CHEW (dua dari kiri) mengadili peserta akhir.
NURUL Nur Alisa menunjukkan sajian serawa labu manis yang dihasilkan.
NURUL Nur Alisa bersama suami dan anak.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Siapa saja boleh memasak sama ada lelaki mahupun wanita asalkan ada keinginan untuk melakukannya. Siapa sangka, melalui masakan juga mampu memberi nilai dan idea bukan saja kepada diri sendiri dan keluarga, tapi masyarakat sekeliling.

Bagi Nurul Nur Alisa Roslan, 34, yang berasal dari Kangar, Perlis, tanggungjawabnya menyediakan hidangan untuk ahli keluarga tidak dibazirkan begitu saja, malah dia mempersembahkan kemahirannya mengolah masakan hingga berjaya membawa pulang hadiah bernilai RM28,000 yang membolehkan dirinya mengikuti kelas memasak secara eksklusif di The Cooking House dan menerima alat memasak premium Le Creuset, baucar Sen Heng, AEON serta Nestum.

Selain itu, resipinya juga akan dimuatkan dalam buku masakan Nestle Malaysia, Quick and Easy Recipes with Nestum. Nurul Nur Alisa berjaya mengalahkan empat peserta akhir sebelum dinobatkan sebagai pemenang Ratu Empayar Sajian Nestum dalam acara akhir yang diadakan di pusat beli-belah Sunway Pyramid.

Empat peserta lain yang mempersembahkan sajian kuih makmur semolina, fruit crumble, nuget udang dan sate ayam, masing-masing menerima hadiah bernilai RM5,500.

Selain diadili barisan juri akhir yang diketuai cef selebriti, Muhd Naim Ramli, kehadiran 20 juri awam juga bersetuju air tangan juruteknik komputer itu sememangnya mengagumkan.

Ibu kepada empat anak itu mengakui memang gemar menyertai peraduan dan ini kali kedua layak memasuki pertandingan memasak.

“Idea yang saya kongsikan dalam peraduan ini menggunakan Nestum dalam serawa labu manis. Dua bahan utama ini sememangnya sudah manis dan saya hanya perlu menambahkan sedikit gula perang, santan dan pandan dalam hidangan ini.

“Tiga kali saya cuba menghasilkan serawa labu yang menepati cita rasa dan akhirnya, saya berpuas hati dengan resipi kali ini. Saya memilih serawa labu kerana ia makanan tradisi lama. Bagi menjadikannya berbeza, saya tambah dengan bijirin ini.

“Kebetulan, anak memang menyukainya dan menambah Nestum di dalam sajian ini menggalakkan mereka makan dengan sihat serta menyeronokkan,” katanya.

Ujarnya, dia belajar memasak daripada arwah nenek kerana ibunya bekerja ketika itu dan minat memasak sejak di bangku sekolah semakin bertambah apabila suami, Shahrizal Bakar, 33, lebih gemar makan di rumah.

GALAK MASAK DI RUMAH

Menurut Pengarah Eksekutif Jualan Malaysia dan Singapura Nestle Chew Soi Ping, peraduan yang diadakan secara tahunan itu adalah usaha jenama berkenaan menggalakkan ‘cef’ di rumah memper­sembahkan kreativiti masing-masing dengan resipi mudah, pantas dan berkhasiat dengan tambahan manfaat multi bijirin.

“Kempen ini untuk memberi ganjaran kepada peminat setia produk ini dan pada masa sama bagi berkongsi idea mengenai kegunaannya dalam pelbagai masakan.

“Selain rangup dimakan, ia juga mengandungi nutrisi tambahan seperti vitamin dan mineral yang boleh dimasukkan ke dalam resipi sekiranya ingin menambah kebaikan sajian.

“Apabila masakan berkhasiat, ia membantu memperbaiki kualiti kehidupan kita agar lebih sihat pada masa sekarang dan akan datang,” katanya.

Sementara itu, menurut Cef Eksekutif Korporat dan Pengurus Pelatih Nestle Abdul Muluk Rambli, semua peserta mempamerkan resipi menarik yang dicipta dengan menambah penggunaan Nestum dalam masakan secara kreatif.

“Semua resipi unik seperti sate dalam gulungan roti yang diakui sedap rasanya. Bukan itu saja, Nestum juga boleh ditambah ke dalam sajian berkuah seperti serawa labu untuk membantu memekatkan kuah dan menaikkan aroma yang lebih wangi.

“Ia membuktikan Nestum boleh digunakan dalam sajian masakan manis, masin dan pedas, namun ia perlulah diolah bersesuaian dengan hidangan yang ingin dimasak.

Tambahan Nestum ke dalam masakan boleh memberi kelainan dalam sajian bersahur atau berbuka puasa yang sesuai dinikmati seisi keluarga terutama kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 10:55 AM