CAMPBELL ditahan di hospital selepas menelan cincin berlian di sebuah kedai emas di Turki. - Agensi
Agensi

Istanbul: Seorang pelancong Ireland ditangkap dan dimasukkan ke sebuah hospital di Turki selepas cuba mencuri cincin berlian dengan menelan permata berharga £30,000 (RM162,737) berkenaan.

Mirror Online melaporkan, lelaki itu yang dikenali sebagai Ian Campbell dilaporkan datang ke sebuah kedai emas di daerah Marmaris di wilayah Mugla pada 4 Oktober lalu.

Satu rakaman kamera keselamatan di kedai emas itu menunjukkan Campbell, 52, melihat sebentuk cincin berlian sebelum dia tiba-tiba bergegas keluar dari premis berkenaan.

Seorang pembantu kedai yang curiga dengan tindakan Campbell segera mengunci pintu premis berkenaan bagi mengelak lelaki itu keluar.


GAMBAR X-ray menunjukkan kedudukan cincin berlian di dalam perut Campbell. - Agensi

Campbell yang panik kemudian memasukkan cincin itu ke dalam mulut sebelum menelannya.

Lelaki itu pada mulanya menafikan dia mencuri cincin berkenaan menyebabkan pemilik kedai emas menghubungi polis yang kemudian membawa Campbell ke hospital.

Imbasan X-ray yang dibuat di hospital kemudian mengesahkan cincin berlian 2.5 karat itu berada di dalam perut Campbell.

Selepas mendapat pengesahan doktor, pendakwa raya mengarahkan Campbell ditahan di hospital sehingga cincin itu dikeluarkan.

Sekiranya, cincin itu gagal dikeluarkan secara semula jadi, doktor dibenarkan membuat pembedahan untuk mengeluarkan barangan kemas berkenaan.

Selama dua hari di hospital, Campbell diberi makanan khas, minum, berlari dan melompat di koridor dengan diiringi polis tetapi cincin berkenaan belum dapat dikeluarkan.

Campbell akhirnya bersetuju untuk menjalani satu prosedur untuk mengeluarkan cincin berkenaan melalui duburnya.

Walaupun cincin itu berjaya dikeluarkan polis dilaporkan tetap meneruskan dakwaan jenayah terhadap Campbell.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 7:43 PM