JARUM ditemui dalam strawberi yang dibeli di pasar raya, Australia. FOTO/ANGELA STEVENSON
Channel NewsAsia

SYDNEY: Pihak berkuasa Australia, semalam memberi amaran kepada penggemar buah strawberi agar memotong buah itu terlebih dulu sebelum makan.

Ini susulan jarum jahitan ditemui di dalam beberapa bekas strawberi sehingga menyebabkan tiga jenama pengeluaran buah terbabit di negara itu terpaksa ditarik balik.

Pihak berkuasa, minggu ini meminta orang ramai membuang buah strawberi yang dibeli dari pasar raya Woolworths Group jika mendapati ia dari jenama Berry Licious atau Berry Obsession selepas tiga bungkusan yang ditemui ditanam dengan jarum.

Menurut laporan Channel NewsAsia, nasihat itu dikeluarkan lewat petang semalam selepas polis di Australia menyatakan mereka menerima empat aduan mengenai jarum yang ditemui dalam bekas strawberi dari jenama Donnybrook.

Kesemua tiga jenama itu ditarik balik daripada jualan.

“Sehingga dinasihatkan, pengguna perlu memotong strawberi sebelum memakannya,” kata kerajaan negeri Queensland dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 5:28 PM