BTS jadikan London destinasi kedua selama dua hari bagi siri jelajah dunia ‘Love Yourself’. -Foto AFP

LONDON : Kumpulan muzik terkenal Korea Selatan, BTS membuat penampilan sulung di arena O2 semalam, menyebabkan seluruh ibu negara Britain itu dilanda demam Kpop dengan semua tiket laris dijual.

Bermula dengan persembahan di stadium di New York minggu lalu, kumpulan tujuh anak muda itu menjadikan London destinasi kedua selama dua hari bagi siri jelajah dunia ‘Love Yourself’ di arena yang mampu menampung sehingga 20,000 penonton itu.

Turut sama menyanyikan lagu-lagu popular BTS atau lagu pop Korea yang lain, peminat menyambut ketibaan kumpulan berkenaan dengan sorakan gemuruh sebaik mereka muncul di atas pentas.

Seorang anggota, Jungkook bagaimanapun terpaksa membuat persembahan secara duduk selepas tercedera di bahagian kaki semasa latihan..

BTS yang ditubuhkan sejak 2013 mencipta populariti seluruh dunia dan turut membantu mempopularkan genre muzik Asia.

“Kami mahu orang ramai melihat, mendapat inspirasi dan sedar bahawa semuanya bukan mustahil,” kata penyanyi rap kumpulan terbabit, Min Yoon Gi atau Suga dalam satu temuramah.

“Adalah sesuatu yang amat menakjubkan bagaimana kami, sekumpulan anak muda dari Korea kini berada di UK untuk ditemuramah,” katanya.

Pada Mei lalu, BTS tampil sebagai penghibur K-Pop pertama menduduki tangga teratas di carta Billboard 200 menerusi album ‘Love Yourself: Tear’ dan turut mencipta sejarah di carta muzik UK tidak lama selepas itu sebagai kumpulan K-pop pertama menduduki carta Top 40 di Britain. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 1:06 PM