KELINCAHAN gadis melakukan aksi wushu.
SIMA bermatlamat mempertingkatkan kebolehan gadis Afghanistan dalam seni bela diri.

Di atas bukit bersalji di sebelah barat Kabul, Afghanistan, kelihatan sekumpulan gadis membuat gerakan yang asing bagi kebanyakan penduduk di negara itu. Mereka gigih berlatih wushu, sukan yang dibangunkan daripada seni mempertahankan diri kung fu kuno. Mereka meregangkan dan membongkok badan serta membelah udara dengan pedang perak berkilat.

Di negara yang sukan wanita sangat terhad, penubuhan dan pergerakan kelab Shaolin Wushu di sebuah kawasan di Kabul yang juga penempatan komuniti etnik Hazara, adalah pengecualian yang jarang berlaku.

Sima Azimi, yang baru berusia 20 tahun mengetuai sesi latihan, berkata, wushu bukan sekadar mengajar seni pertahanan diri, tetapi juga memberi kesan mendalam kepada tubuh dan jiwa.

Seperti dilaporkan Mohammad Aziz dari The Wider Image Reuters, Sima mempelajari sukan itu di Iran. Dia pernah memenangi pingat emas dan gangsa dalam pertandingan wushu dan mengajar sukan ini di Kabul selama kira-kira setahun. Uniknya, Sima mendapat galakan dan sokongan bapanya yang turut melatihnya di gimnasium kelab.

“Saya mengajar gadis Afghanistan untuk mempertingkatkan kebolehan mereka. Saya suka melihat gadis Afghanistan bertambah baik sebagaimana gadis lain di seluruh dunia meningkatkan kemampuan diri mereka.

“Cita-cita saya adalah untuk melihat pelajar saya mengambil bahagian dalam perlawanan antarabangsa dan memenangi pingat untuk negara,” katanya.

Semua jenis seni bela diri terkenal di Afghanistan tapi negara itu adalah negara yang amat sukar untuk insan bergelar wanita. Bahkan gadis remaja dalam kelab Wushu Shaolin ini tidak terkecuali kerana mereka sering berdepan gangguan dan penderaan yang menambahkan lagi cabaran dan ancaman kepada kehidupan mereka di Kabul.

“Cabaran terbesar yang kami hadapi adalah soal keselamatan. Kebanyakan masa, kami tidak dapat pergi ke kelab (untuk berlatih) kerana tidak selamat.” kata Zahra Timori, 18.

Rakannya, Shakila Muradi berkata, dia berharap sukan itu dapat membantu mewujudkan suasana yang lebih aman di Afghanistan dalam menentang realiti harian yang dihadapi oleh wanita di negara itu.

“Ramai orang yang mengganggu kami tetapi kami buat tidak tahu saja. Kami tidak mahu gangguan itu menjejaskan fokus kami. Matlamat kami sekarang adalah untuk memantapkan diri dalam sukan ini,” katanya.

Apabila keadaan mengizinkan, latihan berlangsung di gimnasium yang dihiasi poster Hussain Sadiqi, juara seni mempertahankan diri Hazara yang melarikan diri ke Australia pada 1999 dan kemudian bekerja sebagai pelakon lagak ngeri filem.

Setakat ini, semua gadis di kelab itu adalah daripada etnik Hazara, yang berbahasa Parsi dan kebanyakannya berfahaman Syiah.

Tradisi sosial yang umumnya lebih liberal memberikan gadis ini lebih banyak ruang untuk bergerak di luar rumah dan mengamalkan sukan tetapi ayah Sima, Rahmatullah Azimi berkata, dia berharap dapat melihat gadis daripada kumpulan etnik lain untuk turut serta.

Rahmatullah turut melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan anak perempuannya. Namun dia mengakui berasa gembira apabila melihat anaknya melatih gadis lain meningkatkan kemahiran dalam sukan seni mempertahankan diri itu.

“Saya amat gembira kerana dapat membantu, menggalakkan dan menyokong Sima,” katanya.- Susunan Yusliza Yakimir Abd Talib

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 12:57 PM