GEORGEN Thye.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Kesibukan bekerja kerap memberi tekanan kepada ibu khususnya dalam menyediakan hidangan seimbang terbaik untuk anak. Masa memasak yang singkat, pilihan menu lazat, hidangan menarik, semua ini kerap bermain di fikiran, terutama saat terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Jika boleh, semua yang dirancang sepanjang perjalanan pulang hendak dimasak dan dinikmati bersama anak. Namun, tidak ramai ibu yang mampu menyiapkan hidangan seimbang ini dalam waktu singkat berikutan masih banyak tanggungjawab mengurus rumah tangga yang perlu diselesaikan.

Hal sama turut dilalui ibu yang bergelar suri rumah yang penat dengan urusan rumah tangga. Begitupun, ia tidak bermakna ibu boleh mengabaikan penyediaan hidangan seimbang dan lazat untuk seisi keluarga.

Menurut Kajian Pemakanan Dewasa Malaysia (MANS) 2014, kira-kira 50 peratus masyarakat bandar kini kian cenderung memilih makan di luar sebagai rutin harian.

Fakta ini disokong hasil kajian Barometer Makanan Malaysia 2014 yang mengesahkan lebih 64 peratus daripada individu di negara ini makan di luar, sekurang-kurangnya satu hidangan sehari. Peratusan paling tinggi adalah mereka yang tinggal di Semenanjung dan di kawasan bandar.

Sekalipun sedar menu masakan di kedai berminyak, tinggi kolesterol dan mahal, masih ramai yang membeli dengan alasan tidak sempat memasak di rumah.

Bagaimanapun, memasak di rumah tidaklah sesukar yang difikirkan. Ia tidak memerlukan kemahiran seorang tukang masak profesional untuk menyediakan makanan yang seimbang dengan pantas dan sempurna.

Berikut adalah beberapa tip untuk menjadikan pengalaman memasak di rumah lebih mudah dan cepat.

1. Perancangan menu elak pembaziran belian barang dapur

Periksa barang keperluan dapur pada setiap hujung minggu. Lihat apa yang ada dalam peti sejuk dan rancang menu untuk minggu depan. Kehabisan idea? Buat carian di Internet atau buku resipi untuk mendapatkan inspirasi selain bertanya pendapat anak sajian yang mereka inginkan! Perancangan yang baik dapat mengelakkan pembaziran pembelian barangan dapur.

2. Jimat masa dengan menguasai kemahiran Mise En Place

Mise En Place adalah istilah Perancis yang membawa maksud meletakkan semua keperluan di satu tempat. Erti kata mudah semua bahan disediakan sebaik mungkin sebelum proses memasak untuk memudahkan dan menjimatkan masa.

Minta pekerja pasar raya memotong dan membersihkan ayam, daging atau ikan. Bahagikan setiap bahan mengikut keperluan harian dan simpan dalam bekas kedap udara atau plastik sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk. Anda hanya perlu mengambil bahagian yang diperlukan untuk dimasak.

3. Memasak dalam kuantiti besar untuk menjimatkan masa dan wang

Sibuk bekerja, tidak mempunyai masa atau kepenatan kerap menjadi kekangan untuk memasak di rumah. Bagaimanapun, jika anda membekukan sejumlah besar makanan yang siap dimasak mengikut kuantiti tertentu, ia akan meringankan beban penyediaan hidangan setiap hari. Ia juga memudahkan penyimpanan lauk beku untuk digunakan sepanjang minggu yang sibuk.

4. Gunakan ketuhar gelombang mikro dan periuk bertekanan

Ketuhar gelombang mikro sesuai untuk mengukus. Berbanding kaedah tradisional, penggunaan ketuhar gelombang mikro mengambil masa lebih singkat untuk memasak.

Kaedah memasak ini juga berupaya mengekalkan nutrien makanan, menjimatkan masa dan memudahkan kerja memanas. Anda juga tidak perlu mengawasi kerja memasak. Letak saja makanan, tetapkan masa dan anda bebas untuk membuat salad atau membersihkan kelengkapan dapur.

Periuk bertekanan pula boleh menjimatkan masa memasak sehingga 70 peratus. Sayur yang dimasak menggunakan periuk bertekanan selalunya kekal segar dan enak.

5. Manfaatkan lebihan makanan

Membuang lebihan makanan samalah juga dengan membazirkan wang. Antara hidangan yang boleh disediakan menggunakan lebihan makanan termasuk nasi goreng atau mi. Lebihan ayam boleh digunakan untuk salad atau sandwich.

Lebihan daging dan tulang boleh dijadikan sup atau dibuat bubur. Ini semua cara yang baik untuk mengelakkan pembaziran, membantu pengambilan hidangan sihat, menjimatkan wang dan masa.

6. Penyimpanan yang betul dan keselamatan makanan

Pengetahuan asas keselamatan makanan amat penting bagi memastikan kebersihan dan mencegah risiko keracunan makanan atau pencemaran. Basuh tangan dengan air suam kira-kira 20 saat sebelum dan selepas mengendalikan makanan. Pastikan daging, ayam dan ikan mentah diletakkan jauh dari makanan lain untuk mengelakkan pencemaran silang.

Jauhi makanan yang siap dimasak daripada ‘zon bahaya’ apabila bakteria tumbuh dengan pesat antara 4⁰C hingga 60⁰C. Selepas memasak, makanan panas mesti disimpan panas pada suhu 60⁰C atau lebih panas untuk mengelakkan pertumbuhan bakteria. Begitu juga dengan makanan yang mudah rosak sejuk seperti salad ayam yang perlu disimpan pada suhu 4⁰C atau lebih rendah.

Bungkus lebihan makanan dalam bekas kedap udara untuk mencegah kemasukan bakteria dan mengekalkan kelembapan. Makanan yang sudah dimasak perlu disejukkan dalam masa dua jam selepas memasak. Makanan yang ditinggalkan pada suhu bilik melebihi dua jam perlu dibuang.

Lebihan makanan boleh disimpan dalam peti sejuk selama tiga hingga empat hari atau dibekukan selama tiga hingga empat bulan.

Walaupun lebihan makanan selamat disimpan lama, makanan beku boleh kehilangan kelembapan dan rasa apabila disimpan terlalu lama. Makanan yang dibekukan perlu dipanaskan dengan suhu mencapai 74⁰C. Sos dan kuah perlu dididihkan.

Enak dan lebih baik

Menyedari kepentingan hidangan seimbang dan enak untuk seisi keluarga, MAGGI® memperkenalkan MAGGI® OatMee™ Mi Goreng Kari baru yang pertama di Malaysia. Ia menggabungkan oat bijian penuh dengan gandum untuk memberikan rasa mi goreng yang penuh dengan kebaikan serat.

Mi yang diperbuat daripada 51 peratus oat bijian penuh dan 49 peratus gandum berprotein tinggi dari Australia itu diadun secara istimewa dengan gabungan 12 rempah kari sebenar, menjadikannya enak dinikmati seisi keluarga.

MAGGI® OatMee™ Mi Goreng Kari juga membekalkan 13 peratus jumlah serat yang disarankan. Malah, pengguna hari ini juga semakin bijak mempelbagaikan hidangan mi MAGGI® dengan tambahan sayur, ayam atau bahan lain bagi menjadikannya lebih berkhasiat dan enak dinikmati tanpa mengira masa.

Sumber maklumat dari Pakar Diet Persatuan Dietetik Malaysia, Georgen Thye.

Laman Facebook: Georgen Thye.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 4:03 AM