HASIL imbasan X-ray yang dilakukan ke atas Noor Farhana.
NOOR Farhana ketika menerima rawatan, baru-baru ini.
NOOR Farhana bersama keluarga tercinta.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Usia muda bukan bermakna terjamin sihat dan bebas daripada segala penyakit. Ternyata hampir kebanyakan jenis penyakit menyerang sesiapa saja tanpa mengira usia, jantina, keturunan mahupun latar belakang.

Kerap mengalami sakit belakang dan kebas pada bahagian tertentu badan antaranya kaki antara petunjuk paling nyata yang memerlukan pemeriksaan menyeluruh dilakukan bagi mengesan punca kesakitan pada peringkat awal.

Percayalah, apa juga penyakit dialami sekiranya dikesan pada peringkat awal pasti dapat mengurangkan risiko bertambah kronik termasuk masalah diska tergelincir.

Diska tergelincir bermaksud diska pada tulang belakang terbonjol atau tergelincir keluar sehingga menekan urat saraf pada saraf tunjang.

Pada permulaannya, pesakit akan berasa kebas kaki dan diikuti dengan sakit belakang. Kebanyakan masalah diska tergelincir berlaku pada tulang belakang terutama di bawah punggung.

Mungkin ramai yang kurang mengetahui mengenai perkara ini, tapi sebenarnya ia agak bahaya yang memerlukan rawatan lengkap dan rutin dilakukan.

Baru-baru ini, kisah seorang wanita berusia 29 tahun yang menggunakan nama Noor Farhana tular di media sosial Facebook (FB) yang turut disiarkan di Ohbulan.com, Penmerahpress.com dan kisahdunia.com apabila dia berkongsi pengalamannya selepas disahkan mengalami masalah ini.

Harian Metro turut berpeluang mewawancara Noor Farhana Hasni yang berkongsi kisah hidupnya selepas menghidapi penyakit itu pada usia yang muda selain perlu menjalani pelbagai rawatan ditetapkan doktor.

Menurut Noor Farhana yang juga anak kelahiran Temerloh, Pahang, dia tidak pernah terjatuh dan tiada ahli keluarganya yang mengalami masalah itu.

“Pada permulaannya hampir bertahun saya rasa sakit belakang, tetapi kesakitannya tidaklah teruk sangat. Apabila ia menyerang, memang terasa amat sakit. Awal tahun ini kaki kanan saya mula rasa kebas.

“Hampir tiga bulan juga saya merana kerana kebas. Setiap jam 3 atau 4 pagi saya terjaga. Setiap kali itulah saya akan jirus kaki dengan air, tuam ais di kaki atau mandi bagi mengurangkan rasa kebas.

“Kawan sepejabat kerap bertanya bagaimana kaki saya boleh kebas walhal bukan duduk bersimpuh. Tidak kira apa yang saya buat, kaki tetap rasa kebas sepanjang masa termasuk ketika baring,” katanya.

Noor Farhana yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia sentiasa dalam keadaan tidak selesa selain kesakitan juga mula merebak ke belakang badan dan atas punggung.

“Kadang-kadang ketawa pun rasa sakit. Kalau hendak bangun dari duduk di kerusi, saya perlukan tekan tepi kerusi untuk memberi sokongan kepada badan. Sedihnya apabila pergi ke klinik, doktor kata ini masalah angin saja.

“Seminggu sebelum raya, keadaan saya menjadi semakin teruk. Ketika berjalan ke tempat kerja, kaki kanan saya tidak terasa langsung ketika dipijak dan ketika naik tangga pelipat kaki saya rasa sakit. Keesokannya saya pergi ke klinik dan minta surat untuk rujuk kepada pakar bagi pemeriksaan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pakar kemudian melakukan ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan dia mengesahkan mengalami masalah diska tergelincir.

“Ada beberapa diska yang sudah menekan urat saraf belah kanan dan itulah sebabnya kaki kanan saya selalu kebas. Doktor mencadangkan saya ambil ubat suntik untuk mengawal masalah ini kerana jika tidak keadaan saya akan bertambah teruk.

“Saya berbincang dengan keluarga dan memilih untuk mengikut saranan doktor. Setakat ini sudah 12 kali ubat disuntik di belakang badan saya dan dalam tempoh dua tahun ini perlu menjaga diri sebaik-baiknya serta tidak boleh mengangkat barang berat,” ujarnya.

Katanya, ramai juga yang menyarankan kaedah urut namun dia memilih untuk berusaha dengan cara perubatan moden dan yang paling penting menjaga diri sebaik mungkin.

“Bukan tidak percaya pada urut tetapi saya mahu ambil langkah berhati-hati sebab saya yang menanggung kesakitannya. Lain orang lain caranya tetapi yang penting adalah usaha untuk jaga diri.

“Orang tak alami masalah ini tidak akan tahu bagaimana sakitnya, bayangkan hendak duduk pun tidak boleh. Hendak berdiri terasa lenguh dan apabila berbaring terasa kebas. Semuanya jadi serba tidak kena,” katanya.

Noor Farhana turut berkongsi punca terjadinya diska tergelincir iaitu:

1- Cara duduk di atas kerusi (rapatkan kerusi pada meja supaya keadaan tidak membongkok)

2- Cara memandu kereta atau menunggang motosikal

3- Angkat benda berat dengan cara yang salah (cara betul ialah membengkokkan kaki ketika mahu mengangkat barang, bukan bongkokkan badan)

4- Duduk di atas kerusi tetapi dompet diletakkan di dalam poket seluar yang menyebabkan keadaan duduk tidak stabil.

5- Cara apabila membongkok

6- Bangun daripada tidur perlu mengiring dulu jangan terus bangun

Kata Noor Farhana, amat mengejutkan apabila majoriti pesakit yang ditemui ketika dia melakukan fisioterapi adalah golongan muda.

“Alhamdulillah saya sudah keluar dari wad tetapi masih perlu berehat dan meneruskan fisioterapi. Luka suntikan juga masih terasa dan untuk tempoh dua tahun ini saya boleh bersukan yang ringan tetapi tidak boleh mengangkat benda berat sama sekali.

“Saya amat berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa, adik-adik, saudara mara, rakan, doktor dan jururawat yang banyak membantu saya selama ini,” katanya.

Menurutnya, dia amat berharap dapat kembali sihat seperti sedia kala serta memulakan tugasnya kembali.

“Semua perkongsian di laman FB adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutama individu yang turut mengalami gejala seperti saya supaya segera mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital. Sakit datang tanpa mengira usia dan saya amat berharap kesedaran awal mampu membantu mengembalikan kesihatan seperti sedia kala,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 4:35 AM