DI Kedah, sukarelawan Babybox Malaysia turut memberi khidmat rawatan kesihatan kepada orang ramai.
ANTARA barangan yang akan dimuatkan dalam Babybox Raya.
SHEYLIZA memakaikan baju kepada Aishah.
HAFIQA bersama Babybox Raya yang diterima.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Lebar senyum yang menyambut kedatangan kami petang Rabu lalu. Sesekali Zainun Majid, 71, menoleh ke buaian di ruang tamu. Nampak wanita lebih separuh abad itu teruja menerima kunjungan Pengerusi Persatuan Buai Sayang (COLA) Zarinatul Sheyliza Mohd Hanafiah.

Mungkin kerana kenal dengan suara yang didengar ketika bersembang menerusi telefon sebelum itu, Zainun mengintai langkah Sheyliza dari jauh. Sebaik menjemput tetamunya masuk, dia terus ke buai mengangkat cucunya yang sedang lena.

Betapa kudrat tuanya tidak pernah menghalang wanita ini untuk mengasuh cucu kesayangan yang dipanggil Aishah.

Malah, bayi berusia sembilan bulan itu juga seakan-akan mengerti batas umur dan kemampuan nenek yang menjaganya sejak kecil. Tidak ada ragam mahupun tangis apabila tidurnya diganggu.

Satu persatu wajah diperhati dan direnung bingung. Zainun juga begitu. Mungkin sukar untuk percaya apabila diberitahu cucunya terpilih menerima Babybox Raya daripada Babybox Malaysia.

Menurut Zainun, dia dan anak perempuannya mengambil tanggungjawab membesarkan Aishah selepas bayi itu kehilangan bapa yang juga anak lelakinya April tahun lalu.

“Bapa Aishah meninggal akibat kemalangan. Ketika itu Aishah masih dalam kandungan ibunya. Sebaik lahir, ibunya menyerahkan Aishah kepada saya dan anak lain kerana tidak mampu membesarkannya sendirian.

“Kalau hendak diikutkan, Aishah ini di bawah jagaan anak keempat. Tetapi saya jaga sementara kerana ibu angkatnya mempunyai anak kecil. Sepanjang Aishah di sini, makan pakainya ditanggung anak perempuan saya yang bekerja sebagai pembantu kedai.

“Alhamdulillah, apabila Babybox Malaysia memberitahu Aishah layak menerima baju raya, saya amat bersyukur. Ini raya pertama Aishah dan kami mahu menyediakan yang terbaik untuk dia menyambut Syawal nanti,” katanya.

Selain Zainun, Sheyliza turut menyampaikan Babybox Raya kepada pasangan kembar tujuh bulan, Nur Al Faiqah Hafiqa Nur Al Hafiz dan Nur Al Faiqah Hafiza di Hospital Selayang.

Kata ibu pasangan kembar, Faizah Azian, 31, pemberian Babybox bukan saja membawa makna besar untuk anaknya, malah turut menggembirakan dirinya sekeluarga.

“Ini adalah pakaian kembar sedondon pertama untuk Hafiza dan Hafiqa sejak mereka lahir. Selain faktor pendapatan, kami memang tidak membeli pakaian serupa untuk kedua-duanya kerana suami sukar membezakan adik dan kakak.

“Kalau baju raya, hanya tahun lepas baru kami membeli baju baru untuk tiga anak lain. Sebelum itu, kami hanya pakai apa yang ada. Jika ada pemberian daripada saudara dan rakan, dapatlah anak melaram pada pagi 1 Syawal.

“Tahun ini, memandangkan si kembar dapat baju sedondon warna merah jambu, kami akan usahakan pula mencari duit lebih untuk membeli baju raya kakak dan abangnya,” katanya tersenyum gembira.

Jelas Faizah, dia bersama lima anak bergantung penuh kepada pendapatan suaminya sebagai pekerja kilang. Sekalipun hidup serba sederhana, keluarganya bertambah ceria dengan kehadiran pasangan kembar berkenaan.

