BEZOS dan isterinya membantu keluarga gelandangan dan menubuhkan prasekolah untuk komuniti berpendapatan rendah. FOTO/AGENSI
AFP

WASHINGTON: Pengasas syarikat perdagangan elektronik, Amazon, Jeff Bezos, semalam mengumumkan beliau mewujudkan dana kebajikan membantu keluarga gelandangan dan menubuhkan prasekolah untuk komuniti berpendapatan rendah.

Beliau memberi sumbangan awal sebanyak AS$2 bilion (RM8.28 bilion) untuk tujuan itu.

Bezos membuat pengumuman itu menerusi Twitter setahun selepas meminta idea cara beliau boleh membelanjakan kekayaannya yang kini dianggarkan bernilai lebih AS$160 bilion (RM662 bilion), untuk tujuan kebajikan.

‘Bezos Day One Fund’ yang diwujudkan Bezos dan isterinya, MacKenzie, memberi tumpuan kepada dua bidang: membantu ‘pertubuhan tidak berasaskan keuntungan sedia ada yang menolong keluarga gelandangan’ dan membiayai ‘rangkaian prasekolah baru untuk komuniti berpendapatan rendah’.

Kemudian, Bezos memberitahu perhimpunan di Washington bahawa AS$2 bilion cuma permulaan dan akan meluaskan usahanya itu.

“Saya melihat benda kecil menjadi besar dan ia sebahagian mentaliti ‘satu hari’ ini.

“Yayasan Satu Hari akan menjadi seperti itu,” katanya kepada majlis makan malam Kelab Ekonomi Washington.

Bagi gelandangan, geran akan diberikan kepada pertubuhan yang melakukan kerja menyediakan perlindungan dan makanan bagi menangani keperluan keluarga muda, katanya.

Dana itu juga mahu melancarkan dan mengendalikan rangkaian prasekolah berkualiti tinggi, biasiswa penuh dan berinspirasikan Montessori di kawasan berpendapatan rendah.

Bezos berkata, pendidikan awal kanak-kanak amat penting dan wang yang diperuntukkan untuk tujuan itu akan memberikan dividen lumayan selama berdekad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 2:59 PM