kami mendapat serba sedikit ilmu pengetahuan mengenai imej penampilan diri supaya dapat meningkatkan kualiti imej penampilan dalam kalangan kakitangan yang sentiasa berurusan dengan pelanggan.

“Kami menyentuh mengenai cara berpakaian lelaki dan perempuan yang sesuai mengikut acara. Cara berdepan dan melayan pelanggan dengan berhemah terutama ketika menangani situasi kritikal turut diajar supaya tidak memberi tekanan kepada warga kerja itu sendiri,” katanya.

Kelab yang dinaungi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LITRAK, Sazally Saidi, juga mengeratkan silaturahim dengan masyarakat menerusi penganjuran program bersama penduduk setempat dan pengguna lebuh raya. Acara membabitkan program pendidikan keselamatan jalan raya, kerja amal dan sumbangan perayaan.

Difahamkan, Kumpulan LITRAK sudah membelanjakan lebih RM15 juta untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sejak 2009. Organisasi berkenaan percaya pada konsep memberi kembali kepada komuniti.

Fauziah berkata, selain program keagamaan dan kerohanian pada bulan puasa, aktiviti kelab dianjurkan seperti menggagau ikan, pertandingan sukan, mendaki gunung, konvoi motosikal dan pertandingan memasak.

“Banyak nilai yang diperoleh daripada kegiatan dijalankan yang turut bermanfaat dalam pembentukan personaliti diri seseorang. Kakitangan menjadi lebih yakin terutama dalam penampilan mereka tanpa mengira bentuk fizikal.

“Mereka juga berani menyuarakan pendapat, menjalankan kerja dengan penuh disiplin, bertolak ansur dan sering bantu-membantu antara satu sama lain. Ini kerana semua tekanan akibat kerja ‘dilepaskan’ menerusi aktiviti bersukan dan riadah dalam kelab,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 10:00 AM