SHAHRUL (dua dari kanan) bersama rakan kerjasama ketika majlis pelancaran.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Teknologi adalah penggerak utama dunia moden dan memainkan peranan yang penting pada masa hadapan. Justeru, generasi masa kini perlu bersedia menghadapi cabaran arus digital yang semakin mencabar.

Bagi meningkatkan minat di bidang teknologi dan penggunaannya dalam kalangan kanak-kanak, KidZania Kuala Lumpur mengumumkan KidZ & Tech 2.0: Masa Depan Kini Bermula dengan kerjasama VR Lab Bhd, U Mobile Sdn Bhd, Gleneagles Kuala Lumpur dan Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd.

Datuk Bandar KidZania Kuala Lumpur, Shahrul Nizar Ahmad berkata, kanak-kanak hari ini membesar dengan kemudahan teknologi, namun kebanyakan terdedah kepada hiburan saja.

“Di sini, kami melihat teknologi sebagai alat pendidikan yang penting. Justeru, peranan utama program berkenaan adalah untuk memanfaatkan pengetahuan teknologi kanak-kanak dengan memperkenalkan mereka cara positif dan menarik agar teknologi dapat digunakan sebagai alat pembelajaran berguna,” katanya.

Bermula 16 Mei hingga 24 Jun ini, pelbagai bengkel interaktif dan aktiviti praktikal yang bercirikan teknologi dianjurkan sejajar dengan misinya, ‘Learn Life Today’ untuk membantu kanak-kanak mengenali dunia sebenar.

Aktiviti yang turut disokong rakan kerjasama program berkenaan bertujuan untuk menarik minat kanak-kanak dan mengenali teknologi menerusi cara berbeza. Antaranya:

1. Realiti maya bersama VR Lab Bhd

Gogal yang direka khas membolehkan kanak-kanak meneroka persekitaran melalui tiga dimensi secara 360 darjah yang dijanakan komputer. Lengkap dengan sistem kawalan terkini, mereka boleh menyentuh dan berinteraksi dengan objek yang dipaparkan dalam persekitaran seolah-olah berada dalam dunia sebenar.

2. Mengambil foto secara 360 darjah

Serlahkan kreativiti dengan telefon pintar - peserta hanya perlu berdiri tegak dan membuat pusingan 360 darjah untuk mengambil gambar yang mengagumkan. Pilihan yang disediakan termasuk Street View, Surround Shot atau paparan Photo Sphere. Gambar ini akan dikongsi di Facebooknya.

3. Mewarna dalam realiti diperluas

Lukisan biasa dan watak animasi kini bergabung menjadi hasil seni canggih. Kanak-kanak boleh melihat sendiri hasil lukisan mereka di atas kertas yang mampu bertukar menjadi animasi bergerak menggunakan aplikasi di telefon pintar atau tablet.

4. Pengekodan

Kanak-kanak akan diajar mencipta galaksi Star Wars mereka atau permainan sendiri menggunakan kod iaitu blok ataupun Javascript.

Misalnya, memprogramkan robot BB-8 untuk mengutip besi terbuang. Semua ini boleh dilakukan dalam masa 30 minit saja.

Aktiviti Kahoot! pula permainan berbentuk pelajaran untuk kanak-kanak menguji pengetahuan mengenai taman tema kanak-kanak berkonsepkan pendidikan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 12:12 PM