PELANCARAN Projek Telekung di Masjid Jamek.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Kerap kali singgah di surau sekitar tempat awam, pasti terjumpa telekung lusuh, kotor dan berbau. Adakalanya telekung yang disediakan masih baru, namun tidak terjaga. Hendak disalahkan pihak menjaga surau, tanggungjawab menjaganya sama tinggi dengan orang yang memakai.

Sepatutnya, setiap kali selesai mengerjakan solat, telekung yang digunakan dilipat atau disangkut kemas untuk keselesaan pengguna seterusnya. Kalau ada yang bermurah hati, mungkin telekung kotor boleh dibawa ke kedai dobi layan diri untuk dicuci.

Menyedari perlunya penyelenggaraan telekung yang baik di surau sekitar ibu kota, Bank Muamalat Malaysia Berhad memilih melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) menerusi Projek Telekung.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Syah Abdul Wahid, Projek Telekung yang dilancarkan baru-baru ini permulaan bagi banyak lagi program CSR sepanjang Ramadan ini.

Menerusi projek itu, mereka menyumbang barangan kelengkapan solat bernilai lebih RM10,000 kepada surau di bawah pengurusan Rapid Rail Sdn Bhd.

“Kami ada banyak program CSR yang sentiasa berjalan dari semasa ke semasa. Umpamanya, minggu lalu kami membawa anak-anak kurang upaya bergembira di KidZania, kemudian kami adakan kayuhan amal bersama kariah masjid di Batu Caves dan program zakat.

“Namun menjelang Ramadan, kami tingkatkan lagi program amal menerusi agihan zakat di masjid, memberi tajaan buka puasa dan kemuncaknya nanti adalah program khas berbuka puasa bersama gelandangan di Masjid Jamek.

“Permulaan ini kami pilih Projek Telekung. Idea asalnya daripada kakitangan Bank Muamalat sendiri. Mereka mencadangkan supaya telekung diagih ke surau tumpuan seperti di stesen transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT) untuk kemudahan dan keselesaan Muslimah yang berulang-alik ke tempat kerja menggunakan perkhidmatan awam,” katanya.

Menurut Mohd Redza, penyelenggaraan telekung itu akan dilaksanakan sukarelawan terdiri daripada kakitangan Rapid Rail di setiap stesen dan anggota Bank Muamalat.

“Kami mengamalkan dasar terbuka dalam menjaga kebersihan telekung ini. Selain sukarelawan yang ada, orang awam juga boleh melakukan kerja amal dengan membawa pulang telekung untuk dicuci dan letak kembali di tempat asal.

“Apa yang penting, kami sediakan telekung dan keperluan solat yang ringkas untuk kemudahan. Kita tahu, orang lelaki jarang berdepan masalah untuk solat di surau awam kerana faktor aurat, tetapi wanita memerlukan pakaian sempurna. Sebab itu perlu telekung di setiap surau,” katanya selepas pelancaran Projek Telekung Bank Muamalat Bersama Prasarana di Stesen LRT Masjid Jamek.

Pada majlis itu, 150 telekung baru disumbangkan ke 74 surau di setiap stesen LRT laluan Kelana Jaya, Ampang dan Sri Petaling, selain monorel dari KL Sentral hingga Titiwangsa.

Selain telekung, Bank Muamalat turut menyumbangkan barangan baru seperti sejadah, tasbih, selipar dan kain pelekat. Sumbangan disampaikan Mohd Redza kepada Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Ir Zohari Sulaiman di pekarangan Stesen LRT Masjid Jamek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 12:06 PM