SIMPAN sayur-sayuran dan buah-buahan di tempat sesuai.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Kekurangan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan segar dalam diet harian menjadi antara faktor risiko kepada peningkatan kadar kematian selain mudah dijangkiti pelbagai penyakit.

Kajian dilakukan Kementerian Kesihatan menunjukkan pengambilan serat yang mencukupi melalui sayur-sayuran dan buah-buahan boleh menyelamatkan sehingga 2.7 juta nyawa atau mengurangkan beban penyakit di seluruh dunia sebanyak 1.8 peratus setahun.

Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa WHO menganggarkan, pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang mencukupi boleh mengurangkan lima hingga 12 peratus kanser dan 20 hingga 30 peratus kanser usus.

Untuk penyakit kardiovaskular (jantung) pula, banyak bukti menunjukkan sayur-sayuran dan buah-buahan boleh mengurangkan risiko kerana kepelbagaian kandungan khasiat, kalium dan serat yang mempunyai manfaat tersendiri.

Bagaimanapun, disebabkan pengaruh komersial dan keuntungan, banyak produk makanan hijau dicemari dengan bahan kimia yang digunakan dalam penanamannya lantas menimbulkan keperluan untuk memilih dengan teliti produk tani ini supaya tidak memudaratkan.

Kandungan sisa racun serangga dan bahan toksin pada sayur-sayuran dan buah-buahan menimbulkan kebimbangan kepada pengguna kerana ia menjadi ia boleh punca kepada penyakit berbahaya seperti kanser.

Tip memilih makanan hijau:

- Elak dapatkan makanan hijau daripada satu punca yang sama. Ini kerana produk daripada sumber bekalan yang sama akan menggunakan kaedah pengeluaran makanan, penggunaan racun perosak, kaedah pemprosesan dan pelbagai faktor pengeluaran yang sama. Dengan menukar punca makanan akan mengurangkan risiko pengumpulan sesuatu bahan toksik.

- Tanam sendiri sayur-sayuran dan buah-buahan

Menanam sendiri sayur-sayuran dan buah-buahan di sekeliling rumah dapat memastikan ia bebas daripada racun perosak di samping dapat menikmati buah-buahan yang segar dan selamat dimakan.

- Serangga jadi penunjuk

Makanan hijau yang ada (sedikit) kesan serangga menunjukkan ia kurang atau tiada sisa racun perosak, bagaimanapun hati-hati akibat penggunaan pelbagai jenis racun pada tempoh yang lama boleh menyababkan makhluk perosak lali dengan racun itu.

- Cuci bersih

Mencuci makanan hijau dapat mengurangkan 10 hinga 20 peratus sisa racun yang terdapat di kulit sayuran atau buah-buahan.

- Organik pilihan yang baik

Kaedah penanaman organik dihasilkan secara semula jadi tanpa menggunakan sebarang bahan kimia dan racun perosak. Selain memastikan sayur-sayuran dan buah-buahan bebas dari racun perosak, pengguna perlu memastikan ia juga selamat dimakan dari aspek kebersihan dan kandungan zat makanan.

Panduan memilih

- Pilih sayur dan buah yang segar dan cerah warnanya.

- Buah-buahan dan sayur-sayuran jenis bunga mestilah kelihatan cantik bentuknya dan keras.

- Buah-buahan dan sayur-sayuran jenis buah perlu dalam keadaan elok, tidak berkedut dan kulitnya kelihatan banyak mengandungi air.

- Buah-buahan segar mestilah rangup apabila dimakan.

- Sayur-sayuran jenis kekacang perlu dipilih yang cerah warnanya dan rangup apabila dipatahkan.

- Sayur-sayuran jenis akar atau bebawang perlu keras apabila ditekan dan kelihatan banyak mengandungi air.

- Sayur-sayuran jenis pucuk hendaklah berwarna cerah, segar dan kelihatan banyak mengandungi air.

Cara menyimpan

- Penyimpan yang betul perlu untuk memastikan sayur-sayuran dan buah-buahan segar dan tahan lama.

- Sayur-sayuran dan buah-buahan perlu dibasuh, dibalut dengan kertas dan disimpan di bahagian bawah atau ruangan khas untuk sayur-sayuran dan buah-buahan di dalam peti sejuk.

- Jika tiada peti sejuk, sayur-sayuran dan buah-buahan boleh diletakkan di tempat yang dingin dan redup di bahagian dapur.

- Elakkan menggunakan beg plastik untuk mengelakkan buah menjadi layu dan vitaminnya hilang.

- Buah-buahan seperti pisang jangan disimpan di dalam peti sejuk kerana kulitnya boleh menjadi lebam.

- Sayur-sayuran dan buah-buahan di dalam tin hendaklah dipindahkan di dalam bekas simpanan yang lain sebaik saja tin dibuka dan disimpan di dalam peti sejuk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 2:59 AM