“Saya berharap lebih ramai bayi dapat berkongsi kegembiraan Aidilfitri ini menerusi pemberian BabyBox Raya. Sekalipun ada yang menganggap pemberian sebegini terlalu kecil, namun sebenarnya cukup bermakna untuk keluarga susah seperti kami,” katanya.

MENGUMPUL SUMBANGAN

Melihat keterujaan pada wajah setiap penerima Babybox Raya, semangat Sheyliza berkobar-kobar. Wanita kental ini seboleh-bolehnya tidak mahu menghampakan setiap pemohon yang layak mendapat bantuan daripada COLA. Namun hakikatnya, meraih sumbangan daripada orang ramai bukanlah semudah yang disangka.

“Kami tidak berupaya menarik jumlah dana yang besar daripada syarikat korporat kerana tidak menawarkan pengecualian cukai kepada mereka. Jadi, terpulang kepada pertimbangan orang ramai untuk turut sama menghulurkan bantuan.

“Bagaimanapun, ada juga kakitangan syarikat korporat yang mengambil inisiatif, mengumpul dana untuk diserahkan kepada Projek Babybox Malaysia. Itu pun kita berterima kasih kepada pihak syarikat kerana memberi kelonggaran kepada kakitangan mereka, membantu kerja amal COLA.

“Setakat ini, sejak kutipan Babybox Raya bermula 26 April lalu, kita baru saja mengutip RM660. Dalam tempoh sama, 10 pasang baju raya sudah diserah kepada penerima Babybox di Kedah dan enam lagi di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Sheyliza menjelaskan, kutipan untuk sumbangan Aidilfitri itu akan diteruskan sehingga 15 Ramadan dan agihan akan dibuat sebelum umat Islam menyambut lebaran.

“Orang ramai boleh menaja RM40 untuk setiap Babybox Raya. Ini kandungan kotak ini sama seperti Babybox biasa, tetapi ditambah sepasang baju raya baru. Setiap penyumbang juga digalakkan menyelit kiriman kad hari raya untuk diserahkan bersama setiap kotak kepada penerima.

“Maklumat mengenai penyerahan dan sumbangan boleh dirujuk di laman Facebook ProjekBabybox. Selain sumbangan Aidilfitri, kita juga masih aktif mengagihkan BabyKit untuk mangsa bencana,” katanya.

BAGAIMANA ANDA BOLEH MEMBANTU?

1. Menjadi pengumpul

Bantu Babybox Malaysia mengumpul sumbangan pakaian dan keperluan bayi daripada penderma. Anda mungkin boleh mengajak rakan, saudara atau teman sepejabat untuk turut serta membantu. Jumlah sumbangan adalah tidak terhad.

2. Menjadi sukarelawan

Teringin untuk melakukan kerja amal, tetapi masih tercari-cari saluran yang sesuai? Anda akan membantu Babybox Malaysia dalam kerja menyusun dan membungkus serta menyumbang tenaga dalam kempen diadakan. Hubungi sekretariat Babybox Malaysia menerusi laman Facebook rasmi.

3. Menjadi penderma

Sesiapa saja digalakkan menderma tidak kira sama ada dalam bentuk pakaian bayi, barangan bayi, pakaian, tuala, beg, mahupun wang ringgit. Jika anda mempunyai koleksi pakaian bayi terpakai yang masih elok, bersih dan sesuai didermakan, serah saja pada Babybox untuk diuruskan.

4. Menjadi rakan usaha sama

Anda boleh membantu dengan menyediakan platform untuk Babybox Malaysia menyebarkan maklumat mengenai babybox, tempat pengumpulan barang sumbangan, pembiayaan barang baru dan pengedaran kepada penerima dipilih.

5. Menjadi penaja

Semua pihak dialu-alukan menaja Babybox pada harga RM30 setiap kotak (RM40 bagi Babybox Raya) atau menyediakan barangan bayi, kemudahan logistik atau perkhidmatan lain yang bersesuaian.

6. Menjadi penyampai maklumat

Memandangkan majoriti kita hari ini mempunyai akaun Facebook, Twitter dan Instagram, apa kata hulurkan bantuan dengan menyebarkan maklumat mengenai Babybox kepada orang awam dan salurkan informasi mengenai keluarga yang mungkin memerlukan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 12:59 PM