OPERASI makin sukar kerana tanah berlumpur dan ditimbuni konkrik menggunung. FOTO/AFP
AFP

PALU: Tentera Indonesia memakai topeng untuk mengelak bau kematian, mereka bergerak perlahan memeriksa timbunan lumpur dan konkrit menggunung, sambil mencucuk dan meneliti sisa runtuhan.

Lapan hari selepas bencana gempa bumi dan tsunami menghapuskan sebahagian bandar Palu, pulau Sulawesi. Kini, tiada lagi misi mencari mangsa terselamat hanya usaha mencari mayat.

“Mereka tidak perlu mencari begitu sukar,” kata anggota tentera dari Makassar, selatan Palu, Sarjan Syafaruddin sambil meminta beg mayat.

Ketika itu, beliau berdiri berhampiran sisa runtuhan sebuah sekolah Islam dan dua anggotanya muncul dari lubang dengan beg mayat yang berisi.

Kandungan beg itu terlalu ringan untuk mayat, katanya, mereka hanya menemui kapal dua mayat dewasa dan seorang kanak-kanak.


ANGGOTA penyelamat berehat selepas penat mencari mayat. FOTO/AFP

“Tiada lagi mangsa terselamat di sini. Kami hanya menemui mayat, setiap hari,” kata Syafaruddin.

Tiada petunjuk kehidupan dari bawah kemusnahan di Balaroa di mana sebuah kompleks kediaman kerajaan ditelan bumi akibat gempa kuat yang menukar tanah kepada lumpur.

Kini wujud kebimbangan banyak mayat reput masih tertimbus di bawah kejiranan yang pernah pesat itu, mungkin 1,000 orang atau lebih.

Korban bencana kembar itu sudah sah mengorbankan lebih 1,500, setakat ini dan jumlahnya dijangka terus meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 3:29 PM