AZLIANA ketika melakukan rawatan kepada pelanggan.
MENYEDIAKAN produk berasaskan bahan organik sepenuhnya.

Setiap wanita mempunyai jenis kulit wajah yang berbeza. Ada yang kering, berminyak, berjerawat dan kelihatan kusam serta tidak berseri.

Dalam mengatasi setiap permasalahan itu, pastinya produk penjagaan kulit wajah yang digunakan selain rawatan dijalankan mestilah bersesuaian dengan masalah dialami.

Pemilik wajah kering tidak boleh menggunakan produk penjagaan kulit wajah yang digunakan individu mempunyai kulit wajah berminyak begitu juga sebaliknya.

Penggunaan produk penjagaan kulit wajah yang tepat dan khusus bukan saja dapat mengatasi masalah dialami malah membantu mendapatkan hasil diidamkan.

Dalam membantu setiap wanita yang mempunyai pelbagai masalah kulit wajah, wanita gigih ini, Azliana Md Yusof, 35, berusaha menghasilkan produk penjagaan kulit organik yang dihasilkan sendiri mengikut kesesuaian pelanggannya.

Menggunakan pengalamannya berkecimpung dalam bidang pembangunan produk kecantikan di beberapa syarikat antarabangsa, Azliana berkata, dia tekad menghasilkan sendiri produk berasaskan organik selepas berhenti bekerja.

“Setiap pelanggan yang datang bertemu saya di Bellenina Spa & Wellness di 280 Park Homes, Taman Puchong Prima akan melalui proses analisis kulit wajah terlebih dulu.

“Selepas mengetahui jenis masalah, saya akan menerangkan kepada pelanggan terutama mengenai bahan yang akan digunakan dalam produk khusus untuk kulit wajah mereka,” katanya.

Menurut Azliana, apa juga masalah dialami pelanggan, dia akan menggunakan bahan organik dalam setiap produknya kerana yakin ia yang terbaik dan selamat.

MAKMAL SENDIRI

Dalam menghasilkan produk penjagaan kulit, Azliana akan meletakkan sepenuh fokusnya bagi memastikan produk yang terhasil adalah terbaik.

“Selain untuk individu, saya juga menyediakan perkhidmatan menghasilkan produk kepada individu yang mahu menjual produk kecantikan organik atas jenama sendiri.

“Saya juga tidak menetapkan jumlah tempahan apabila pelanggan boleh membuat tempahan serendah 20 unit saja dalam satu masa,” katanya.

Azliana berkata, kebiasaannya, pemilik akan berbincang mengenai jenis produk yang mereka mahu sebelum dia memulakan proses pembuatan produk organik itu.

“Saya mempunyai makmal mini sendiri untuk proses penghasilan sesuatu produk.

“Setiap produk atas jenama saya ia dijual dalam lingkungan harga RM20 hingga RM65 manakala bagi mereka yang ingin menghasilkan produk atas jenama sendiri harga bermula serendah RM5 saja,” ujarnya.

Menurutnya, antara yang dihasilkan ialah buih dan sabun pencuci wajah, penyegar, pelembap, skrub, produk penjagaan rambut dan badan serta barangan penjagaan fabrik.

“Sama yang menempah untuk kegunaan sendiri atau jualan, pelanggan perlu menunggu seketika kerana produk saya dihasilkan mengikut keperluan setiap orang. Saya tiada produk yang sedia dibeli. Ini kerana setiap individu memerlukan formula dan bahan kandungan produk berbeza,” katanya.

BERKONGSI ILMU DAN KEMAHIRAN

Selain fokus dalam penghasilan produk, Azliana turut mengajar wanita yang ingin berkecimpung dalam bidang kecantikan iaitu berkaitan spa asas selain beberapa cabang kecantikan lain.

“Saya sangat meminati bidang kecantikan dan mahu membantu lebih ramai wanita tampil cantik dan sihat.

“Pada masa sama, saya juga berazam membantu individu yang mahu berkecimpung dalam bidang ini dengan berkongsi ilmu rawatan wajah dan pengetahuan mengenai masalah kulit serta cara mengatasinya,” katanya.

Kata Azliana, semua dilakukan demi memastikan lebih ramai wanita mempunyai kulit wajah yang sihat menggunakan produk organik.

“Apabila berniaga perlu sematkan niat mahu membantu orang, barulah kepuasan itu dapat dirasai. Tentunya saya rasa bangga dan puas hati dapat membantu wanita mendapat kulit yang diidamkan,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 1:43 PM