PELBAGAI aneka juadah disediakan untuk berbuka puasa di Hotel Lexis Suite Pulau Pinang.
Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


Keindahan berbuka puasa di tepi pantai sambil menghirup angin senja menjadi tarikan utama buat pengunjung Hotel Lexis Suite Pulau Pinang.

Bermula 27 Mei lalu hingga 24 Jun depan, bufet berbuka puasa berkonsepkan masakan kampung hotel ini menampil­kan pelbagai hidangan menarik setiap hari.

Penolong Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Korporatnya Jeanize Low berkata, bufet berbuka puasa bertemakan Mai Pi Buka Puasa akan bermula dari jam 6.30 petang.

Menurutnya, pelbagai juadah menarik disediakan antaranya char kuetiau kambing, sup gear box, ayam shawarma, kuzi kambing, asam pedas ekor lembu dan ikan panggang.

Katanya, bufet berbuka puasa pastinya tidak lengkap tanpa ulam-ulaman termasuk aneka sambal dan kerabu seperti kerabu sotong, udang dan pucuk paku.

“Juadah tradisi lemang dan ketupat turut disediakan selain soto ayam, sup ketam berempah, sate ayam dan daging serta rendang.

“Pelanggan juga boleh menjamah beraneka hidangan pencuci mulut antaranya kuih talam, lapis, sago, nona manis dan ketayap di samping ais krim dan ais kacang,” katanya.

Jeanize berkata, sebagai tarikan setiap pengunjung boleh menyertai cabutan bertuah dan berpeluang memenangi baucar bufet Ramadan termasuk penginapan dua hari satu malam di mana-mana rangkaian hotel rangkaian Hotel Lexis.

Harga bufet adalah RM68 bersih untuk dewasa dan RM40 bagi kanak-kanak serta warga emas. Ditawarkan harga istimewa bagi tempahan awal bernilai RM58 bersih untuk 1,000 pengunjung pertama dan potongan 15 peratus untuk tetamu yang menginap di hotel.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 11:49 AM