RENDANG maman ayam dan daging juadah istimewa pada musim raya.
Kusyi Hirdan
kusyihirdan@gmail.com


Rendang bercampur maman? Bagaimana rasanya? Lalu penulis berusaha menjejak rendang itu kerana dua perkara - mahu mengetahui mengenai makan dan mencubanya sendiri.

Menjejak rendang maman bukan mudah kerana maklumat awal yang ada ialah ia berasal dari Negeri Sembilan. Kemudian, pencarian semakin mengecil apabila daerah Gemencheh dikatakan tempat tumpuan untuk ‘bertemu’ rendang maman.

Selepas bertanya orang dan mengesan di laman sosial, kami menuju Kampung Geduk dan diberitahu, cari rumah bersebelahan sekolah berwarna hijau. Kedatangan kami disambut lelaki bernama Zul, suami guru yang pakar membuat rendang maman, Rosnah Abdullah.

Rosnah mengusahakan jualan rendang maman ayam dan daging sejak April 2015, terpanggil memperkenalkan masakan yang sudah lama bertapak dalam keluarganya. Emaknya sendiri adalah tukang masak di kampung mereka menjadikan Rosnah, anak bongsu dari 10 beradik biasa mengikut sama kerana perlu menolong kerja memasak.

“Emak dulu, kalau memasak sangat berdisiplin dan tidak suka dikacau tetapi saya antara anak yang memang suka memasak dan mahu belajar. Saya melihat cara dia memasak rendang maman dan itu resipi yang saya gunakan hari ini,” katanya.

Perkahwinan anak sulung Rosnah Januari lalu adalah hari istimewa baginya sekeluarga dan mereka meraikan tetamu dengan memasak 100 kilogram rendang maman. Selain kenduri-kendara, rendang maman menjadi makanan wajib keluarga Rosnah dan majoriti orang Gemencheh pada musim raya.

“Dimakan bersama ketupat dan lemang. Tidak berseri raya kalau tanpa rendang maman ayam atau daging. Dahulu, daun maman kami tanam sendiri di kawasan rumah cuma sekarang apabila sudah diniagakan, kami memerlukan kuantiti yang banyak dan perlukan pembekal dari ladang. Gemencheh memang tempat asal rendang maman di Negeri Sembilan. Sekiranya datang musim raya, boleh nampak betapa popularnya ia dijual sepanjang jalan. Memang meriah dengan maman dan rendang maman.”

MAHU MAMAN DIKENALI

“Saya memulakan industri ini kerana mahu membantu keluarga. Walau bekerjaya guru, suami yang mengusahakan ladang getah mengalami kesusahan kerana kejatuhan harga getah yang menjunam beberapa tahun lalu. Anak pula ada lima orang, semuanya masih belajar dan perlukan perbelanjaan tinggi. Saya juga menjaga emak dan menggajikan pembantu khas untuknya. Semua itu perlukan kewangan. Allah melorongkan saya untuk menggunakan ilmu yang ada ini,” katanya.

Sebagai guru, Rosnah akan memasak pada hujung minggu atau selepas pulang dari sekolah. Dia memastikan jadual dan tugasan sebagai guru didahulukan seperti kurikulum tambahan.

Rosnah bercerita bagaimana pada peringkat awal dia mengambil tempahan bermula dengan kenalan dan seterusnya ke pejabat kerajaan. Jadi, setiap kali membuatnya, tempahan sudah ada. Dia sendiri tidak menyangka sambutan begitu hebat dan rendang maman dicari penggemarnya terutama orang Negeri Sembilan sendiri sama ada yang tinggal di negeri itu atau sudah berhijrah.

“Orang Negeri Sembilan memang tahu mengenai rendang maman tetapi tidak ramai yang membuatnya. Mungkin nak mendapat maman juga agak sukar. Membuat rendang ini juga bukan mudah, kena pandai memasaknya baru mendapat rasa yang sedap,” katanya.

Mengakui tidak ramai lagi yang menyediakan produk ini, Rosnah mahu melihat masakan tradisi ini dikomersialkan oleh ramai lagi pembuat supaya ia dikenali sebagai antara masakan Malaysia yang boleh menarik pelancong dalam dan luar negara. Selain rendang, maman juga dijadikan jeruk.

“Tanpa pelapis, rendang maman ini pasti hilang ditelan masa. Saya mahu menaikkan industri rendang maman di samping menaikkan industri tanaman maman juga. Ramai yang akan mendapat manfaatnya,” katanya.

RESIPI EMAK

“Apabila orang menikmati rendang maman kami, mereka memberitahu teringat kenangan lama. Kenangan di kampung bersama nenek dan ibu bapa yang sudah tiada,” katanya.

Rendang maman Rosnah yang diberi nama Rendang Maman Acu kini sudah sampai ke seluruh negara dan sering menjadi bekalan mereka yang mahu berpergian contohnya menunaikan umrah. Nama Acu dipilih kerana itu nama gelaran Rosnah sebagai anak bongsu.

“Saya ikut resipi emak kerana mahu ia kekal dengan resipi aslinya. Semua bahan perlu serba cukup. Cukup santan, cili, kunyit, asam keping dan garam. Saya memasak rendang maman ayam dan daging dua atau tiga kali seminggu. Dua kuali digunakan sekali gus, satu untuk daging, satu untuk ayam. Daging dan ayam perlu disalai dahulu kerana mahu mendapatkan aroma salainya yang asli,” katanya.

Proses memasaknya lebih kurang tiga jam. Bermula dengan ayam dan daging disalai dahulu. Kemudian direbus sehingga empuk di dalam kuali yang berbeza. Selepas itu dimasukkan semua bahan seperti santan, cili padi, asam keping dan kunyit. Bahan dimasak perlu dikacau tanpa henti bagi mengelakkannya berkerak.

Apabila santan mula mengering dan naik minyak, baharu dimasukkan maman sedikit demi sedikit sambil mengacaunya. Proses memasak diteruskan lagi sehingga maman berubah warna, layu dan minyak daripada santan sudah kehitaman.

“Rasanya bergantung kepada cara kita memasak dan bahan yang digunakan. Melalui pengalaman kita boleh tahu cara memasak yang terbaik. Memasaknya juga perlu berhati-hati kerana ia perlu sentiasa dijaga dan dikacau. Selalunya saya akan masak sehingga benar-benar kering supaya ia tahan lama. Ramai yang menempahnya dari luar daerah dan saya perlu mengeposnya. Tetapi ada juga yang menggemarinya sedikit basah untuk dimakan segera.”

Rosnah biasanya memasak 15 kilogram rendang maman daging dan 12 kilogram rendang maman ayam. Ini untuk pengeluaran 170 bekas rendang maman daging dan 100 bekas rendang maman ayam seminggu dengan setiap bekas 250 gram beratnya.

“Rezeki Allah luas, biar industri rendang maman ini dikongsi ramai lagi orang yang mahu berniaga. Syaratnya, buat yang terbaik. Biar rendang maman kita menjadi makanan yang menjadi tarikan negara dan dikenali semua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 12:50 PM