SEMBELIT amat menyakitkan.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Rasa sakit setiap kali ingin membuang air besar pasti menyeksakan sesiapa saja, malah menyebabkan pelbagai implikasi. Sembelit memang amat menyakitkan dan dialami orang dewasa mahupun bayi dan kanak-kanak. Bagaimanapun, cara hidup sihat dan aktif boleh membantu melegakan dan mengurangkan sakit akibat sembelit.

Sembelit berlaku apabila seseorang itu membuang air besar kurang tiga kali seminggu dan golongan warga emas berusia 65 tahun ke atas dikatakan lebih berisiko mengalami sembelit.

Najis akibat sembelit tidak semestinya bersifat keras, kering dan berketul namun ramai penghidap sembelit perlu meneran dengan kuat setiap kali mengeluarkan najis.

Sembelit menyebabkan penghidapnya berasa tidak puas selepas membuang air besar selain perut menjadi buncit atau kerap sakit perut.

Ia juga boleh menyebabkan beberapa simptom seperti bau mulut dan tubuh yang tidak menyenangkan selain sukar menumpukan perhatian, mudah mengantuk, malas, kelesuan yang kronik, artritis, hilang selera makan, sakit kepala dan masalah kulit.

RISIKO PENYAKIT TERMASUK KANSER

Jika tidak diatasi dengan betul, sembelit menyebabkan pengambilan makanan berkhasiat menjadi kurang bernilai. Toksin dalam aliran darah akibat sembelit menimbulkan beban kepada hati untuk menjalankan proses penyahtoksin secara berkesan dan hasilnya nutrien tidak dapat sampai kepada sel yang memerlukannya.

Sembelit juga menyebabkan bahan bertoksik tidak dinyahkan dengan sempurna dari tubuh secara cekap. Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan paras molekul radikal bebas.

Najis yang mengeras akibat sering mengalami sembelit mudah melekat pada dinding usus besar dan boleh menyebabkan usus tersumbat.

Sembelit didapati mampu menyebabkan pembentukan kanser usus besar dan kantung terbentuk pada dinding kolon tanpa berlaku keradangan selain apendiks mengalami keradangan.

Selain itu, mengalami masalah sembelit yang berpanjangan turut menyebabkan bahan bertoksin mengitari seluruh tubuh.

PUNCA SEMBELIT

Ada pelbagai punca sembelit namun yang paling utama ialah apabila sering mengabaikan isyarat membuang air besar iaitu kerap menahan pembuangan najis.

Ramai yang menangguhkan buang air besar kerana terlalu sibuk atau leka dengan satu-satu perkara. Lama kelamaan ia akan menjadi tabiat yang boleh memberi kesan negatif kepada diri. Kurang minum air dan makanan tinggi serat juga boleh menyebabkan sembelit.

CARA MENGATASI SEMBELIT

- Banyakkan minum air, sekurang-kurangnya tiga liter sehari. Cara paling mudah adalah dengan memerhati isyarat tubuh dan minum apabila mula terasa dahaga. Jika air kencing mula berwarna kuning pekat, banyakkan minum air.

- Makan lebih banyak serat termasuk bijirin, roti gandum penuh, nasi dan sekurang-kurangnya lima hidangan buah dan sayuran sehari.

- Lakukan senaman secara kerap. Di samping mengurangkan tekanan, bersenam juga mampu meningkatkan kadar metabolisme dan apabila metabolisme meningkat, proses untuk membuang air besar juga semakin pantas.

- Buang air besar dengan mencangkung kerana ia mudah membantu mengeluarkan najis dari dubur berbanding cara duduk. Berbaring dan kaki dinaikkan ke atas juga merangsang otot untuk membantu mengelakkan sembelit.

- Mengambil makanan herba seperti halia dan kunyit yang boleh menguatkan fungsi hati, juga membantu mencegah sembelit.

- Jauhi rokok kerana perokok tegar mudah mengalami sembelit.

- Belajar menangani tekanan. Tekanan yang tidak terkawal boleh memberi kesan kepada fungsi badan.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad, sembelit yang kronik sememangnya menyakitkan dan boleh menyebabkan buasir.

Faktor pemakanan antara elemen yang memainkan peranan penting penyebab buasir.

“Banyakkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan selain pastikan minum air secukupnya supaya proses pembuangan air besar berjalan lancar.

“Namun, sekiranya penghidapnya tidak dapat menahan rasa kesakitan melampau, langkah terbaik segera bertemu doktor bagi mendapatkan ubat yang dapat membantu mengatasi sembelit,” katanya.

Kata Dr Zubaidi, ubat melembutkan najis akan diberikan bergantung kepada keseriusan masalah yang dialami itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 4:14 AM