PELAJAR membersihkan sekolah mereka. - Reuters
Agensi

Palu (Indonesia): Kanak-kanak mula kembali ke sekolah untuk membersihkan kelas, selain membantu mengumpul data mengenai jumlah pelajar yang masih hidup, 10 hari selepas dilanda gempa bumi 7.5 magnitud dan tsunami, dengan jumlah kematian sehingga semalam dicatatkan 1,944 orang.

Jurucakap tentera M Thohir memberitahu AFP jumlah mayat dijangka meningkat memandangkan usaha mencari masih dilakukan sehingga 11 Oktober ini.

Pihak berkuasa percaya sehingga 5,000 orang hilang di dua kawasan yang paling teruk terkesan bencana yang melanda pada 28 September itu.

Tiada harapan ada lagi mangsa terselamat, sebaliknya pencarian kini memfokuskan menghimpunkan mayat dan mengira jumlah kematian.

Semalam, pelajar mula kembali ke sekolah selepas menerima pesanan melalui Facebook dan WhatsApp.

Seorang pengetua, Kasiludin berkata, pihak berkuasa mengarahkan semua guru hadir ke sekolah bermula hari ini untuk merekodkan jumlah pelajar.

“Kami tidak akan memaksa pelajar kembali ke sekolah kerana ramai masih trauma. Tetapi kami perlu bermula segera untuk memulihkan kembali semangat mereka dan bagi memastian mereka tidak ketinggalan.

“Sekolah ini kehilangan tujuh orang pelajar dan seorang guru,” katanya kepada Reuters.


SEBAHAGIAN tembok sekolah yang dihanyutkan tanah cair kelihatan antara puing dan runtuhan di Balaroa. - AFP

Seorang lagi guru besar, Abdul Rashid berkata, pihaknya masih menunggu arahan lanjut Kementerian Pendidikan.

“Kelas belum bermula, setakat ini kami cuma mahu mengumpul maklumat mengenai pelajar yang terselamat.

“Buat masa ini, kami semua belum bersedia memulakan pembelajaran semula. Kanak-kanak semua masih trauma dan ketakutan,” katanya.

Seorang murid, Muhammad Islam Bintang Lima memberitahu Reuters: “Saya tidak tahu apa nasib ramai kawan saya. Saya cuba berfikiran positif dan berharap mereka okay.”

Tempo pada Ahad memetik Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata, ribuan sekolah musnah dalam bencana berkenaan dan kerajaan akan membina sekolah sementara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 2:00 PM