POKOK yang menghempap ibu dan bayi di dalam rumah terbabit. FOTO/REUTERS
AFP

WILMINGTON: Sekurang-kurangnya empat terbunuh termasuk seorang ibu dan bayinya akibat dihempap pokok tumbang dalam kejadian Taufan Florence di wilayah Carolina semalam.

Dua lagi kematian dipercayai berkaitan taufan turut dilaporkan manakala ratusan lagi penduduk terperangkap

apabila ribut kuat dan hujan berterusan menyebabkan air sungai naik mendadak di bandar New Bern, Carolina Utara.

Menurut Pusat Taufan Kebangsaan (NHC), Florence mula melemah menjadi ribut tropika sekitar jam 5 petang semalam namun pihak berkuasa memberi amaran bahawa bahaya itu masih belum berakhir.

“Kami menjangkakan hujan akan berterusan selama beberapa hari lagi,” kata Gabenor Carolina Utara, Roy Cooper.

Lebih 680,000 pengguna di Carolina Utara terputus bekalan elektrik manakala 21,000 lagi ditempatkan di 157 pusat perlindungan di seluruh negeri.

Rumah Putih berkata, Presiden Donald Trump akan melawat kawasan yang dilanda taufan minggu depan sebaik lawatan itu disahkan tidak akan mengganggu sebarang usaha menyelamat atau pemulihan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 7:45 AM