BUMBUNG bas tercabut ketika kemalangan. FOTO/AGENSI
AFP

NAIROBI: Sekurang-kurangnya 40 maut dalam nahas membabitkan sebuah bas di barat Kenya awal pagi tadi.

Pegawai Trafik Wilayah Lembah Rift, Zero Arome berkata, laporan diterima menyatakan 40 orang maut di lokasi kejadian namun jumlah sebenar dipercayai lebih dari itu kerana bumbung bas terbabit tercabut sepenuhnya.

Seorang lagi pegawai trafik di lokasi kejadian di barat Kericho memberitahu, nahas terbabit meragut 42 nyawa.

“Seramai 42 orang disahkan terkorban tetapi kami masih berada di lokasi kejadian,” katanya.

Menurut polis, bas itu sedang dalam perjalanan dari Nairobi ke Kakamega di barat Kenya dan membawa bersama 52 penumpang.

Persatuan Palang Merah Kenya dalam kenyataan di Twitter berkata, kenderaan terbabit terbalik namun maklumat lanjut mengenai nahas masih tidak diketahui.

Statistik rasmi menunjukkan kira-kira 3,000 penduduk terkorban dalam kemalangan jalan raya setiap tahun di Kenya tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan jumlah sebenar boleh mencecah sehingga 12,000.

Pada Disember tahun lalu, 36 orang maut apabila sebuah bas dan lori bertembung antara satu sama lain manakala pada tahun 2016, lebih daripada 40 orang terbunuh dalam letupan sebuah lori tangki minyak yang terbabas ke lebuh raya padat penumpang setelah gagal dikawal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 3:35 PM