HOO (empat dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Zuraida (tiga dari kiri).
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Bagi mendidik orang ramai kepentingan kesihatan yang baik untuk kehidupan lebih produktif dan ceria, Hospital Pantai Ampang menganjurkan Karnival Health is Wealth di Padang Kelab Belia, Kampung Baru di Ampang, Selangor.

Pelbagai aktiviti riadah dan kesihatan, termasuk pemeriksaan kesihatan percuma untuk tekanan darah, indeks jisim badan (BMI) dan kandungan glukosa di lokasi disediakan kakitangan hospital dalam karnival itu.

Pengunjung berpeluang mendapatkan panduan dan khidmat nasihat kepentingan pemeriksaan kesihatan sebagai langkah mencegah penyakit seperti kencing manis, obesiti dan penyakit jantung.

Klinik Flexi turut disediakan di karnival itu apabila pakar perubatan daripada Hospital Pantai Ampang memberikan khidmat perundingan percuma untuk masalah ortopedik, optometri, urologi dan pembedahan am.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Ampang Hoo Lee Ling berkata, masyarakat yang sihat akan menjadikan negara yang sihat dan di hospital itu, pihaknya berazam memberikan hadiah istimewa buat anggota komuniti, iaitu hadiah kesejahteraan.

Katanya, pasukan hospital itu juga berdedikasi untuk membantu lebih banyak komuniti di Malaysia dan melengkapkan mereka dengan alatan bagi memudahkan penjagaan kesihatan.

“Kami perlu tahu dan sematkan dalam fikiran kefahaman mengenai kepentingan kesihatan dari usia muda. Kami gembira melihat masyarakat setempat menyertai program untuk aktiviti pendidikan yang menyeronokkan seperti ceramah kesihatan oleh pakar dan pemeriksaan kesihatan.

“Sememangnya sesuatu yang menakjubkan apabila menyaksikan bagaimana kesihatan dan kesejahteraan boleh menyatukan orang ramai. Kami berbangga mendapat peluang untuk membantu masyarakat seperti ini,” katanya ketika berucap pada pelancaran karnival itu.

Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berkongsi hasrat untuk melihat komuniti Ampang yang sihat dan ceria sebagai sebahagian masyarakat Malaysia yang lebih besar.

Karnival ini juga turut membariskan pelbagai aktiviti sepanjang hari untuk kanak-kanak, dewasa dan warga emas dari kawasan sekitar.

Pengunjung turut berpeluang menyertai sesi seni Cina purba Tai Chi pada awal pagi sebelum karnival bermula diikuti aktiviti untuk keluarga dan permainan seperti peraduan mewarna dan pertandingan pakaian beragam.

Bagi memastikan pengunjung pulang dengan motivasi untuk mengamalkan kehidupan lebih sihat, satu demonstrasi masakan berkhasiat turut diadakan di karnival itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 11:49 AM